Categories
SELANGOR

Kutipan Sampah Terkawal, Kerajaan Negeri Sedia 50 Buah Mesin Kompaktor

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan 50 buah mesin kompaktor baru untuk kegunaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan urusan pengendalian kutipan sisa pepejal di seluruh negeri menjadi lebih efisyen.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu memaklumkan, pembelian ini dibuat memandangkan beberapa kontraktor yang mendapat tander kutipan sampah namun tidak mempunyai kompaktor memandangkan jumlah sampah yang tinggi di beberapa kawasan.

Pembelian ini sebagai langkah memantapkan gerak kerja kutipan sisa pepejal yang dilakukan oleh PBT bermula 1 Mac tahun ini.

Menurutnya kompaktor yang ditempah akan tiba pada April ini dan kadar sewa yang akan diberikan juga berpatutan.

“Kerajaan negeri akan menentukan harga yang berpatutan,” katanya.

Jelasnya pembelian kompaktor ini dibuat kerana terdapat aduan bahawa ada usaha mensabotaj kontraktor yang tidak mempunyai kompektor apabila dikenakan caj sewaan yang tinggi sehingga RM16,000 sebulan.

Situasi ini akan mengakibatkan peningkatan kos kepada kontraktor sehingga mereka tidak mampu untuk melakukan tugas dengan baik.

Berhubung lanjutan masa pengutipan sampah sehingga jam 11.00 malam, langkah ini diambil ekoran terdapat beberapa kawasan yang mengalami masalah kutipan sampah terutama perumahan yang dikawal oleh pegawai keselamatan persendirian.

Biasanya kawasan ini sukar mendapat kerjasama daripada pengawal keselamatan sekaligus menyukarkan kontraktor menjalankan tugasnya.

Turut dimaklumkan kutipan sampah di kawasan pangsapuri mula beroperasi selama enam hari seminggu kecuali hari ahad selain mensasarkan untuk membuat kutipan sampah sebanyak dua kali sehari untuk kawasan komersil.

Beliau menambah, stesen pemindahan sampah Shah Alam di bawah kendalian World Wide mula beroperasi dan sehingga kini menguruskan sejumlah 1,200 tan sampah sehari.

Selain itu, semua PBT juga diberikan peluang membentuk pasukan sendiri untuk menjalankan operasi kutipan sampah dengan syarat tidak melebihi 15 peratus jumlah keseluruhan kontraktor yang ada. Dengan syarat mereka mempunyai kompektor dan beberapa alatan yang diperlukan.

Langkah ini mula dipraktikan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Ujarnya lagi, kerajaan negeri turut memberikan bantuan kewangan untuk semua PBT bagi menambah kawasan ‘Zon Bersih’.

Ronnie menegaskan, masalah kutipan sampah kini berada dalam keadaan terkawal dan pihak bertanggungjawab masih memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aduan yang diajukan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya memohon Jabatan Audit Negara untuk menyemak semua sistem tender terbuka yang dilakukan bagi memastikan proses pemberian tander kutipan sisa pepejal ini dapat dilakukan secara telus.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.