Categories
SELANGOR

Model Holistik Air Kerajaan Negeri Lebih Efektif

SUBANG JAYA, 3 JUL : Model holistik yang dicadangkan Kerajaan Negeri bagi penstrukturan semula industri air di Selangor disifatkan sebagai penyelesaian terbaik kerana rawatan dan agihan air akan dilakukan sepenuhnya oleh pengendali tunggal.

Demikian ujar Timbalan Pengarah Seksyen Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Nor Azmie Diron semasa membentangkan kertas kerja berhubung Penyusunan Semula Industri Air di Selangor : Kaedah Penyelesaiannya di Hotel Grand Dorsett, di sini petang tadi.

Menurutnya, pelaksanaan model holistik yang bersifat menyeluruh akan menyebabkan industri air di negeri ini lebih berkesan, malah berupaya mengurangkan kadar tarif.

Sebaliknya, cadangan Kerajaan Pusat yang hanya menawarkan struktur separuh holistik dijangka akan meningkatkan kadar tarif air di negeri ini.

“Melalui model ini, kenaikan tarif air hanya boleh dibuat tidak melebihi 12 peratus setiap tiga tahun. Keuntungan operasi juga adalah paling rendah iaitu sekitar kosong hingga satu peratus.

“Ia juga akan memberi penjimatan kepada orang awam malah sebarang keuntungan yang diperoleh boleh digunakan untuk menurunkan lagi tarif,” ujarnya.

Tambahnya, sikap Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) juga berorientasikan keuntungan semata-mata sehingga membelakangkan kepentingan rakyat.

Ia katanya, sama sekali bertentangan dengan pendekatan Kerajaan Negeri yang sentiasa memenuhi hak dan keadilan rakyat.

“Penswastaan air ini tidak berimbang kerana perjanjian konsesi yang diberikan kepada Syabas untuk menaikkan tarif air setiap tiga tahun adalah terlalu tinggi.

“Melalui perjanjian konsesi, Syabas dibenarkan untuk menaikkan tarif air sehingga 37 peratus. Kadar ini dijadualkan akan meningkat lebih tinggi pada masa akan datang, malah pengguna juga akan terus menerima kualiti perkhidmatan yang buruk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.