Categories
SELANGOR

Saham Air Untuk Rakyat

PC EXCO Jan 2013 MB 02
SHAH ALAM 6 MAC : Lebih lima juta rakyat Selangor bakal mendapat saham industri air sekiranya Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih pengurusan industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sekiranya empat syarikat konsesi terbabit bersetuju dengan tawaran sebanyak RM9.65 bilion itu, Kerajaan Negeri boleh menerbitkan seunit saham bagi setiap rakyat selangor.

Unit saham air itu merupakan penterjemahan dasar Kerajaan Selangor dan niat Abdul Khalid sebelum ini untuk memberikan perasaan bahawa rakyat Selangor memiliki kepentingan dalam idustri tersebut.

“Rakyat Selangor populasinya sebanyak lebih lima juta. Kita tawar RM 9.65 bilion, Jika saham RM 2,000 kali dengan lima juta jumlahnya RM 10 bilion.

“Selebihnya kita akan kumpulkan sehingga RM 10 bilion untuk tampung pembayaran itu. Ia bukan dibayar oleh rakyat tetapi Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan menguruskannya supaya dana akan dapat diapungkan seterusnya dimiliki rakyat Selangor,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Exco di Bangunan Suk, di sini.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi bagi mengambilalih pengurusan industri air oleh mereka.

Empat syarikat tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Proses ambilalih tersebut adalah sebahagian dari usaha Selangor untuk menstruktur semula industri air.

Mengulas lanjut berhubung tawaran air kepada syarikat konsesi, Abdul Khalid memaklumkan tempoh 14 hari untuk tawaran air itu tamat semalam dan setakat ini tiada penolakan daripada mana-mana syarikat konsesi.

“Saya ingin menyatakan perbincangan dengan syarikat konsesi mengenai tawaran rakyat Selangor itu berjalan dengan lancar dengan semua pihak.

“Dalam perbincangan itu terdapat beberapa usaha untuk mencari persetujuan sebelum perkara ini dikemukan kepada Kementerian untuk dilaksanakan. Sehingga kini perbincangan masih diteruskan lagi.

“Kalau dulu Syabas dan Puncak Niaga tidak bersetuju untuk berbincang kini mereka mahu berbincang..dari masa ke semasa Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan mngumumkan hasil perbincangan.

?Saya akan membuat pengumuman perkembangan tawaran ini dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Syabas Yang Gagal Mahu Dibantu, Kerajaan Selangor Yang Berjaya Diabaikan

syabas-AIR1

BANDAR TUN RAZAK, 3 FEB: Bantuan RM 120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh Kerajaan Persekutuan tidak akan menyelesaikan kemelut air Selangor kerana Syabas sebelum ini terbukti gagal mengurus dana yang diberikan kepadanya.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini, Syabas telah membelanjakan RM 1.169 bilion ? lebih daripada yang diperuntukan di bawah perjanjian ? tetapi syarikat itu masih gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 19.98  peratus.

NRW adalah air yang hilang melalui kebocoran paip atau yang telah dicuri. Kadar NRW sekarang di bawah Syabas adalah 33 peratus, kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media di sini.

Pada sidang media pagi tadi, Abdul Khalid menegaskan bahawa masalah pengurusan air, yang pada awal Januari menyebabkan setengah juta penduduk di Lembah Klang tidak dapat bekalan, hanya boleh diselesaikan dengan penyusunan semula.

“Kerajaan Persekutuan tahu mengapa penyususnan semula industri air perlu dilakukan. Pemberian RM120 juta tidak menyelesaikan masalah Syabas.

“Syabas dan syarikat operator (konsesi) air mesti disusun semula untuk menyelesaikan masalah penghantaran air dan Non Revenue Water (NRW) ” katanya pada satu sidang media sempena lawatan kerja ke Parlimen Bandar Tun Razak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM 120 juta kepada Syabas.

Selain itu, Abdul Khalid membidas kenyataan daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mendakwa tarif air yang rendah di Selangor menyebabkan rakyat di negeri ini menyalahgunakan air.

“Kenyataan Peter Chin dikatakan air di negeri ini murah sehingga mereka (rakyat) menyalahgunakan air ini adalah tidak berasas. Melalui kajian kita dari tahun 2004 sehingga 2011, purata penggunaan air berkapita tidak meningkat.

“Tidak meningkat menunjukkan tidak ada kenyataan orang salah gunakan air,” ujarnya lagi.
Abdul Khalid menegaskan, keperluan asas seperti air dan elektrik tidak boleh diuruskan dengan matlamat untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya ia mesti diuruskan dengan tujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Walaupun kita boleh menentukan tarif bayaran tapi kita kena menentukan tarif yang tidak membawa kepada keuntungan terlalu banyak kerana keuntungan (terlalu banyak) ini akan memeras (rakyat).

“(Ini menunjukkan) ada perbezaan polisi pengurusan antara Peter Chin dengan saya,” tambah Abdul Khalid.

Minggu lepas, Kerajaan Negeri mengumumkan akan memulakan proses pengambilalihan perkhidmatan pengedaran dan rawatan air daripada Syabas dan tiga lagi syarikat konsensi.

Usaha tersebut sebahagian daripada dasar penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sikap Syabas Punca Gangguan Air di Kuala Lumpur – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 0802013

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 8 JANUARI 2013 :

1. Gangguan bekalan air di Gombak, Ampang dan Cheras boleh dielak sekiranya Syabas menyelenggara pam di rumah pam Wangsa Maju sebelum masalah bekalan air belaku.

2. Sejak Pakatan Rakyat mentadbir Selangor,  kutipan premium tanah meningkat kepada RM800 juta berbanding RM300 juta sebelumnya

3. Pelajar dan guru SJK (C) Khe Beng bakal menerima Sekolah baru apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah komersil bernilai RM 17 juta untuk pembinaan sekolah itu di Kemuning Utama.

4. 300,000 aktivis dan penyokong Pakatan Rakyat Selangor akan dimobilasi ke Himpunan Kebangkitan Rakyat yang bakal diadakan di ibu negara, 12 Januari nanti.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Ikrar Pertahankan Kadar Air Rendah Buat Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 15 OGOS: Penstrukturan semula industri air di Selangor akan memastikan bahawa rakyat akan mendapat harga air yang tidak mahal berbanding dengan situasi sekarang di mana ia diuruskan syarikat konsensi.

Sekiranya penstrukturan semula tidak dapat dijayakan oleh kerajaan negeri, pengguna Selangor akan berhadapan dengan kenaikan harga air lebih 12 peratus.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan menaikan tarif air melebihi 12 peratus sekiranya Kerajaan Negeri gagal mengambilalih operasi syarikat itu.

Kerajaan Negeri sedang berusaha mengambil alih operasi Syabas, yang mengurus bekalan air terawat Selangor, yang merupakan sebahagian dari proses penstrukturan semula industri air.

Proses penstrukturan semula bertujuan memastikan bahawa air terawat dapat dibekalkan ke seluruh Selangor pada harga yang munasabah.

Bagaimanapun menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri akan membawa isu ini ke peringkat timbangtara antarabangsa sekiranya menemui jalan buntu.

“Saya tidak akan tawarkan keuntungan berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi, begitu juga kerajaan persekutuan kalau mereka juga mengutamakan kepentingan rakyat tentu mereka tidak menyebelahi Tan Sri Rozali (Ismail).

“Saya akan  memastikan pulangan kepada rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan negeri,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Selain itu, Abdul Khalid turut menempelak Rozali, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Syabas, kerana enggan berundur walaupun gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dalam syarikat konsesi itu.

“Beliau patut berhenti dari Syabas, sebab dah pun dapat ganjaran dari Syabas dan beliau tidak terlibat atau tidak hadir dalam banyak usaha menyelesaikan masalah jika ada krisis air di Selangor.

“Bayangkan Kerajaan Negeri sendiri telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri berbincang setiap hari dengan Syabas, tetapi malangnya Pengerusi Syabas tak ada nak jalankan tanggungjawabnya sendiri,” ujar Abdul Khalid.

Beliau turut menggesa agar kerajaan pusat agar menyebelahi rakyat Selangor berbanding Rozali dalam isu penstrukturan air di Selangor.

“Saya nak mintak Kerajaan Persekutuan, negeri dah buat keputusan kita tak nak lagi Rozali sebagai dalang usaha operasi air di Negeri Selangor.

“Samada dibayar atau tidak, dia dah tak boleh lagi sebab sumbangan dia tak menguntungkan rakyat Selangor.?

Categories
SELANGOR

Model Holistik Air Kerajaan Negeri Lebih Efektif

SUBANG JAYA, 3 JUL : Model holistik yang dicadangkan Kerajaan Negeri bagi penstrukturan semula industri air di Selangor disifatkan sebagai penyelesaian terbaik kerana rawatan dan agihan air akan dilakukan sepenuhnya oleh pengendali tunggal.

Demikian ujar Timbalan Pengarah Seksyen Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Nor Azmie Diron semasa membentangkan kertas kerja berhubung Penyusunan Semula Industri Air di Selangor : Kaedah Penyelesaiannya di Hotel Grand Dorsett, di sini petang tadi.

Menurutnya, pelaksanaan model holistik yang bersifat menyeluruh akan menyebabkan industri air di negeri ini lebih berkesan, malah berupaya mengurangkan kadar tarif.

Sebaliknya, cadangan Kerajaan Pusat yang hanya menawarkan struktur separuh holistik dijangka akan meningkatkan kadar tarif air di negeri ini.

“Melalui model ini, kenaikan tarif air hanya boleh dibuat tidak melebihi 12 peratus setiap tiga tahun. Keuntungan operasi juga adalah paling rendah iaitu sekitar kosong hingga satu peratus.

“Ia juga akan memberi penjimatan kepada orang awam malah sebarang keuntungan yang diperoleh boleh digunakan untuk menurunkan lagi tarif,” ujarnya.

Tambahnya, sikap Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) juga berorientasikan keuntungan semata-mata sehingga membelakangkan kepentingan rakyat.

Ia katanya, sama sekali bertentangan dengan pendekatan Kerajaan Negeri yang sentiasa memenuhi hak dan keadilan rakyat.

“Penswastaan air ini tidak berimbang kerana perjanjian konsesi yang diberikan kepada Syabas untuk menaikkan tarif air setiap tiga tahun adalah terlalu tinggi.

“Melalui perjanjian konsesi, Syabas dibenarkan untuk menaikkan tarif air sehingga 37 peratus. Kadar ini dijadualkan akan meningkat lebih tinggi pada masa akan datang, malah pengguna juga akan terus menerima kualiti perkhidmatan yang buruk,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Anjur Forum Khas Bincang Isu Air

SHAH ALAM, 15 MEI : Kerajaan Selangor akan menganjurkan satu forum khas dalam tempoh terdekat yang melibatkan badan profesional tempatan dan atarabangsa berhubung kaedah terbaik mengurus air di negeri ini termasuk kawasan semenanjung.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan yang turut membabitkan Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) itu bakal mengetengahkan isu-isu berkaitan operasi air termasuk jumlah dan penjagaan kualitinya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan berusaha untuk memastikan rakyat di negeri ini terus menerima perkhidmatan air terbaik dengan harga berpatutan.

“Sepuluh tahun lalu, terdapat perbincangan untuk menghubungkan semua empangan di Semenanjung melalui Empangan Kenyir bagi penyediaan bekalan air. Pengiraan menunjukkan kos yang menghubungkan ini adalah jauh lebih murah daripada membina sebuah empangan di Pahang (Langat 2).

“Rakyat Selangor harus mendapat perkhidmatan air terbaik. Lebih cekap pengurusan air itu, lebih murah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Bukan tidak mahu bayar langsung, tetapi kos itu perlulah sesuai,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan program Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah Peringkat Negeri Selangor di Dewan Sri Bankuet Intekma Resort & Convention Center, di sini tengah hari tadi.

Dalam isu yang berkaitan, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri belum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Apa yang penting katanya, kerajaan pusat perlu bersama-sama memainkan peranan dalam mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara.

“Kita akan teruskan tindakan itu jika kita mendapati kebuntuan berhubung isu pengurusan air masih berlaku dan tidak praktikal. Tetapi apa yang penting sebenarnya, usaha kita untuk mencari alternatif terbaik bagi memastikan hak pengguna itu terus dijaga,” katanya.

Laman Berita The Malaysian Insider hari ini memaklumkan Selangor bakal mengambil tindakan undang-undang ke atasi Peter sekiranya beliau enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk memecahkan kebuntuan isu penswastaan aset air di negeri ini.

ends