Categories
SELANGOR

PBT Tetap Adakan Parkir Khas Bagi Wanita

SHAH ALAM 31 JUL : Kerajaan Negeri akan menganjurkan satu dialog khas bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor bagi membincangkan secara terperinci perlaksanaan parkir kenderaan khusus untuk wanita.

Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail ketika dihubungi TVSelangor memberitahu, dialog berkenaan bagi mencari cara terbaik agar pelan rancangan keselamatan itu dapat dilaksanakan.

“Kita akan sama-sama berbincang dan melihat samada terdapat uncang-undang kecil yang membolehkan perlaksanaan tersebut dijalankan atau mungkin ada keperluan untuk kita mengemaskini undang-undang sedia ada.

“Jika tiada peruntukan, mungkin kita akan mengenakan peruntukan undang-undang kecil baru demi menjayakan pelan rancangan keselamatan ini,” jelas beliau.

Minggu lalu, Rodziah mengumumkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri meminta PBT menyemak semua undang-undang kecil yang boleh menyentuh kepada perlaksanaan parkir khas kenderaan wanita.

“Di sudut perancangan, kita ingin melaksanakannya di pusat membeli belah dan pasaraya selain mengkaji keperluan kamera litar tertutup (CCTV) dan juga faktor pencahayaan dalam menjamin keselamatan wanita,” tambahnya.

Pada 3 Julai lalu, seorang wanita cedera parah apabila lehernya dikelar oleh seorang lelaki yang dipercayai cuba merompak atau merogol beliau dalam satu kejadian di Tesco Ampang kira-kira pukul 2.30 petang.

Sehubungan insiden itu, 21 Julai lalu, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Gabungan Wanita Pandan, yang turut ditemani Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad telah menyerahkan memorandum bagi mengadakan parkir khas untuk wanita kepada pihak pengurusan Pasaraya Tesco Ampang.

Sebelum itu, masyarakat juga dikejutkan dengan beberapa kes wanita dan warga emas dirompak sewaktu mereka berjalan ke kenderaan mereka di tempat parkir pusat membeli belah di Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.