Categories
SELANGOR

Lebih 20,000 Hadir Rumah Terbuka Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 20 OGOS : Kebanjiran rakyat Selangor di Dataran Dewan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Selangor semalami.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ternyata gembira dengan sambutan yang menggalakkan daripada warga Selangor daripada semua lapisan masyarakat dan bangsa.

“Kita juga berpuas hati dengan program kebajikan dalam majlis ini dengan menjemput anak-anak yatim seluruh Selangor dan juga Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kita juga berbesar hati dengan kehadiran orang-orang asal yang sudi memeriahkan lagi majlis hari ini,” ujar Abdul Khalid.

Mengulas lanjut, beliau berpuas hati dengan program menyemarakkan masjid dan surau sepanjang Ramadan.

“Lebih-lebih lagi dengan kesudian DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli mengunjungi lebih 20 buah masjid di seluruh negeri.

“Alhamdulillah kita berjaya mengunjungi setiap daerah sepanjang bulan puasa lalu,” tambahnya.

Dijangkakan lebih 20,000 warga menghadiri Majlis anjuran bersama anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) ini.

 

Turut memeriahkan majlis ialah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen dan Adun-adun negeri Selangor.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.