Categories
SELANGOR

Noh Perlu Struktur Semula RM250 Juta NFC Baru Bicara Soal Air, kata Menteri Besar

SHAH ALAM 15 OGOS : Datuk Seri Noh Omar perlu menyelesaikan terlebih dahulu kemelut Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang bernilai RM250 juta sebelum bercakap mengenai tempoh akhir penyelesaian penstrukturan semula air Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas sidang media Mesyuarat Exco Selangor berkata, cabaran yang dilontarkan oleh Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor itu bukan sesuatu yang perlu dipandang serius kerana Umno-BN sebelum ini gagal melakukan banyak perkara ketika mentadbir Selangor.

Noh yang juga Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani sebelum ini memberi masa sehingga September kepada Abdul Khalid untuk menyelesaikan masalah air di Selangor atau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Saya rasa lebih baik dia (Noh) menyelesaikan isu NFC daripada isu air. Kalau dapat selesaikan isu NFC pada September ini, maka rakyat Selangor akan memandang tinggi kebolehan beliau,” katanya.

Tegas Abdul Khalid, apa yang penting kemelut penstrukturan ini dapat diselesaikan demi kepentingan hak rakyat yang selama ini dinafikan oleh kerajaan Umno-BN.

“Noh hanyalah manusia biasa, cabaran itu tidak menjadi kesan kepada kita. Apa yang penting bagi saya, perkara yang belum berjaya dilakukan oleh kerajaan BN sebelum 2008 adalah menyusun semula struktur air.

“Oleh itu usaha saya adalah supaya dapat menyusun semula industri air Selangor seperti yang kita dapati SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) juga bersetuju supaya air Selangor perlu distruktur semula,” sambung beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.