Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa : Isu Talam, Tee Yong Syok Sendiri

SHAH ALAM 2 OGOS : Exco Selangor Teresa KokĀ  menafikan dakwaan Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong yang kononnya beliau dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua saling memberikan kenyataan bercanggah dalam isu pelupusan hutang Talam Corporation Berhad.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘syok sendiri’, Teresa yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan turut menganggap Tee Yong gagal memahami isu penyelesaian hutang Talam oleh Kerajaan Negeri secara keseluruhannya.

Ujar Teresa, semasa era pentadbiran kerajaan Umno-BN, pelupusan hutang Talam hanya melibatkan Universiti Selangor (Unisel) dan Maxisegar, tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk melangsaikan kesemua hutang di antara syarikat itu dan kesemua anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Bekas kerajaan Umno-BN Selangor tiada usaha untuk mengutip semula hutang daripada Talam, tidak seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada tahun 2010.

“Bila PR mengadakan penyelesaian hutang secara keseluruhan dengan Talam, kami tidak membatalkan perjanjian oleh Unisel dengan Talam yang dibuat pada tahun 2006 dan luput pada 8 Mac 2008 kerana Maxisegar diberi perintah menghalang oleh mahkamah ekoran masalah kewangan yang dihadapi syarikat itu pada waktu tersebut.

“Kerajaan Negeri Selangor mungkin tidak dapat mengutip apa-apa daripada Maxisegar sekiranya syarikat itu gagal keluar dan bergelumang dalam kancah masalah kewangannya pada waktu itu,” katanya.

Tegas Teresa, apa yang dinyatakan beliau sebelum ini adalah ‘penyelesaian sebahagian hutang’ di antara Unisel dan anak syarikat Talam pada 2006, tetapi Kerajaan PR mengadakan ‘penyelesaian hutang secara keseluruhan’ dengan syarikat terbabit.

Justeru, gembar-gembur yang dibuat oleh Tee Yong juga membuktikan beliau jahil terhadap isu tersebut.

“Saya kemukakan Perjanjian Jual Beli lima unit hartanah di Menara Pandan yang diambil alih pada tahun 2006. Mengapakah Tee Yong masih mengatakan perjanjian itu luput? Kita juga hairan mengapa beliau begitu berminat terhadap urusan di Selangor?

“Saya dengan ini menjemput beliau untuk bertanding di Selangor dalam pilihan raya akan datang supaya beliau boleh tahu sama ada rakyat di negeri ini percaya pada tuduhannya terhadap isu Talam,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.