Categories
NASIONAL

Bajet 2013 FOMCA Minta Kerajaan Tumpu Pengangkutan Awam, Rumah Mampu Milik

SHAH ALAM 25 SEPT : Sistem pengangkutan awam dan rumah mampu milik merupakan dua perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat dalam Bajet 2013  pada 28 September depan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata inisiatif itu perlu dizahirkan bukan sahaja di sekitar Lembah Kelang, tetapi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Contohnya pengangkutan awam, jika dibandingkan perkhidmatan pengangkutan awam hari ini dengan 30 tahun lepas, keadaan dulu adalah berkali ganda lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini.

“Pada masa ini, sesetengah tempat langsung tidak mempunyai perkhidmatan bas menyebabkan rakyat terpaksa pula menyewa kenderaan untuk ke sesuatu destinasi.

“Keadaan ini harus diubah dan kerajaanlah yang berkuasa memastikan keadaan ini mampu berubah,” ujarnya yang dihubungi TV Selangor.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Pusat juga perlu memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik dan menyemak semula dasar penempatannya.

“Kerajaan perlu mengkaji bagaimana harga rumah dapat dikurangkan atau mencapai satu harga yang mana setiap rakyat mampu membeli dan memiliki rumah sendiri,”katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM memberitahu agar kerajaan menyemak semula penempatan penduduk, jangan meminggirkan kawasan luar bandar dan membiarkan kawasan pesisir bandar pula dimonopoli perumahan elit.

Beliau bagaimanapun berkata segala usaha menaik taraf kehidupan rakyat ini hanya mampu dicapai melalui sebuah kerajaan yang telus dan komited.

“Jika tiada komitmen yang baik, tidak ada kesungguhan untuk membela dan memastikan rakyat hidup selesa, keadaan tidak mustahil akan menjadi lebih teruk lagi,” tegasnya ringkas.

Leave a Reply

Your email address will not be published.