Categories
NASIONAL

OKU Ikrar Bantu PR Tawan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berikrar untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Lontaran ini disuarakan oleh Ketua Penggerak Kempen OKU Bangkit 2012, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, kempen ini merupakan satu mekanisme bagi mengetengahkan permasalahan OKU agar lebih diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Diharapkan parti politik akan peka mengenai OKU dalam menifesto pilihanraya akan datang. Kita bersedia untuk membantu PR memenangi Putrajaya InsyaAllah,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memberikan elaun kecacatan kepada OKU secara menyeluruh tanpa mengikut jenis kecacatan dan gaji pekerja OKU.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan tambahan kewangan kepada OKU yang bekerja sehingga mencapai pendapatan RM1,500 sebulan dan RM150 kepada OKU yang tinggal di rumah.

“Pembangunan OKU perlu dibuat secara menyeluruh. Satu portfolio OKU perlu dimartabatkan di peringkat kementerian di persekutuan dan exco di peringkat negerim.

“Kita harapkan dalam Bajet 2013 ada sesuatu untuk OKU,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan terus mendokong segala usaha pembangunan kepada golongan OKU di seluruh Malaysia.

Katanya, penubuhan sekateriat ini juga merupakan langkah awal bagi membantu kemenangan PR bagi membangunkan OKU kelak.

“Pihak kami akan mengikhtiarkan sebuah pusat khidmat atau sehenti OKU nasional bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih signifikan kepada OKU termasuk kajian berkaitan OKU, advokasi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan.

“Meskipun belum memerintah, kami akan mengikhtiarkan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bajet 2013 FOMCA Minta Kerajaan Tumpu Pengangkutan Awam, Rumah Mampu Milik

SHAH ALAM 25 SEPT : Sistem pengangkutan awam dan rumah mampu milik merupakan dua perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat dalam Bajet 2013  pada 28 September depan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata inisiatif itu perlu dizahirkan bukan sahaja di sekitar Lembah Kelang, tetapi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Contohnya pengangkutan awam, jika dibandingkan perkhidmatan pengangkutan awam hari ini dengan 30 tahun lepas, keadaan dulu adalah berkali ganda lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini.

“Pada masa ini, sesetengah tempat langsung tidak mempunyai perkhidmatan bas menyebabkan rakyat terpaksa pula menyewa kenderaan untuk ke sesuatu destinasi.

“Keadaan ini harus diubah dan kerajaanlah yang berkuasa memastikan keadaan ini mampu berubah,” ujarnya yang dihubungi TV Selangor.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Pusat juga perlu memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik dan menyemak semula dasar penempatannya.

“Kerajaan perlu mengkaji bagaimana harga rumah dapat dikurangkan atau mencapai satu harga yang mana setiap rakyat mampu membeli dan memiliki rumah sendiri,”katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM memberitahu agar kerajaan menyemak semula penempatan penduduk, jangan meminggirkan kawasan luar bandar dan membiarkan kawasan pesisir bandar pula dimonopoli perumahan elit.

Beliau bagaimanapun berkata segala usaha menaik taraf kehidupan rakyat ini hanya mampu dicapai melalui sebuah kerajaan yang telus dan komited.

“Jika tiada komitmen yang baik, tidak ada kesungguhan untuk membela dan memastikan rakyat hidup selesa, keadaan tidak mustahil akan menjadi lebih teruk lagi,” tegasnya ringkas.