Categories
NASIONAL

Gagal Bela Pelajar Dibuang Kolej, Menteri Tidak Profesional

SHAH ALAM 7 SEPT : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dilihat tidak profesional dan tidak bertanggungjawab apabila tidak mempertimbangkan keputusan memberhentikan pelajar kolej swasta yang didakwa terlibat dalam memijak gambar Perdana Menteri sewaktu sambutan ambang kemerdekaan baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR, Chua Yee Ling berkata Khaled seharusnya memberi peluang kedua untuk pelajar terbabit selain diberikan hak untuk membuat rayuan.

“Khaled sekurang-kurangnya patut mempertahankan hak merayu pelajar tersebut dan bukannya memuji cara pihak kolej yang memberhentikan pelajar itu tanpa memberi peluang langsung kepada pelajar itu.

“Kita boleh menghukum atau mendenda seseorang tetapi pada masa yang sama patut diberi peluang untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata kes pelajar terbabit masih dalam siasatan polis, seharusnya beliau tidak dibuang kolej.

“Tindakan pecat ini adalah satu yang tidak adil kepada pelajar berkenaan. Anak muda ini langsung tidak diberi peluang untuk membela diri dan menyampaikan suara hatinya,” katanya.

Tambahnya, dasar pendidikan negara sepatutnya membimbing pelajar bukannya menggunakan cara kekerasan untuk menakutkan pelajar.

Yee Ling turut mempersoalkan tindakan polis yang hanya bertindak terhadap pelajar yang memijak gambar Perdana Menteri tetapi tiada tindakan diambil terhadap individu yang melakukan insiden yang sama kepada pemimpin pembangkang

Sebelum ini, Khaled mengeluarkan kenyataan bahawa beliau percaya keputusan pengurusan sebuah kolej swasta di Cheras memberhentikan seorang pelajarnya berikutan insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara merupakan pertimbangan yang wajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.