Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Perkenaan Terima Dana Wakaf Untuk Bina Universiti Islam Malaysia

SHAH ALAM 7 SEPT : Sesuai dengan kedudukannya sebagai pihak yang menjaga kepetingan Islam di negara ini, Majlis Raja-raja Melayu berkenaan menubuhkan Universiti Islam Malaysia(UIM) yang bertaraf Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA).

Lebih istimewa ia dibina berteraskan dana dan harta wakaf bagi menyambung tradisi yang diperkenalkan pada tahun 1955 sebagai Kolej Islam Malaya.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk menerima sumbangan wakaf daripada tujuh wakil dalam satu Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf yang diadakan di Istana Kayangan di sini pagi tadi.

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Mohd Yusof Noor berkata, pemilihan Sultan Selangor untuk menerima dana adalah atas dasar menghormati jasa dan perkenan nenda baginda suatu waktu dahulu.

“Ini adalah penghormatan MUIM kepada Kerabat Diraja Selangor bagi pihak Almarhum Sultan Hisamuddin yang berkenan memakafkan tanah dan istana baginda di Kampung Jawa, Klang bagi pembinaan kampus pertama Kolej Islam Malaya pada tahun 1955,” jelas beliau dalam satu sidang media selepas majlis tersebut.

Penyumbang dana wakaf terbesar ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan dana sejumlah RM5 juta yang disampaikan wakilnya, Tun Ahmad Sarji.

Selain itu, dana wakaf juga disumbangkan Shahpadu Corporation Sdn Bhd dengan RM100, 000 diwakili Shafiz Shahrani, bekas pelajar Kolej Islam Malaya berjumlah RM30, 675 diwakili Datuk Dr Haron Din serta Waris dan Warga Petaling Jaya sebanyak RM17, 000 diwakili Rashadah Khamis.

Turut memberi sumbangan ialah Alumni Kolej Islam (ALKIS) dengan jumlah sebanyak RM11, 000 diwakili Datuk Sallehuddin Ishak, Persatuan Bekas Pelajar Kolej Islam Malaya (PBSKIM) dengan RM10, 000 disampaikan wakilnya, Datuk Abdul Manaf Ahmad serta bekas Ketua Pelajar Tahun 1975 diwakili Puzi Dahman dengan jumlah RM 10, 000.

Sementara itu, Mohd Yusuf dalam kenyataannya turut memberitahu UIM akan menggunakan model pentadbiran di bawah Majlis Raja-raja Melayu sepertimana yang dipersetujui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kampus yang menelan belanja sekitar RM 300 juta ini bertempat di Cyberjaya dan dijangka memulakan sesi akademik pertama pada tahun hadapan.

“Jika kampus tidak dapat disiapkan, kita sudah mempunyai rancangan untuk menyewa bangunan berhampiran tapak untuk sesi pengajian pelajar.

“Kursus pengajian yang ditawarkan bagaimanapun terhad kepada kursus di peringkat Sarjana dan PHD (Doktor Falsafah) sahaja, jadi kita jangkakan pelajar hanya sekitar 1, 000 orang, bergantung kepada permohonan kelak,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.