Categories
NASIONAL

Pakatan desak Soi Lek minta maaf

SHAH ALAM, 26 OKT : Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terus menerima tekanan agar membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya yang menghina Islam sehingga menaikkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat, Chua Yee Ling berkata, Pakatan Rakyat (PR) memandang serius isu tersebut dan berharap Soi Lek sedar akan keterlanjuran kata-katanya serta segera memohon maaf.

Menurutnya, PR amat tidak bersetuju dengan kenyataan pemimpin tertinggi MCA itu dan protes dilakukan di hadapan pejabat MCA Slim River, Perak semalam adalah tindakan susulan selepas protes sama dilakukan di Ibu Pejabat MCA Kuala Lumpur sebelum ini.

?Saya tidak faham dakwaan Soi Lek minggu lalu yang menyatakan 1.2 juta rakyat akan terjejas peluang pekerjaan sekiranya hudud dilaksanakan dan dakwaan itu dibuat kerana kononnya beliau menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang yang tidak dapat dikenali. Orang Cina atau bukan Islam lain tidak bersetuju dengan dakwaan tidak masuk akal itu.

“Orang Cina atau bukan Islam lain juga tidak sokong Malaysia laksanakan hudud tetapi tidak bermaksud mereka anti Islam dan boleh hina Islam. Ini dua perkara yang berbeza,” tegas Yee Ling dalam kenyataannya selepas majlis protes tersebut bersama pemimpin PKR dan Pas Slim River yang lain.

Yee Ling berkata, tindakan Soi Lek mempertahankan kenyataan Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie yang mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengalakkan dan membenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika berpakaian Islam adalah keterlaluan, biadap dan fitnah.

Malah, katanya, Soi Lek juga gagal menamakan negara Islam yang disebutnya ketika mendakwa lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai yang paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

“Dukacitanya MCA tidak berani berdebat mengenai dasar dan polisi negara bersama pimpinan PR malah mereka guna cara menghina Islam dan menakut-nakutkan masyarakat Cina. Akan tetapi masyarakat Cina sudah matang dan tidak mudah ditipu serta dipengaruhi oleh kenyataan yang bodoh ini.

“Maka protes yang kita buat di hadapan pejabat MCA ini juga meminta Ahli Parlimen Tanjung Malim dari MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan memberikan respon terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau menambah, ketika umat Islam menyambut Aidiladha hari ini, Soi Lek sewajarnya menunjukkan rasa hormat dan memohon maaf atas kesilapannya.

 

Categories
NASIONAL

Gagal Bela Pelajar Dibuang Kolej, Menteri Tidak Profesional

SHAH ALAM 7 SEPT : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dilihat tidak profesional dan tidak bertanggungjawab apabila tidak mempertimbangkan keputusan memberhentikan pelajar kolej swasta yang didakwa terlibat dalam memijak gambar Perdana Menteri sewaktu sambutan ambang kemerdekaan baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR, Chua Yee Ling berkata Khaled seharusnya memberi peluang kedua untuk pelajar terbabit selain diberikan hak untuk membuat rayuan.

“Khaled sekurang-kurangnya patut mempertahankan hak merayu pelajar tersebut dan bukannya memuji cara pihak kolej yang memberhentikan pelajar itu tanpa memberi peluang langsung kepada pelajar itu.

“Kita boleh menghukum atau mendenda seseorang tetapi pada masa yang sama patut diberi peluang untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata kes pelajar terbabit masih dalam siasatan polis, seharusnya beliau tidak dibuang kolej.

“Tindakan pecat ini adalah satu yang tidak adil kepada pelajar berkenaan. Anak muda ini langsung tidak diberi peluang untuk membela diri dan menyampaikan suara hatinya,” katanya.

Tambahnya, dasar pendidikan negara sepatutnya membimbing pelajar bukannya menggunakan cara kekerasan untuk menakutkan pelajar.

Yee Ling turut mempersoalkan tindakan polis yang hanya bertindak terhadap pelajar yang memijak gambar Perdana Menteri tetapi tiada tindakan diambil terhadap individu yang melakukan insiden yang sama kepada pemimpin pembangkang

Sebelum ini, Khaled mengeluarkan kenyataan bahawa beliau percaya keputusan pengurusan sebuah kolej swasta di Cheras memberhentikan seorang pelajarnya berikutan insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara merupakan pertimbangan yang wajar.