Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Tambah Muzium di Selangor

SHAH ALAM 7 SEPT : Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah lebih banyak muzium di beberapa daerah di Selangor bagi mengekalkan adat dan warisan Melayu supaya ia dapat dinikmati serta dihargai generasi akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setakat ini terdapat lima buah muzium di Selangor, antaranya Muzium Daerah Sabak Bernam, Muzium Daerah Kuala Selangor, Muzium Insitu Jugra, Muzium Sultan Alam Shah dan Muzium Klang.

Menurutnya, kesemua muzium ini akan melalui fasa penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan adat Melayu, budaya serta warisan sejarah terus dikekalkan.

“Saya difahamkan DYMM Tuanku Sultan juga merancang untuk menjadikan istana di Klang sebagai muzium yang terbuka untuk dilawati oleh orang ramai. Kerajaan Negeri juga akan menggantikan struktur bangunan muzium sedia ada supaya ia lebih ceria dan tidak lagi nampak uzur.

“Kesemua penambahbaikan ini bakal dilaksanakan pada tahun hadapan melalui Belanjawan Negeri yang akan dibentangkan November depan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Selangorku, Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan di Muzium Sultan Alam Shah, dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Teresa Kok.

Pemeran Selangorku yang julung kali diadakan ini memaparkan kelangsungan sejarah serta perjuangan generasi terdahulu yang membentuk Selangor seterusnya menyumbang kepada kegemilangan perkembangan ketamadunan rakyat negeri ini.

Pameran itu merupakan anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Leave a Reply

Your email address will not be published.