Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Lulus Pertukaran 12 Projek Rumah Kos Rendah Kepada Rumah Mampu Milik

BANGI 13 SEPT : Bagi memenuhi keperluan rumah rakyat Selangor, Kerajaan Negeri kini meluluskan 12 pertukaran projek rumah kos rendah kepada rumah mampu milik, jelas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Jumlah ini katanya diluluskan daripada 23 permohonan yang diterima setakat ini manakala 11 lagi projek masih dalam perbincangan Kerajaan Negeri.

“Melalui 12 projek tersebut, sebanyak 3,347 unit rumah akan dibina dan dijangkakan 8,000 unit kesemuanya sekiranya semua permohonan terbabit diluluskan,” katanya ketika melawat tapak rumah mampu milik yang dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi di sini.

Katanya, semua projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga ke empat tahun akan datang.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama pemaju lain yang ingin menukar status projek rumah kos rendah kepada rumah mampu milik.

Projek pangsapuri 6 tingkat di Seksyen 6, Bandar Baru Bangi yang menempatkan 124 unit rumah dimulakan pada tahun 2011 dan dijangka siap pada Februari 2013.

Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dijangka diperoleh pada April 2013 sementara majlis penyerahan kunci pula akan dilangsungkan pada Mei 2013.

Setakat ini, kerja-kerja pembinaan siap 55 peratus.

Kos pembangunan projek ini ditanggung sepenuhnya oleh PKNS dengan keluasan 700 hingga 800 kaki persegi (kps) dan ia terletak di atas tanah pegangan bebas.

Harga jualan bagi seunit pangsapuri ini dalam lingkungan RM60,000 hingga RM99,000 dan dijangka tidak melebihi RM150,000.

Dalam tempoh 10 tahun (2011-2021), PKNS menjangkakan dapat membina 11,000 unit rumah mampu milik di daerah Shah Alam, Hulu Langat, Gombak, Petaling, Sepang dan Klang.

Selain pembangunan projek jenis pangsapuri, PKNS atan turut membangunkan rumah teres 1 tingkat dan ‘townhouse’.

Video Berkaitan: http://www.youtube.com/watch?v=lH9KAvOuexY

Leave a Reply

Your email address will not be published.