Categories
NASIONAL SELANGOR

PAS Bantah Lagi Penghinaan Karikatur Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 26 SEPT : Tidak sampai seminggu himpunan besar-besaran dihadapan Kedutaan Amerika Syarikat, kini Kedutaan Perancis menjadi tumpuan ekoran penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad SAW di dalam majalah Charlie Hebdo.

Karikatur yang diterbitkan pada 19 September lalu merupakan kesinambungan perbuatan menghina Islam yang cuba mencetuskan provokasi agama.

PAS yang nyata kecewa dengan tindakan yang dianggap dari musuh Islam tampil ke Kedutaan Perancis di Jalan Ampang di sini bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengetuai rombongan itu berkata, Islam tegas dalam mempertahankan kebesaran Nabi Muhammad SAW dan tidak akan sesekali menghina agama lain seperti yang telah disebutkan dalam Al-Quran.

“Eropah menggambarkan Islam sebagai pelampau agama. Penghinaan ini memberikan ‘lesen’ kepada pelampau untuk bertindak.

“Kebebasan bersuara jangan sampai menghina agama lain. Jika agama Kristian dihina kami akan bantah juga,” kata Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu.

Katanya, penghinaan ini mampu membangkitkan kejadian serangan seperti yang berlaku di Libya.

Mat Sabu yang masuk ke perkarangan kedutaan pada jam 11.45 pagi turut ditemani oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Setiausaha Lajnah, Mohamad Faiz Mat Nawi dan Pembantu Mat Sabu, Tajuddin Osman.

Dr Syed Azman yang ditemui di luar kedutaan meminta bantahan umat Islam ini disuarakan kepada Presiden Perancis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Sebanyak empat karikatur Nabi Muhammad SAW disiarkan dan dua daripadanya menggambarkan Baginda sedang telanjang.

Dalam komen biadap editor majalah berkenaan, Charb berkata, beliau tidak menyalahkan orang Islam untuk tidak ketawa dengan lukisan mereka.

“Saya tinggal dibawah perundangan Perancis, tidak tinggal dibawah perundangan Al-Quran,” katanya.

Pada tahun 2005 penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW turut dizahirkan melalui lukisan karikatur oleh akhbar Jyllands-Posten di Denmark.

Leave a Reply

Your email address will not be published.