Categories
NASIONAL SELANGOR

MDKL Akan Ambil Tindakan Terhadap Pasaraya Beroperasi Lebih Masa

KUALA LANGAT 26 SEPT : Tindakan sesetengah pasaraya beroperasi melebihi had waktu ditetapkan menyebabkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengambil langkah untuk menyelaraskan waktu operasi ke atas semua premis perniagaan itu.

Pemangku Yang Dipertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari berkata pihaknya mengambil serius perkara itu kerana ia melibatkan kesalahan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sebelum ini, terdapat pasaraya yang beroperasi 24 jam setiap hari dan menyebabkan kemarahan dan rungutan dari pihak peniaga runcit di sekitar Kuala Langat.

Katanya, pasaraya terbabit pernah membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh operasi, namun pihak MDKL menolak permohonan itu.

“Bagaimanapun, pihak mereka degil dan tetap menjalankan operasi 24 jam biarpun dikompaun.

“Oleh itu, kita akan menyelaraskan masa operasi bagi semua perniagaan seperti itu. Kita tidak mahu mana-mana perkara sedemikian akan menyebabkan pergaduhan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MDKL.

Hafiz menambah, tempoh operasi yang dibenarkan itu bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam sahaja.

Katanya, sekiranya pihak pengurusan masih berdegil tindakan tegas akan diambil.

“Kita juga akan mengadakan sesi dialog dengan kesemua pihak pengurusan pasaraya untuk membincangkan perkara ini dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.