Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Pantau Ban Yang Pecah


SHAH ALAM 10 OKT : Kerajaan Negeri akan memantau ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC di Perak bagi memastikan bekalan air sentiasa berterusan kepada penanam padi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Exco Kerajaan negeri dan pegawai pertanian akan turun padang dalam masa terdekat untuk memantau masalah itu.

“Kita akan memanggil Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS), exco dan pegawai pertanian untuk membuat kajian.

?Berapa luas kesan kekurangan air kepada petani dan kesan kepada ekonomi jika keadaan ini berterusan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di SUK.

Abdul Khalid berkata kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit seringkali berlaku dan sebelum ini, penyelenggaraannya di bawah JPS.

Ekoran kejadian itu, pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut akan mempercepatkan pembaikan ban sungai tersebut yang dijangkakan siap pada April 2013.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan meminta projek itu disiapkan dalam masa lebih awal.

Baru-baru ini, paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan surut.

Siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati masalah itu berpunca daripada ban sungai yang pecah.

Dalam masa yang sama, JPS akan menggunakan pam bagi mengagihkan air ke kawasan penanaman padi yang mengalami masalah kekurangan air.

Leave a Reply

Your email address will not be published.