Categories
SELANGOR

9 Kedai Makan Dan Cafe Warga Asing Diserbu dan Disita

 

SHAH ALAM 7 NOV: Sembilan buah kedai makan dan cafe yang diuruskan warga asing diserbu penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), polis dan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi di sekitar kawasan Seri Muda, Shah Alam petang tadi.

Kedai makan yang disewa kepada warga asing dari Myanmar, Nepal dan Bangladesh ini didakwa dijalankan tanpa lesen perniagaan yang sah dan dipercayai turut dijadikan sarang tempat tinggal mereka.

Pegawai Penguatkuasa MBSA, Khairul Hanif Abu Taib yang mengetuai operasi berkenaan berkata, operasi hari ini dijalankan setelah menerima aduan daripada orang awam dan pemantauan berterusan MBSA bagi mengenalpasti premis-premis yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Sebanyak sembilan premis yang berada di tingkat dua bangunan disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan seperti sedia maklum warga asing memang tidak dibenarkan berniaga dan menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya ketika ditemui sejurus selesai operasi itu.

Katanya, kesemua premis ini dipercayai dimiliki warga tempatan namun disewakan kepada warga asing untuk digunakan sebagai kedai makan serta tempat kediaman secara tidak sah.

“Kesemua pemilik premis ini akan disiasat dan mereka boleh didakwa di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan, Perniagaan dan Perindustrian MBSA 2007,” jelasnya lagi.

Sementara itu, seramai 15 orang warga asing berusia 20 tahun ke atas ditahan dalam operasi yang sama kerana gagal menunjukkan bukti pengenalan diri yang sah.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Amri Othman berkata, seramai tiga orang warga Indonesia, sembilan orang warga Myanmar dan tiga orang warga Nepal ditahan di dalam operasi itu.

“Kesemua mereka akan dibawa ke Jabatan Imigresen dan akan ditempatkan di depoh tahanan Imigresen sementara menunggu sisatan dilakukan,” katanya.

Operasi bersepadu ini diserta seramai 60 orang penguatkuasa MBSA, 33 orang polis dan seramai 13 orang pegawai Imigresen Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.