Categories
NASIONAL

AES Tekan Rakyat, AMK Desak Menteri Tangguh

SHAH ALAM, 1 NOV : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bertindak menangguhkan segera pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selepas menerima bantahan pelbagai pihak termasuk dari pemimpin Umno-BN serta NGO yang menyokongnya.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, sewajarnya Kong tidak berdegil dalam isu itu dengan mempertahankan pendiriannya demi meneruskan projek itu yang memihak kepada syarikat swasta terlibat.

Menurutnya, Kong perlu menyedari perkara itu kerana Pemuda Umno dan Cuepacs turut bersetuju dengan Pakatan Rakyat (PR) bahawa AES jelas menekan dan membebankan rakyat.

Katanya, biarpun Kong berjaya mengelak diri daripada dikenakan tindakan pemotongan gaji apabila ditolak Speaker Dewan Rakyat tetapi prestasi Kong mendukacitakan dan dipertikaikan.

Lee berkata, AMK mempersoalkan kedegilan Kong untuk mempertahankan penswastaan penguatkuasaan AES dapat mengurangkan kemalangan jalanraya kerana faktor utama insiden itu bukan akibat kelebihan kelajuan.

Tindakan Kong mempertahankan dua syarikat swasta terlibat dalam pelaksanaan AES, tambahnya, jelas berasaskan keuntungan yang akhirnya membawa penderitaan kepada rakyat.

“AMK menegaskan bahawa penswastaan penguatkuasaan akan menimbulkan implikasi yang buruk. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, segala pengurusan awam serta ketanggungjawaban tidak wajar diswastakan kerana ia akan menjadikan negara dikawal syarikat swasta.

“AMK mengalu-alukan keputusan kerajaan PR menangguh pelaksanaan AES di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Tindakan tersebut bukan sekadar meringankan beban rakyat yang semakin berat malah menghentikan sebarang usaha penswastaan projek penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, sesiapa yang ingin mendirikan sebarang struktur dan bangunan di dalam lingkungan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti memperolehi kebenaran atau permit terlebih dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.