Categories
SELANGOR

Kualiti Air Sungai-sungai Selangor Memuaskan

SHAH ALAM 7 NOV : Sungai yang merupakan sumber air kepada loji rawatan di Selangor berada di tahap memuaskan dengan setengah sungai mencatitkan peningkatan dari segi kualiti air.

Exco Selangor, Elizabeth berkata, tahap pencemaran sumber air negeri setakat ini masih terkawal dengan indeks kualiti air sentiasa meningkat saban tahun bermula 2000 sehingga tahun ini.

“Mengikut laporan, indeks kualiti air meningkat di tiga sungai utama negeri iaitu Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Klang,” jelas Elizabeth yang menjaga portfolio Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.

Menurut Elizabeth, Sungai Langat mencatat peningkatan indeks kualiti air daripada 68 peratus kepada 76 peratus dalam kategori sederhana tercemar.

Sementara Sungai Selangor pula berada dalam kategori kelas kedua; kategori bersih setelah mencatat peningkatan daripada 81 peratus kepada 86 peratus.

Peningkatan paling besar dicatat Sungai Klang yang naik daripada 53 peratus iaitu kategori tercemar kepada 72 peratus dalam iaitu kategori sederhana tercemar.

Fakta tersebut bagi menjawab dakwaan dari beberapa pihak yang keadaan sungai yang tercemar telah mengugat bekalan air terawat kerana sungai merupakan sumber kepada loji rawatan air di Selangor.

Secara amnnya, Elizabeth berkata setiap kes pencemaran akan diberi perhatian dan tindakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) supaya tidak menjejaskan keperluan rakyat.

“Ini tiada kompromi, kes yang melibatkan syarikat ternama seperti dilaporkan LUAS dan Jabatan Alam Sekitar juga kini sedang menanti difailkan di mahkamah,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, LUAS menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai Selangor dan Pasukan Petugas Pengawal Pencemaran untuk menjalankan pemantauan.

Bagi kes-kes kecemasan seperti pencemaran yang memerlukan arahan henti tugas loji, tindakan segera akan diambil Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.