Categories
NASIONAL

Muslimat PAS: Izzah Dihukum Sebelum Disiasat

KUALA LUMPUR, 7 NOV – Dewan Muslimat PAS berpendapat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dihukum sebelum disiasat.

Timbalan Ketua Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, selepas mendengar penjelasan daripada Nurul Izzah dah wakil PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang hadir sebagai panel, mereka percaya dan yakin apa yang diperkatakan Izzah diputarbelitkan pada Forum Islamic State- Which Version? Whose Responbility?

“Banyak andaian dan tanggapan dibuat oleh pelbagai pihak bagi memanjangkan isu ini walaupun mereka tidak hadir dan mendengar sendiri forum itu. Mereka membuat komen hanya berasaskan laporan Utusan Malaysia,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya, Nurul Izzah dihukum bersalah oleh seterunya sebelum mendapat penjelasan dan memahami konteks dan maksud ayat beliau.

“Adalah satu tuduhan yang tak masuk akal menuduh seorang muslimah mukminah, yang solat, yang puasa, yang tutup aurat mengajak orang Melayu meninggalkan Islam dan menyokong orang Melayu murtad.

“Isu ini dipolitikkan dan sengaja diperbesarkan sedangkan Nurul Izzah tidak sekali mengeluarkan kenyataan yang bermaksud, orang Melayu bebas memilih agama, atau mengajak orang Melayu keluar Islam atau menyokong orang yang murtad,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.