Categories
SELANGOR

Pengalaman Melayakkan Anwar Sebagai Penasihat Ekonomi Negeri

SHAH ALAM, 23 NOV : Pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan selama lapan tahun sebelum ini melayakkan beliau untuk menyandang jawatan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru, Abdul Khalid berkata, tindakan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Satim Diman yang sengaja mempertikaikan peranan Anwar disifatkan tidak lebih sebagai ‘cemburu’.

“Satim mempersoalkan peranan Datuk Seri (Anwar) yang kononnya tidak sesuai. Jika Sri Serdang (Satim) pernah menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun, saya boleh minta dia jadi penasihat. Anwar dipilih atas pengalaman beliau, maka tugas untuk mentadbir kewangan negeri dan negara adalah sangat sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2013 semasa Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini pagi tadi.

Sebelum ini, Satim mempersoalkan peranan Anwar kerana didakwa gagal bertindak terhadap pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Yayasan Selangor, Universiti Selangor (Unisel) dan agensi-agensi Kerajaan Negeri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.