Categories
SELANGOR

MB : Tidak Pernah Terima Memorandum Kakitangan Kuis

khalid

SHAH ALAM, 16 JAN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan pihak Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang memorandum aduan berhubung dakwaan pembekuan kenaikan dan penyelarasan gaji tahunan kakitangan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Dalam reaksi ringkas Abdul Khalid berkata, isu penahanan kenaikkan gaji ini tidak timbul terhadap semua kakitangan meskipun mereka yang berstatus kontrak.

“Saya ingat sebagai ahli lembaga pengarah KUIS, semua ini adalah mengikut tatacara perkhidmatan. Kalau tatacara perkhidmatan biasanya pada saya kalau perlu diberikan kenaikan gaji, akan terus diberikan kenaikkan.

“Saya tidak nampak mengenai penahanan kenaikkan gaji sebab walaupun seseorang itu bekerja secara kontrak, biasanya isu ini tidak timbul.

“Saya pun tidak menerima apa-apa memorandum daripada pegawai-pegawai yang terlibat dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Laporan media sebelum ini memetik, pembekuan kenaikan gaji tahunan kakitangan ini bermula sejak tahun 2011 yang melibatkan kira-kira 200 kakitangan KUIS termasuk pensyarah kolej selain kemerosoran pendaftaran pelajar baru.

Ujar Abdul Khalid lagi, pengurangan pelajar yang didakwa sebelum ini boleh ditambah memandangkan banyak permintaan untuk memasuki KUIS.

“(Pengurangan) tidak mengapa ia boleh ditambah. Sebenarnya permintaan untuk memasuki institusi Kuis banyak, tapi kita mahu tentukan aliran yang sesuai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.