Categories
NASIONAL

Anwar: Kepimpinan Tiga Negeri Membayangkan Kecekapan, Amanah Memerintah Negara Kelak

pemimpin tinggi PR konvesyen 01

 

SHAH ALAM 25 FEB : Kepimpinan Menteri Besar Kelantan dan Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang sukar dicari dalam sejarah politik negara malah menjadi contoh bagaimana Pakatan Rakyat akan mentadbir negara kelak.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konsep ‘good governance’ yang diamalkan mereka menjadikan negeri PR bersih dan telus sehinggakan Umno-BN tiada bukti penyelewengan.

Katanya, tiga pemimpin itu wajar dijadikan contoh kepada kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

“20 tahun, Tok Guru (Datuk) Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau tidak merompak duit, harta rakyat. Juga tidak mencari ‘elaun’ tambahan.

“Begitu juga dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Saya bangga dengan beliau. Beliau bersih dan prihatin.

“Walaupun digambarkan sebagai pelampau tapi dalam sejarah Pulau Pinang belum dapat Ketua Menteri yang pertahankan prinsip cekap,akauntabiliti dan telus (CAT).

“Manakala Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR adalah contoh korporat yang mencatatkan lebihan rekod dalam keadaan Malaysia mengalami defisit parah.

?Tetapi beliau berjaya catat lebihan RM2.6 bilion walaupun menghadapi tekanan yang kuat dari kerajaan persekutuan,” katanya dalam ucaptama Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke empat di Shah Alam Convention Center.

Beliau menambah hal itu menjadi kekuatan kepada PR seterusnya membuktikan ia tidak boleh dicabar mana-mana pemimpin Umno-BN.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan tujuan PR memenangi kuasa adalah bukan untuk membalas dendam sebaliknya mahu melaksanakan agenda rakyat untuk mengembalikan milik rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.