Categories
NASIONAL

Tiada Suami-Isteri Penjawat Awam Terpisah Jauh Di Bawah PR

PR

PUTRAJAYA 27 APRIL : Pakatan Rakyat(PR) akan melaksanakan konsep Al Mawaddah, iaitu pertukaran penempatan kakitangan kerajaan khususnya di kalangan guru-guru, sekiranya menerima mandat rakyat menerajui Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, tidak ada lagi suami isteri penjawat awam yang terpaksa berpisah jauh, yang merencatkan pembinaan keluarga mereka.

“Kita akan satukan suami isteri di bawah konsep Mawaddah iaitu mendekatkan antara satu sama lain.

“Kalau Datuk Seri Najib mahu tidur dengan Datin Seri Rosmah, mengapa pula rakyat jelata tidak diberi pilihan untuk bersama ahli keluarga mereka di bawah satu bumbung dengan penempatan kerja yang dekat antara satu sama lain,” ucapnya di hadapan lebih 10, 000 hadirin dalam satu ceramah malam tadi.

Datuk Husam Musa

Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga menjanjikan kebebasan bersuara kepada penjawat awam tanpa melibatkan sebarang campur tangan politik, sepertimana yang dipratikkan oleh Umno-BN ketika ini.

Begitu juga dengan kebebasan untuk berdakwah yang akan diberikan kepada mana-mana individu atau pihak asalkan konteks yang diketengahkan adalah selari dengan ajaran Al Quran dan Sunnah.

“Sekarang ini, kalau Ustaz Azhar Idrus hendak bagi ceramah di Masjid Mizan (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) tidak dibenarkan tetapi konsert K-Pop boleh pula diadakan di hadapan masjid.

“Jadi kita akan tukar ini, dan akan beri permit serta tidak akan sewenang-wenangnya pecat jawatankuasa masjid,” jelas calon PAS bagi Parlimen Putrajaya ini.

Categories
NASIONAL

Nik Aziz : DAP Tidak Takut Kepada Islam, Sebaliknya Umno Yang Takut Islam

Nik Aziz DAP Tidak Takut Kepada Islam Sebaliknya Umno

SHAH ALAM, 15 APRIL: Penerimaan bukan Islam khususnya kaum Cina mengenai dasar Islam yang dibawa PAS sehingga mereka tidak lagi berasa takut merupakan satu perkembangan baik untuk lanskap politik Malaysia.

Perkara ini menunjukkan dakwah ‘Islam Untuk Semua’ dibawa PAS sebagai agama daripada Allah SWT hanya menggerunkan Umno sahaja tetapi diterima baik masyarakat seperti yang berlaku di Kelantan.

Atas dasar ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, DAP boleh menggunakan lambang parti PAS sekiranya pendaftaran mereka dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bersabit kontroversi pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

“Alhamdulillah kerana Islam adalah agama untuk semua, bukan untuk orang Arab sahaja, sekarang Cina mula tidak takut kepada Islam. Islamphobia tidak ada.

“DAP dalam seminggu lepas sekiranya parti DAP diharamkan ROS, DAP nak bertanding guna lambang bulan (PAS).

“DAP sudah tidak takut kepada Islam sebaliknya Umno yang takut kepada Islam,” katanya.

Mengulas lanjut ketika sesi soal jawab ‘Bicara Cinta’ katanya, kumpulan Sami Buddha di Tumpat, Kelantan memberikan contoh yang baik berbanding Umno apabila memberikan sumbangan sebanyak RM70,000 kepada kerajaan negeri untuk projek pembinaan Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai.

“Waktu Datuk Husam iklan nak buat lebuh raya, sami (Buddha) Tumpat jemput saya dan beri hadiah.

“Hampir RM70,000 sami Buddha derma kepada Kerajaan Kelantan. Dia yakin dengan Islam yang PAS bawa.

“Umno Kelantan buat apa? Dia bawa kereta sorong buruk. Otak umno mempersenda Kerajaan Kelantan buat lebuhraya,” jelasnya lagi.

Di samping itu katanya, dalam usaha menawan pengundi Kelantan, Umno-BN ingin menampilkan calon berstatus ‘ulama’ sedangkan dasar perjuangan mereka menumpukan kepada politik kebangsaan.

Tegasnya, sekiranya Umno-BN ingin ‘meniru’ dasar PAS yang mengetengahkan tokoh agama untuk dijadikan pemimpin, mereka seharusnya mengambil kira semua aspek dan bukannya memilih perkara tertentu sahaja.

“Umno Kelantan buat kenyataan dalam seminggu dua ini nak memlih calon ulama. Dia kebangsaan, pilih ulama. Dah kenapa tidak pilih kebangsaan?

“Nak tiru dengan sebab orang Kelantan suka ulama, pilih ulama. Mana ada ulama dalam kebangsaan. Ulama ertinya orang yang mahir dengan agama Allah,” tambah Nik Aziz lagi.

Bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz turut melancarkan buku terbarunya bertajuk ‘Bicara Ini Demi Ilahi’ terbitan Grup Buku Karangkraf.

Nik Aziz DAP Tidak Takut Kepada Islam Sebaliknya Umno 01

Categories
NASIONAL

Anwar: Kepimpinan Tiga Negeri Membayangkan Kecekapan, Amanah Memerintah Negara Kelak

pemimpin tinggi PR konvesyen 01

 

SHAH ALAM 25 FEB : Kepimpinan Menteri Besar Kelantan dan Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang sukar dicari dalam sejarah politik negara malah menjadi contoh bagaimana Pakatan Rakyat akan mentadbir negara kelak.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konsep ‘good governance’ yang diamalkan mereka menjadikan negeri PR bersih dan telus sehinggakan Umno-BN tiada bukti penyelewengan.

Katanya, tiga pemimpin itu wajar dijadikan contoh kepada kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

“20 tahun, Tok Guru (Datuk) Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau tidak merompak duit, harta rakyat. Juga tidak mencari ‘elaun’ tambahan.

“Begitu juga dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Saya bangga dengan beliau. Beliau bersih dan prihatin.

“Walaupun digambarkan sebagai pelampau tapi dalam sejarah Pulau Pinang belum dapat Ketua Menteri yang pertahankan prinsip cekap,akauntabiliti dan telus (CAT).

“Manakala Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR adalah contoh korporat yang mencatatkan lebihan rekod dalam keadaan Malaysia mengalami defisit parah.

?Tetapi beliau berjaya catat lebihan RM2.6 bilion walaupun menghadapi tekanan yang kuat dari kerajaan persekutuan,” katanya dalam ucaptama Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke empat di Shah Alam Convention Center.

Beliau menambah hal itu menjadi kekuatan kepada PR seterusnya membuktikan ia tidak boleh dicabar mana-mana pemimpin Umno-BN.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan tujuan PR memenangi kuasa adalah bukan untuk membalas dendam sebaliknya mahu melaksanakan agenda rakyat untuk mengembalikan milik rakyat.

Categories
NASIONAL

Rahim Noor Perlu Mohon Maaf Segera Kepada Nik Aziz

SHAH ALAM, 9 MEI : Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor digesa segera memohon maaf kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas tohmahan biadap yang dilemparkan.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Nik Aziz merupakan seorang ulama, tokoh politik dan ilmuan Islam berwibawa yang dihormati serta disegani setiap lapisan masyarakat.

“Orang Islam mahupun orang bukan Islam menyanjungi pekerti Tuan Guru(Nik Aziz) dan menghormati kegigihan beliau mentadbir Negeri Kelantan selaku Menteri Besar demi kemaslahatan rakyat negeri tersebut.

“Sebagai Mursyidul Am PAS, Tuan Guru merupakan teladan kepada ahli PAS serta menjadi antara rujukan utama kepada Muslim seluruh negara,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Tambah Azmin , Nik Aziz telah menampilkan kepimpinan bertunjangkan pesan agama Islam dan menzahirkannya sebagai suatu bentuk dakwah bil hikmah.

“Namun kita dikejutkan dengan tohmahan biadap dan melampau mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menggelar Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai bapa kafir,” katanya.

Azmin menegaskan Rahim  sebenarnya tidak layak mempersoal keimanan dan keyakinan  Nik Aziz.

“Kedangkalan kenyataan mantan Ketua Polis Negara itu jelas terserlah malah dicemuh rakyat,” katanya.

Rahim Noor sebelum ini didapati bersalah membelasah Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan pada tahun 1999, atas desakan rakyat satu Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat insiden mata lebam.

Perbuatan Rahim telah mencemarkan imej negara dan institusi polis dan beliau didapati bersalah dan dipenjarakan.

Categories
NASIONAL

Nik Aziz: BERSIH 3.0 Perlu Di Gerakkan

ALOR SETAR, 14 JAN: Mursidul AM PAS, Tuan Guru Datok Nik Aziz Nik Mat menyeru supaya BERSIH 3.0 di gerakkan bagi memastikan Pilihanraya Umum ke-13 akan datang dilaksanakan dengan adil, telus dan bersih.

Dalam perutusan yang di edarkan hari ini, beliau berkata tindakan Kerajaan Umno/BN yang di terajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakankan taktik melengah-lengahkan lapan tuntutan BERSIH 2.0 menerusi Pengistiharan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

“Ia satu usaha yang dipertikaikan keikhlasannya.Ini tidak lebih dari usaha pengalih perhatian umum dari menyerang SPR. Ia satu taktik supaya rakyat lupa lapan tuntutan BERSIH 2.0.”

Berhubung Konvensyen yang sedang berlangsung, Menteri Besar Kelantan itu berkata perpaduan yang terjalin dengan komponen PR membolehkan PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat bukan Islam.

“Umno pula tidak putus-putus mengkhianati perjuangan PAS dengan menuduh PAS menjadi kuda tunggangan DAP.

“Sebab itu Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk di jemput menjadi rakan dalam PR.

Sehubungan itu menurut beliau sudah tiba masanya menerusi konvensyen ini untuk menggarap dan meningkatkan kerjasama untuk menjayakan agenda BERSIH 3.0 akan menjadi sebuah realiti.

“Ini adalah usaha dan kerjasama yang pasti akan memartabatkan lagi PR selepas 901 iaitu keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kerjasama politik dalam PR memenuhi prinsip Tahaluf-Siasi yang merupakan kebajikan sejagat yang mendapat keredhaan Allah.

Justeru katanya, keadilan untuk pelbagai kaum yang diperjuangkan PR selepas 901 mempunyai harapan yang cerah untuk menguasai Putrajaya.