Categories
NASIONAL

PKR Sahkan Tian Chua Pertahan Kerusi Parlimen Batu

Tian Chua parlimen 01
PETALING JAYA, 10 APR: Naib Presiden PKR, Tian Chua diumum akan mempertahankan Kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU-13) yang diadakan awal bulan depan.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah, PKR berpendapat bahawa Tian Chua layak untuk bertanding sebagai calon  walaupun sebelum ini pernah dikenakan denda RM 2,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Dalam penghakiman tersebut, beliau turut membincangkan persoalan samada Tian hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen atas alasan denda tersebut.

“Beliau memutuskan bahawa Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen dan tidak hilang kelayakan,” kata Nurul Izzah ketika membacakan kenyataan itu di sidang media  di ibu pejabat PKR di sini.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, sebelum ini Parlimen yang sedia maklum akan fakta penuh kes Tian Chua juga tidak mengambil langkah bagi menghilangkan kelayakan ahli parlimen beliau.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang mempunyai kuasa penuh di sisi undang-undang untuk memutuskan persoalan  kelayakkan Ahli Parlimen juga tidak memulakan sebarang tindakan terhadap Tian Chua sebagai Ahli Parlimen.

“Maka jelaslah bahawa kedua-dua Parlimen dan SPR bersetuju dengan penghakiman Hakim Ghazali atau sekurang-kurangnya melihat tiada keperluan untuk berbeza pendapat dalam hal ini,” ujar Dr Wan Azizah lagi.

Dalam PRU-12 pada 2008 lalu Tian memenangi Parlimen Batu apabila memperolehi undian sebanyak 29,785 mengatasi pesaing Lim Si Pin dari BN dengan majoriti 9,455.

Pada Oktober 2009, Mahkamah Majistret mendapati Tian Chua bersalah kerana mencederakan seorang anggota polis dalam satu protes berhampiran Bangunan Parlimen pada 2007 sehingga menyebabkan beliau dihukum penjara enam bulan dan denda RM 3,000.

Pada Jun 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha yang menolak rayuan Tian Chua berhubung sabitan itu, meringankan hukumannya kepada penjara dua bulan dan denda RM 2,000 bagi mengelak pilihan raya kecil diadakan.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam kenyataan beliau ketika itu turut mengumumkan bahawa Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen Batu.

Pandikar berkata, Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa kedudukan Tian Chua tidak akan terlucut secara automatik kerana denda RM 2,000 tidak melucutkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.