Categories
NASIONAL

Majistret Bebaskan Tian, Haris dan Tamrin

tian pix

SHAH ALAM, 24 MEI : Mahkamah Majistret hari ini menetapkan untuk membebaskan Naib Presiden PKR, Tian Chua bersama dua aktivis politik, Haris Ibrahim dan Datuk Tamrin Abdul Ghafar daripada tahanan polis.

Ia susulan tindakan Majistret Norashikin Sahat menolak permohonan polis untuk menahan mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Perkara itu disahkan peguam, R.Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang ketika dihubungi TV Selangor.

“Benar ketiga-tiga mereka dibebaskan apabila Majistret mendapati tiada asas atau bukti kukuh berhubung permohonan reman oleh pihak polis.

“Polis memohon untuk menahan mereka selama tujuh hari bagi tujuan siasatan, akhirnya lepas mendengar hujahan daripada peguam, mahkamah mendapati ia tidak berasas (penahan) dan membebaskan mereka serta-merta,” katanya.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada tahanan polis kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Berita pembebasan mereka juga turut tersebar luas di laman media sosial.

Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 semalam di tiga lokasi berasingan sebelum dimasukkan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur Balai Polis Jinjang sekitar jam 5 petang.

Tian Chua telah ditahan di LCCT pada pukul 12.30 tengah hari semalam semasa menunggu pesawat untuk ke Kuala Terengganu.

Sementara Haris, aktivis pergerakan Asal Bukan Umno (ABU) ditahan pada waktu sama semasa sedang makan tengahari di Segambut sejurus memberikan sokongan kepada Adam Adli di mahkamah.

Manakala anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin ditahan ketika sedang makan di Bangsar.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.