Categories
NASIONAL SELANGOR

Manfaatkan Ramadan Dengan Amalan Mulia Yang Berkat

MB-Ramadan

SHAH ALAM 10 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru agar setiap guru agama dan jawatankuasa institusi masjid serta surau di seluruh negeri Selangor meningkatkan lagi peranan dalam usaha memanfaatkan bulan Ramadan menerusi pelbagai program keagamaan, intelektual dan kemasyarakatan.

Menurutnya lagi, umat Islam khususnya di negeri Selangor perlu  memanfaatkan setiap hari dalam bulan yang mulia dan penuh berkat ini dengan amalan-amalan murni dan bermakna kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

“Kita digalakkan mengambil peluang menambah pahala dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Terawih dan bertadarus al-Quran di sepanjang Ramadan.

“Kita juga digalakkan bersedekah bagi memupuk sikap kebertanggungjawaban, ambil berat dan saling membantu antara satu sama lain seiring dengan saranan baginda Nabi Muhammad S.A.W,” ujar Abdul Khalid.

Beliau dalam perutusan sambutan Ramadan juga berkata, amalan mengimarahkan malam-malam di bulan Ramadan di masjid dan surau dengan kelas takmir dan tadarus al-Quran perlu diteruskan sebagai wadah perpaduan dan kekuatan ummah, bukannya sekadar tuntutan agama semata-mata.

Dalam pada itu, Adun Pelabuhan Klang itu turut mengingatkan semua agar perbezaan ideologi politik dapat diketepikan dalam usaha meningkatkan kefahaman antara satu sama lain selain menginsafi nasib malang yang menimpa saudara Islam di Syria, Palestin dan pergolakan politik di Mesir.

“Akhir kata, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan Al-mubarak 1434 Hijrah bersamaan 2013 Masihi.

“Semoga amal ibadah dan jariah yang kita lakukan sepanjang Ramadan ini akan diterima dan mendapat keredaan daripada-Nya,” akhiri beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.