Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek River of Life Tindas Penduduk Kampung Puah Seberang

Kampung Puah Seberang Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 10 JULAI : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mendakwa projek River of Life (ROL) yang dilancarkan Kerajaan Pusat untuk mencantikkan Sungai Klang dan Gombak menindas kira-kira 100 penduduk Kampung Puah Seberang di kawasan itu.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong, projek yang menelan belanja sebanyak RM4 bilion itu menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal ekoran tanah mereka diambil oleh Kerajaan Pusat.

Lebih malang lagi katanya, penduduk hanya diberikan tawaran flat kos rendah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk disewa dan wang pampasan sebanyak RM1000 kepada setiap keluarga.

“Selaku wakil rakyat, saya hairan bagaimana kerajaan boleh melaksanakan projek tersebut di atas tanah rizab Melayu.

“Kerajaan ambil keseluruhan 22 ekar tanah tersebut sedangkan ada penduduk mendakwa tanah tersebut mempunyai hak milik dan mereka sudah lama duduk di situ.

“Pampasan yang diberikan juga tidak mencukupi untuk menampung penduduk membayar sewa rumah,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyifatkan Kerajaan Pusat sebagai tidak bertimbang rasa apabila mengambil tanah penduduk untuk diswastakan bagi membiayai kos pembersihan kedua-dua sungai tersebut.

Tambahnya, projek itu juga didakwa tidak mengamalkan ketelusan apabila kerajaan dikatakan membayar nilai tinggi kepada kontraktor berbanding membayar pampasan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Tegasnya, penduduk sebelum ini dijanjikan dengan pembelian rumah sederhana namun DBKL mengubah keputusan tersebut kepada rumah kos rendah pada saat-saat akhir.

Justeru, beliau menyeru pihak DBKL untuk mengkaji semula bayaran pampasan yang diberikan bagi memastikan penduduk tidak terpinggir apabila projek itu dilaksanakan kelak.

“Kalau pembersihan yang ingin dibuat dengan hanya membayar penduduk sebanyak RM1000 sahaja, maka kita tolak sekeras-kerasnya.

“Dengan nilai duit sebegini, mereka tidak akan mendapat kediaman yang selesa,” katanya lagi.

Projek ROL yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2011 adalah sebuah projek permulaan yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Greater Kuala Lumpur di bawah Program Transformasi Kerajaan.

Ia bertujuan mengubah wajah sungai yang mengalir di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur itu dengan melaksanakan kerja-kerja memulihkan sungai dan mencantikkan tebing sungai serta pembangunan koridor sungai.

Leave a Reply

Your email address will not be published.