Categories
AGENSI SELANGOR

Pascabanjir: Kutipan sampah di Sepang, Kuala Selangor selesai, kawasan lain jangka Jumaat

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir seluruh kawasan terlibat dijangka selesai sepenuhnya sebelum Jumaat ini, kata KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengarah Urusan Ramli Mohd Tahir berkata proses pembersihan menghampiri 90 peratus malah kutipan sampah di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya Sepang dan Kuala Selangor sudah tamat.

“Insya-Allah. Saya beri jaminan akan selesai sebelum Jumaat cuma kita harap cuaca dalam keadaan baik dan tidak hujan.

“Jika hujan ia menyukarkan dan memperlahankan kerja kutipan termasuk risiko sampah tertolak ke parit atau longkang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata selepas 12 hari beroperasi setakat semalam sebanyak 40,000 tan sisa bencana berjaya dikeluarkan meliputi semua kawasan terlibat.

“Selain itu lebih 1,200 kru pembersihan terbabit dan bertugas sehingga malam. Kru di kawasan yang sudah selesai akan dihantar membantu ke kawasan lain. Ini mempercepatkan usaha pemulihan,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember secara berperingkat.

KDEBWM turut mendapat bantuan sukarelawan dan PBT termasuk dari negeri lain bagi mempercepat urusan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Letak kenderaan di lokasi sesuai, mudahkan kutipan sampah

SHAH ALAM, 5 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) meminta penduduk negeri ini meletak kenderaan di kawasan betul dan teratur bagi memudahkan kutipan sampah domestik dan pukal di kawasan kediaman.

Pengarah urusannya berkata pertambahan kenderaan di persekitaran rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ada kalanya menghalang laluan lori kompaktor dan lori armrol untuk melakukan kerja berkaitan.

“Selama empat hari selepas kerajaan menguatkuasakan PKP, kita dapati jumlah kenderaan meningkat dengan ketara memandangkan kebanyakan pekerja bertugas dari rumah.

“Justeru, kita harap semua bekerjasama supaya pemandu lori KDEBWM dapat masuk khususnya ke kawasan sempit seperti flat, pangsapuri dan perumahan berstrata,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menjangka penjanaan sisa harian dari kawasan perumahan di negeri ini meningkat berbanding premis perniagaan sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Memandangkan orang ramai tidak dibenarkan makan di kedai, jadi kesempatan berada di rumah dimanfaatkan untuk memasak dan menempah makanan secara dalam talian sekali gus menghasilkan sisa yang banyak terutama pada hujung minggu.

“Untuk itu, kita menggesa masyarakat urus sisa dengan baik dan meletakkan ke dalam tong sampah di luar rumah pada awal pagi. InsyaAllah, kita cuba laksana tugas sebaiknya,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jumlah kutipan sampah naik lapan peratus minggu pertama Aidilfitri

SHAH ALAM, 26 MEI: Jumlah kutipan sampah meningkat lapan peratus atau 460 tan sehari berbanding hari biasa pada minggu pertama Aidilfitri di negeri ini.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata purata 6,223 tan sampah dikutip sehari melibatkan semua 12 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada Aidilfitri tahun lalu, jumlah sampah yang dikutip secara purata sehari sebanyak 5,757 tan sehari dengan kadar peratus kenaikan tujuh peratus atau 362 tan sehari.

“Sebagai perbandingan, terdapat hanya satu peratus kenaikan atau 100 tan pada tahun ini,” kata Ramli Mohd Tahir dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan antara faktor kenaikan jumlah sampah disebabkan rakyat menyambut hari raya di rumah dan sektor ekonomi beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ramli turut menjangka peningkatan jumlah sampah terus berlaku hingga akhir Syawal dan sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: KDEBWM hanya urus sampah domestik PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA, 4 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) hanya bertanggungjawab mengurus kutipan sisa pepejal domestik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail menjelaskan sampah pukal pula dikendalikan badan pengurusan bersama PPR terbabit.

“Kita harus betulkan perkara ini kerana ramai keliru selepas KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) maklumkan kutip sampah pukal diserahkan kepada KDEBWM.

“Kita risau orang mempersoal kenapa baru sekarang (KDEBWM) mahu masuk sedangkan mereka (masuk) untuk kutip sampah domestik,” katanya selepas meninjau masalah penduduk di sini semalam.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan keresahan penduduk PPR terbabit yang terpaksa hidup dalam sampah dan menghidu bau busuk ekoran kegagalan syarikat kontraktor mengurus sisa pukal.

Lebih mengecewakan apabila khidmat syarikat tersebut yang tamat pada 31 Disember lalu gagal menyelenggara sistem perparitan dan membaiki infrastruktur bangunan.

Categories
AGENDA AGENSI SELANGOR

KDEBWM berjaya urus sampah melalui iClean Selangor

SHAH ALAM, 11 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) berjaya mengurus sisa domestik dan pembersihan awam di negeri ini hasil pengenalan iClean Selangor sejak Julai 2016.

Agensi berkata aplikasi itu membantu orang ramai melaporkan kes sampah tidak dikutip selain dapat menurunkan aduan sehingga 95 peratus dalam tiga bulan pertama pengambilalihan.

“Aplikasi itu meminta pengguna mengambil gambar sampah yang tidak dikutip di mana-mana lokasi sebelum aduan dirujuk ke pusat kawalan setempat.

“Pusat itu akan memeriksa kekosongan jadual kutipan dan mengirim aduan kepada penyelia tapak seterusnya kepada kontraktor di lapangan. Masalah diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam kenyataan.

Foto Facebook iClean Selangor

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, selain pengguna boleh menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp menerusi 019-2742824.

KDEBWM merupakan anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor yang bertanggungjawab mengurus sampah domestik di negeri ini.

Pada Julai 2016, agensi mengambil alih pengurusan sampah di Majlis Perbandaran Klang seterusnya memperluas khidmatnya kepada 12 pihak berkuasa tempatan lain.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Kutipan sampah jalan ikut jadual

SHAH ALAM, 17 MAC: Operasi syarikat pembersihan dan pengurusan sisa pepejal Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM) berjalan seperti biasa, kata pengarah urusannya.

Ramli Mohd Tahir berkata kakitangan dibenarkan bertugas dari rumah selain pembatalan temu janji sehingga keadaan stabil.

“Pekerja subkontraktor termasuk pemandu lori, kru kutipan dan penyelia dibekalkan alat perlindungan diri dan perlu digunakan ketika bertugas.

“Mereka dinasihatkan kerap mencuci tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan sentiasa menjaga kebersihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata pihak pengurusan menggalakkan kakitangan membawa makanan sendiri sebagai langkah mengurangkan kontak.

“Pekerja dinasihatkan tidak berada terlalu lama di premis tanpa tujuan dan hanya mengutamakan urusan penting dan berkaitan operasi sahaja,” katanya.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu hingga 31 Mac depan.

Categories
PBT SELANGOR

Kutipan sisa pepejal tiga PBT meningkat 25 hingga 30%

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 21 JUN: Jumlah kutipan sisa pepejal di tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada bulan Ramadan ini meningkat 25 hingga 30 peratus.

Pengurus Besar KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, tiga PBT terbabit adalah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, sisa makanan yang tidak dihabiskan termasuk yang dijual di bazar Ramadan antara penyumbang utama kepada peningkatan jumlah sampah itu.

kdeb-02“Kebiasaannya memang setiap kali Ramadan, kita dapat lihat peningkatan sampah terutama yang dijana dari penjualan bazar Ramadan.

“Saya percaya di PBT lain turut mengalami masalah sama,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, penjanaan kutipan sampah itu menjadikan sehingga 800 tan sehari berbanding 500 tan sehari, sebelum ini.

“Antara tiga PBT itu, setakat ini di kawasan Selayang mencatatkan paling tinggi iaitu sehingga 800 tan sehari,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya sudah menambah tong roro bagi kegunaan penduduk khususnya kawasan MPK dan MPS menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Di dua PBT ini, kita sudah mengambil alih pengurusan sampah pukal. Namun, di kawasan MPAJ kami memberi jaminan untuk turut menawarkan untuk mengambil sampah pukal bagi memudahkan penduduk menyambut perayaan.

“Kita juga akan memastikan semua kawasan bersih dan tidak tertumpu pada kawasan ‘hotspot’ sahaja,” katanya.

Eksklusif bersama Exco Selangor- Ean Yong Hian Wah

Kini, selepas hampir 5 tahun, sistem kutipan sampah di Selangor ditambahbaik.

Ikuti temubual Eksklusif bersama Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng : Kerajaan Negeri Jimat Lebih RM 50 Juta Setahun Apabila Kutip Sampah Secara Terus

Lori Kompaktor sampah 2

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kos melebihi RM53 juta setahun apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil alih kutipan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, kaedah membolehkan PBT mengurus kutipan sisa pepejal secara terus dengan melantik kontraktor yang dahulunya menjadi sub-kontraktor kepada AFSB.

“Penjimatan dicatatkan dalam masa setahun adalah sebanyak RM53,876,942.41 iaitu 11 PBT mencatatkan kos pengurusan sebanyak RM166,827,402.82 berbanding ketika dikendalikan AFSB sebanyak RM220,704,345.23.

“Dengan pengurusan sendiri juga PBT dapat memantau kerja pengendalian sampah secara terus selain pegawai atau kakitangan PBT yang terlibat dapat mempelajari dan menangani masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.”

Teng berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah proaktif untuk memastikan kutipan sampah berlaku secara efisyen adalah PBT mewujudkan talian hotline aduan sampah, skuad rayau dan Unit Tindakan Khas menjalankan kerja ‘back-up’ kutipan sampah.

Tindakan lain ialah perjumpaan PBT secara terus dengan kontraktor terlibat, pengezonan semula kawasan kendalian serta kutipan sampah dua kali dalam sehari di kawasan pusat bandar.