Categories
NASIONAL SELANGOR

Zuraidah: KPN tidak perlu ‘ugut’ rakyat

zuraidah trafik

SHAH ALAM, 22 OGOS ? Tekanan yang semakin hebat berikutan peningkatan kadar jenayah berat yang semakin serius serta kegagalan pihak keselamatan mengawal keadaan menyebabkan Ketua Polis Negara (KPN) cuba melarikan isu sebenar kepada isu yang membabitkan pesalah trafik.

Kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membatalkan lesen memandu 1.7 juta individu yang enggan menjelaskan tunggakan saman trafik merupakan satu kenyataan yang dangkal dan cadangan yang tiada penelitian, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, cadangan tersebut seolah-olah KPN cuba lari dari hakikat bahawa orang awam amat mengharapkan pihak keselamatan dapat mengawal kegiatan jenayah yang semakin menakutkan.

“Hentikan kenyataan melulu, jangan ugut rakyat, KPN perlu buat kajian menyeluruh dan teliti agar rakyat tidak lagi dibebankan dengan pelbagai isu yang timbul sejak kebelakangan ini.

“Ini sebenarnya perkara-perkara yang tidak ada penelitian dan kajian sebelum ia diumumkan. Dengan senang sahaja keluarkan kenyataan dangkal ini langsung tidak memikirkan kesannya kepada rakyat.

“Rakyat akan terbeban, tarif letrik akan naik, GST akan dilaksana, harga barang juga akan naik, rakyat tak mampu bayar saman, lesen pula akan dibatalkan. Tak terfikirkan hal yang bebankan rakyat ini.” kata Zuraidah

Bercakap kepada TVSelangor beliau berkata, bidang kuasa bagi menyenarai hitam pemilik lesen memandu mahupun kenderaan boleh diserahkan kepada pihak yang sepatutnya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“KPN sepatutnya memberi tumpuan dan fokus yang lebih menyeluruh untuk membanteras kegiatan jenayah berat yang semakin menakutkan rakyat dari membuat cadangan yang boleh dikendalikan oleh pihak lain (JPJ).

Semalam, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan itu akan dilaksanakan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.- MZA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.