Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

MB ketuai misi perdagangan ke 3 negara Eropah

khalid ibrahimSHAH ALAM, 1 OKT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetuai misi perdagangan dan pelaburan kerajaan Selangor ke Belgium, Switzerland dan Jerman bermula 29 September sehingga 7 Oktober.

Misi yang diaturkan oleh Selangor State Investment Centre (SSIC) itu bertujuan menarik pelaburan dan mempromosikan Negeri Selangor sebagai pusat pelaburan utama di Malaysia kepada pihak industri dan usahawan di Belgium, Switzerland dan Jerman.

Di Belgium, delegasi kerajaan Selangor akan mengunjungi Essenscia iaitu Persekutuan Industri Sains Hayat dan Kimia Belgium yang mewakili 800 syarikat dari sektor berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Essenscia, Yves Verschueren.

Delegasi berkenaan juga akan mengadakan lawatan ke ibu pejabat Syarikat Bekaert, pengeluar utama wayar keluli (steel wire transformation and coatings); melawat makmal kepunyaan Syarikat Emulco serta mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Emulco, Jean Vanhoebost. Seterusnya mereka dijangka melawat ibu pejabat syarikat Oleon – pengeluar produk oleochemicals yang mempunyai kilang di Pelabuhan Klang.

Di Switzerland, Menteri Besar dan delegasi akan melawat syarikat penyelenggaraan kapal terbang, SR Technics dan mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Kanan Kumpulan Bahagian Penyelenggaraan Komponen, Christof Spaeth.
Mereka juga akan melawat ibu pejabat syarikat Zeochem iaitu pengeluar pengayak molekul dan gel kromatografi bermutu tinggi (high quality molecular sieves dan gel chromatography gels). Selain itu, Menteri Besar akan dibawa ke ibu pejabat syarikat makanan global Nestle selain mengadakan pertemuan dan dialog dengan Persatuan Pengeluar Jentera Switzerland.

Delegasi kemudian ke negara Jerman dan mengadakan pertemuan bersama syarikat Hensen Trade and Invest – agensi kerajaan untuk meningkatkan perdagangan bagi wilayah Hensen dan melawat Kawasan Industri Hensen, melawat Wurth Group – pengeluar utama peralatan pemasangan seperti skru yang mempunyai 400 anak syarikat di 80 negara selain mengadakan pertemuan dan dialog bersama Dewan Perniagaan dan Industri Ostwestfalen.

Turut sama dalam misi berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah; Ketua Pengawai Eksekutif SSIC, Hasan Azhari Idris, Penolong Pengurus SSIC, Sven Schneider dan Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Puan Norzila Sidek.

Menteri Besar dan delegasi dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia pada 7 Oktober.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.