Categories
SUKANKINI

Brazil nyaris dimalukan Switzerland

ROSTOV-ON-DON, Russia 18 JUN: Jaringan pemain tengah Switzerland, Steven Zuber menerusi tandukan pada babak kedua berjaya memadam gol pendahuluan dijaringkan Philippe Coutinho bagi mengikat juara dunia lima kali, Brazil 1-1 dalam aksi sulung Kumpulan E Piala Dunia.

Pemain tengah Barcelona, Coutinho berjaya meletakkan Brazil di depan apabila membuka tirai jaringan menerusi sepakan lencong menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-20.

Bagaimanapun, Switzerland yang dilihat kurang menyerlah di jentera serangan pada babak pertama kembali bangkit dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan Zuber berpunca daripada sepakan penjuru pada minit ke-50.

Coutinho mempunyai peluang terhidang bagi meledak gol kedua peribadi dalam perlawanan itu tetapi percubaannya tersasar sebaik babak kedua bersambung.

Keputusan seri itu menyaksikan Serbia kini memimpin carta Kumpulan E selepas berjaya meraih tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Costa Rica dalam perlawanan yang berlangsung sebelum itu.

SUMBER: REUTERS

FOTO: AFP

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Kerajaan perlu bersikap inklusif terhadap saranan rakyat

logoABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memantau secara berterusan perkembangan membabitkan Semakan Berkala Sejagat – Universal Periodic Review (UPR) yang sedang dilalui oleh Malaysia di Geneva, Switzerland.

Komitmen dilandaskan pada hakikat Karamah (kemuliaan) Insaniah yang dijunjung dalam Islam sepertimana yang dituntut dalam surah Al-Isra? ayat 70 yang bermaksud,

?Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan?.

Sebelum proses UPR di Geneva pada ketika ini, Abim telah mengadakan usaha advokasi dan konsultasi secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan menerusi pelbagai medium serta saluran. Di peringkat Asean, pada September 2012, Abim telah menghantar wakil ke 2nd Regional Consultation of Asean Intergovernmental Commission on Human Rights with Civil society Organization on Asean Human Rights Declaration di Manila, Filipina.

Menerusi sidang tersebut, Abim sebagai satu-satunya Civil Society Organisation (CSO) berorientasi Islam yang mewakili Malaysia dan negara-negara Asean telah menyampaikan bantahan terhadap sebarang usaha untuk mendokong gagasan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT) untuk dijadikan sebahagian daripada Draf Akhir Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).
Bersempena tarikh semakan di Geneva, delegasi Abim telah menghadiri ?Diskusi Semakan Berkala Sejagat dan Status Hak Asasi Manusia Malaysia? anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) pada 22 Oktober 2013. Diskusi dan pembentangan yang turut dihadiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (PBB), Global Moderate Movement (GMM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan beberapa organisasi penting yang lain.

Berdasarkan kepada pengamatan dan penglibatan Abim, kami mengharapkan agar beberapa perkembangan positif yang diusahakan kerajaan Malaysia selepas proses penilaian UPR pertama pada tahun 2009 yang lalu dalam sektor pendidikan, sosial serta ekonomi dapat diteruskan dan dipertingkatkan. Dalam bidang pendidikan sebagai contohnya, dasar kerajaan untuk menjamin akses bagi mendapatkan pendidikan percuma yang lebih luas merupakan sesuatu inisiatif yang harus dihargai.

Adalah menjadi harapan agar rekomendasi para perwakilan luar agar langkah-langkah, seperti menjamin akses kepada perkhidmatan kesihatan percuma yang luas dan kediaman, pada kos yang rendah serta berpatutan, dapat diterima oleh pihak kerajaan.

Di sebalik pencapaian tersebut, Abim mengharapkan agar kerajaan Malaysia perlu mengambil perhatian serius beberapa saranan yang dikemukakan para perwakilan antarabangsa. Saranan tersebut khususnya isu perlaksanaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Abim berpandangan bahawa perlaksanaan akta-akta tersebut, bukan satu-satunya penyelesaian mutlak ke atas rentetan kes-kes jenayah yang semakin membarah di negara ini.

Dalam hal ini, Abim turut menggesa kerajaan agar bersikap inklusif terhadap sebarang sumbang saran yang dikemukakan rakyat terhadap dasar-dasar berkaitan pemeliharaan hak sivil dan kebebasan politik, kerana ia jelas memberi implikasi negatif kepada komuniti antarabangsa terhadap tekanan hak asasi masyarakat sivil dan kebebasan berpolitik di negara ini.

Abim juga menggesa kerajaan terutama sekali pihak yang berkenaan memperkemaskan mekanisme pengurusan serta pentadbiran untuk orang pelarian, pemohon suaka politik serta warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Aspek sokongan kebajikan dan sosio-ekonomi yang sedia ada perlu diperkemaskan dengan kerjasama UNHCR dan NGO kemanusiaan dalam negara.

Berdasarkan kepada beberapa kes yang berlaku sebelum ini, yang membabitkan pelarian serta pemohon suaka politik yang dihantar pulang khususnya pelarian Uyghur di China, Malaysia perlu lebih tegas dalam memelihara hak asasi manusia yang teraniaya walaupun Malaysia masih belum menandatangani Perjanjian berkaitan Status Pelarian 1951.

Satu lagi isu yang banyak disuarakan dalam sesi pendengaran Malaysia ialah isu kebebasan beragama. Walaupun Abim menghormati peruntukan Artikel 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai masyarakat beragama kita menolak setegas-tegasnya usaha untuk mengarusperdanakan kebebasan individu tanpa batasan khususnya amalan LGBT. Abim turut menyarankan agar pihak kerajaan agar lebih serius dan proaktif dalam usaha menyelesaikan pertikaian melibatkan isu-isu sensitiviti agama.

Bagi tujuan tersebut, Abim menyarankan agar Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JPKA) yang diluluskan oleh Jemaah Kabinet harus diberikan nafas baru dengan peranan yang lebih signifikan dalam penyelesaian konflik antara penganut agama.

Adalah satu tren yang membimbangkan seandainya polemik-polemik keagamaan sebegini diheret ke mahkamah perundangan. Pada masa yang sama, sebarang provokasi melampau dari mana-mana kelompok yang ekstrim harus ditangani secara tegas menerusi saluran perundangan yang adil serta saksama! –

Mohamad Raimi Ab Rahim
Naib Presiden Antarabangsa, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

MB ketuai misi perdagangan ke 3 negara Eropah

khalid ibrahimSHAH ALAM, 1 OKT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetuai misi perdagangan dan pelaburan kerajaan Selangor ke Belgium, Switzerland dan Jerman bermula 29 September sehingga 7 Oktober.

Misi yang diaturkan oleh Selangor State Investment Centre (SSIC) itu bertujuan menarik pelaburan dan mempromosikan Negeri Selangor sebagai pusat pelaburan utama di Malaysia kepada pihak industri dan usahawan di Belgium, Switzerland dan Jerman.

Di Belgium, delegasi kerajaan Selangor akan mengunjungi Essenscia iaitu Persekutuan Industri Sains Hayat dan Kimia Belgium yang mewakili 800 syarikat dari sektor berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Essenscia, Yves Verschueren.

Delegasi berkenaan juga akan mengadakan lawatan ke ibu pejabat Syarikat Bekaert, pengeluar utama wayar keluli (steel wire transformation and coatings); melawat makmal kepunyaan Syarikat Emulco serta mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Emulco, Jean Vanhoebost. Seterusnya mereka dijangka melawat ibu pejabat syarikat Oleon – pengeluar produk oleochemicals yang mempunyai kilang di Pelabuhan Klang.

Di Switzerland, Menteri Besar dan delegasi akan melawat syarikat penyelenggaraan kapal terbang, SR Technics dan mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Kanan Kumpulan Bahagian Penyelenggaraan Komponen, Christof Spaeth.
Mereka juga akan melawat ibu pejabat syarikat Zeochem iaitu pengeluar pengayak molekul dan gel kromatografi bermutu tinggi (high quality molecular sieves dan gel chromatography gels). Selain itu, Menteri Besar akan dibawa ke ibu pejabat syarikat makanan global Nestle selain mengadakan pertemuan dan dialog dengan Persatuan Pengeluar Jentera Switzerland.

Delegasi kemudian ke negara Jerman dan mengadakan pertemuan bersama syarikat Hensen Trade and Invest – agensi kerajaan untuk meningkatkan perdagangan bagi wilayah Hensen dan melawat Kawasan Industri Hensen, melawat Wurth Group – pengeluar utama peralatan pemasangan seperti skru yang mempunyai 400 anak syarikat di 80 negara selain mengadakan pertemuan dan dialog bersama Dewan Perniagaan dan Industri Ostwestfalen.

Turut sama dalam misi berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah; Ketua Pengawai Eksekutif SSIC, Hasan Azhari Idris, Penolong Pengurus SSIC, Sven Schneider dan Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Puan Norzila Sidek.

Menteri Besar dan delegasi dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia pada 7 Oktober.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lagi slogan terbaru Najib ciplak Israel?

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 22 Ogos: Slogan terbaru diperkenal Perdana Menteri ‘Endless Possibilities’ dikatakan diciplak daripada slogan yang digunakan negara Israel, lapor Keadilan Daily.

Beberapa blog melaporkan ‘Endless Possibilities merupakan slogan yang digunapakai oleh Kementerian Pelancongan Israel untuk mempromosikan negara itu pada 22 April 2013.

Kempen berkenaan dikatakan bermula sejak awal tahun ini, namun pelancarannya dijangka dibuat pada 17 September depan. Portal Malaysian Insider difahamkan, semua menteri sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak dilapor berkata, ‘Endless Possibilities’ bukan menggantikan slogan ‘1Malaysia’ sebaliknya pelengkap kepada slogan tersebut. Oleh sebab itu slogan itu selepas ini akan berbunyi ‘1Malaysia, Endless Possibilities’

Beberapa blog menimbulkan dakwaan firma perunding bagi mencipta logo dan tema tersebut dibayar sebanyak RM30 juta, namun dakwaan itu tidak dapat dipastikan.

Memetik laporan TMI, difahamkan Pos Malaysia sudah merancang untuk melancarkan setem baru dengan slogan berkenaan.

Sumber berkata, kempen baru itu bermula ketika majlis berprestij Forum Eknomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan beberapa program Pelancongan Malaysia.

Kaitan slogan terbaru itu dengan slogan dari Israel turut diulas.

Kenyataan media dari kementerian Pelancongan Israel yang disiarkan oleh sebuah blog pro Pakatan Rakyat, darisungaiderhaka.blogspot.com[/caption]

blogger Pro Umno seperti outsidethebox.blogspot.com dan Jebatmustdie.wordpress.com.

Sebelum ini, kerajaan Umno BN dikritik hebat apabila memperkenalkan slogan 1 Malaysia yang dikatakan ditiru daripada slogan One Israel.

Kerajaan juga dibidas kerana melantik syarikat perunding Israel, Apco World Wide untuk membantu memulihkan imejnya dengan bayaran RM77 juta setahun.- keadilandaily.com

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yakin Dengan Prestasi Pakatan Rakyat Punca Pelabur Meningkat

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan jumlah nilai pelaburan tertinggi iaitu sejumlah RM44.91 bilion sejak mentadbir empat tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, sejak Ogos 2012, Selangor mencatatkan 20 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di seluruh negeri di Malaysia.

Katanya, sebanyak 1,338 projek perkilangan diluluskan dengan sebanyak RM20.85 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM24.6 bilion daripada pelaburan asing.

“Selangor menduduki tangga teratas jumlah nilai pelaburan diikuti dengan Sarawak dengan RM40.65 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM35.38 bilion,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, prestasi sektor pelaburan bagi tahun 2012 mulai Januari sehingga Ogos menunjukkan sebanyak 170 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan bernilai RM6.9 bilion.

“Jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di Malaysia adalah sebanyak RM29.78 bilion dan sebanyak RM6.9 bilion iaitu 23.18 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan adalah di Selangor,” katanya yang merupakan Adun Kinrara.

Teresa berkata, sebanyak RM5.23 bilion adalah daripada pelabur tempatan dan sebanyak RM1.66 bilion daripada pelabur asing terutamanya Switzerland dan Singapura.

Katanya, industri pembuatan barangan kelengkapan kenderaan mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu RM2.76 bilion dengan 29 projek.

“Dari segi peluang pekerjaan, industri ini juga mencatatkan potensi peluang pekerjaan yang tinggi iaitu sebanyak 4,049 peluang pekerjaan diwujudkan diikuti industri pembuatan mesin dan peralatan iaitu sebanyak 1,600 peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, daerah Hulu Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM2.12 bilion diikuti Petaling dengan sebanyak RM952 juta dan Klang sebanyak RM834 juta.

“Bagi tempoh Januari sehingga November 2012 sebanyak 119 projek diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM2.98 bilion.

“Sebanyak RM2.30 bilion daripada pelabur tempatan dan RM674 juta daripada pelabur asing dan sebanyak 11,118 peluang pekerjaan diwujudkan,” jelasnya.