Categories
NASIONAL

Kian Ming tak puas hati siasatan insinerator

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Penganugerahan projek mini insinerator di negara ini yang didakwa tidak mengalami salah laku terus dipertikai Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kenyataan itu tidak boleh diterima memandangkan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tahun lalu mengesahkan berlaku kecuaian dalam perkara berkenaan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan seharusnya bersikap akauntabiliti dan memberi jawapan kukuh jika benar projek itu mematuhi prosedur tepat.

“Jawapan ini tidak boleh diterima kerana apabila PAC mendapati ada kesalahan dan kecuaian daripada segi penganugerahan, maka pihak kerajaan perlu memberi jawapan.

“Cadangan tindakan yang boleh diambil adalah pihak yang memberi kontrak projek itu perlu disiasat kesalahan mereka atau jika berlaku salah guna kuasa, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang mengatakan siasatan dakwaan salah urus projek insinerator di negara ini ditutup ekoran siasatan mendapati tiada kes.

Ong Kian Ming 01Terdahulu, Kian Ming meminta Perdana Menteri menyatakan maklumat terkini status siasatan SPRM ke dalam penanugerahan projek mini insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung perkara itu pada Mac lalu selepas kumpulan Anti Insinerator Kebangsaan (GAIK) membuat laporan polis kemungkinan terdapat unsur rasuah dalam projek insinerator yang dianugerahkan kerajaan.

PAC sebelum ini mendapati Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganugerahkan empat projek pembinaan insinerator kepada syarikat CXN Technology Sdn Bhd (XCNT) tanpa usaha wajar sehingga menyebabkan kelewatan dan ketidakcekapan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.