Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kereta anak Maria Chin pula disimbah cat merah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah hari ini menerima satu lagi ugutan apabila kereta anak lelakinya disimbah cat merah, selepas dua hari menerima ugutan bunuh daripada orang yang tidak dikenali.

Sekretariat Bersih, Mandeep Singh berkata, kejadian dikatakan berlaku pada awal pagi, di perkarangan rumahnya.

“Sejak hari pertama tarikh himpunan aman Bersih 5 diumumkan, serangan jijik, kotor dan ganas ini dilakukan terhadap Maria dan keluarganya.

“Malah, dua hari lalu, Maria dan tiga anaknya bersama Ambiga Sreenevasan dan saya sendiri turut diugut bunuh,” katanya dalam kenyataan.

img_144752Maria sebelum ini mengakui menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali.

Beliau merujuk kepada gambar disunting memaparkan dirinya dalam keadaan berlutut sambil pisau diajukan kepadanya.

Sementara itu, Maria dan anak lelakinya membuat satu laporan polis pagi ini susulan kejadian simbahan cat itu.

“Petang ini, Bersih 2.0 akan ke Bukit Aman untuk menyerahkan satu memorandum mengenai semua kejadian yang berlaku,” katanya.

Difahamkan, Maria enggan mengulas lanjut berkenaan ugutan terbaru yang diterimanya atas faktor keselamatan anaknya.

Sebelum ini, Bersih 2.0 tetap meneruskan penganjuran himpunan aman Bersih 5 meskipun pengerusinya, Maria Chin Abdullah menerima ugutan bunuh ala militan IS.

Maria berkata, tuntutan Bersih 5 wajar diteruskan demi kelangsungan dan manfaat masyarakat Malaysia.

Media mendedahkan Maria menerima ancaman bunuh menerusi pesanan aplikasi Whatsapp dari nombor tidak dikenali.

Mesej berkenaan turut mendedahkan gambar Maria bersama anggota sekretariat Bersih, Mandeep Singh dan bekas Pengerusi gabungan itu, Ambiga Sreenevasan yang diacu pisau di leher, sebagaimana dilakukan militan IS.

Ketiga-tiga mereka turut menerima ancaman bunuh daripada individu tidak bertangungjawab, menerusi mesej tersebut.

Tiga anak Maria turut menerima ugutan sama apabila gambar pada kad pengenalan mereka dilampirkan dalam salinan mesej berkenaan.

-nR-