Categories
SELANGOR

Pengambilalihan Splash: Kerajaan Negeri tidak ulangi amalan pentadbiran terdahulu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri tidak akan mengulangi amalan pentadbiran sebelum ini dalam mengendalikan urusan industri perkhidmatan air di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan urusan dibuat Kerajaan Negeri terdahulu bersama Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) tidak pernah dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan ia bertentangan dengan amalan dipraktikkan dalam pentadbiran negeri.

“Saya ingin menegaskan di dalam dewan ini, Kerajaan Negeri tidak mahu mengulangi amalan lalu.

mb-dun“Pentadbiran sebelum ini menyatakan nilai tawaran pengambilalihan ke atas Splash adalah sebanyak RM250 juta dan inilah angka diuar-uarkan seantero dunia, namun orang sama tidak pernah memaklumkan kepada dewan ini berkenaan tawaran RM2.975 bilion dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009.

“Ia dengan pecahan seperti berikut iaitu nilai ikuiti sebanyak RM1.579 bilion dan nilai liabiliti sebanyak RM1.396 bilion,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan Belanjawan 2017 Negeri dalan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Beliau menyatakan perkara itu selepas ia dibangkitkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Pelabuhan Klang – Bebas) dan mengulangi kenyataan dibuat apabila diminta Datuk Sulaiman Razak (Permatang – BN) yang tidak sempat mengambil catatan.

Berdasarkan tawaran dibuat pentadbiran 2009, katanya, Splash telah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri untuk menerima tawaran itu dan perkara berkenaan juga dinyatakan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHa) melalui surat bertarikh 15 Oktober 2009.

“Pentadbiran sebelum ini juga meuar-uarkan bahawa tawaran kepada semua pemegang konsesi dibuat berdasarkan kepada kaedah ‘return on equity’ (ROE) sebanyak 12 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut persoalan dibangkitkan Sulaiman, Mohamed Azmin berkata, sama ada perkara itu menepati peruntukan undang-undang atau tidak, perkara utama ingin disampaikan adalah berkaitan ketelusan sebagai ketua pentadbir negeri yang harus melaporkan kepada DNS berhubung perkara itu.

“Maka kerana itu soal proses pengambilalihan Splash telah saya bawa dan bincangkan dalam MMKN seperti mana dinyatakan kita tidak mahu mengulangi amalan lalu.

“Sama ada Pelabuhan Klang akan dirujuk atau tidak (kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT)), itu di bawah bidang kuasa dewan dan saya tidak akan membuat cadangan kepada dewan kerana ruang ini untuk memberikan fakta sahaja.

“Manakala semua cadangan dan perbincangan mengenai pengambilalihan Splash, saya bawa dalam MMKN dan apabila ia dicadangkan maka saya bersedia membahaskan di dalam dewan ini,” katanya.

-nR-