Categories
NASIONAL

Kaji dasar, elak monopoli

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 JULAI : Kajian pelaksanaan dasar sedia ada perlu dijalankan semula bagi menghalang sebarang taktik monopoli pengusaha Uber dan Grab yang menekan kebajikan pemandu teksi.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira ketetapan perundangan dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Kementerian perlu mengkaji semula perundangan sedia ada yang membolehkan syarikat gergasi dikuasai investor luar negara dengan kedudukan kewangan kuat supaya tidak dibenarkan berlakunya aktiviti monopoli.

TIAN CHUA“Ia bagi memastikan syarikat pengusaha luar ini tidak mengaut keuntungan yang akhirnya menimbulkan lebih banyak masalah kepada pemandu teksi dalam negara.

“Isunya kini, kita tidak mengetahui sama ada wujudnya klausa perundangan negara untuk pastikan syarikat ini tidak mengeluarkan subsidi untuk perolehan untung pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi perbahasan pindaan Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Awam Darat Pindaan (2017) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukry di Dewan Rakyat, pagi ini.

Cadangan Naib Presiden KEADILAN itu turut disokong Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ahmad Nawawi.

Nawawi berkata, pihak kementerian sewajarnya meneliti sistem perundangan sedia ada bagi memastikan hak pengusaha teksi tidak dinafikan.

UBER GRAB“Saya rasa itu hal yang perlu diberi perhatian kerajaan, (jika gagal) keadaan ini akan merugikan pengusaha teksi yang lebih terkesan dengan pelaksanaan sedia ada,” katanya.

Untuk tempoh kini, perkhidmatan Uber dan Grab diperluas ke Lembah Klang dengan penambahbaikan di beberapa bandar seluruh negara.