Categories
SELANGOR

#Selangor18: Rawatan jantung untuk rakyat

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat meningkatkan akses rakyat mendapatkan rawatan pakar yang berpatutan termasuk perkhidmatan rawatan jantung.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menyediakan peruntukan RM 10 juta bagi membiayai 500 pesakit jantung dalam kalangan rakyat Selangor.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut memulakan langkah proaktif bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi memberikan khidmat rawatan jantung secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah mulai 2018.

“Selepas menyediakan rawatan kesihatan asas, Kerajaan Negeri kini mengorak langkah meningkatkan akses rakyat untuk mendapatkan rawatan pakar yang affordable (berpatutan).

“Hasrat ini diterjemah dalam bentuk kerjasama strategik antara dan Selgate Corporation yang dimeterai pada 31 Oktober 2017 untuk membina medical city di Seksyen 13, Shah Alam yang antara lain menyediakan khidmat pakar rawatan jantung,” katanya.

Perkara itu diumumkan Mohamed Azmin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.