Categories
SELANGOR

Netizen sambut baik #Selangor18, tiada ‘provokasi’ Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Pengguna media sosial Facebook, menyambut baik pengumuman cadangan Belanjawan Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Rata-rata, netizen menyifatkan pelaksanaan Belanjawan Selangor lebih menumpukan agenda berkebajikan kepada masyarakat negeri itu.

Antaranya pengguna Facebook, Yob Sojer yang memuji komitmen pentadbiran negeri menghargai kakitangan penjawat awam negeri.

“Tahniah Menteri Besar Selangor, bagi tiga bulan gaji kepada kakitangan awamnya, ketua kampung dan guru kafa,” tulisnya.

“Syabas kepada Kerajaan Pakatan dan akan sokong selama-lamanya,” tulis Ooi Aik Seng.

“Kenapa Belanjawan Azmin berbeza dengan bajet tipu rakyat dan tin kosong yang dibentangkan Najib?” tulis Azni Mohd Sariff.

Dalam pada itu, wujud juga kenyataan positif terhadap Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan dibuat.

“Terbaik Dato’ Menteri Besar, steady saja penuh dengan semangat. Tiada pun mengutuk orang lain,” kata Roslin Bakar dipercayai merujuk kepada tindakan Perdana Menteri, Najib Razak yang mencetuskan provokasi sindiran ketika pembentangan Belanjawan 2018 Persekutuan, 27 Oktober lalu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah RM3.12 bilion bagi Belanjawan Selangor 2018 dengan 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan.

Dato’ Menteri Besar berkata, belanja pembangunan merangkumi RM1.66 bilion sementara baki RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan meliputi 46.8 peratus.

Katanya, ia adalah tahun keempat berturut-turut Kerajaan Negeri melebihkan belanja pembangunan daripada belanja pengurusan.

=EZY=