Categories
PBT SELANGOR

152 warga kerja MBPJ terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 31 MAC: Seramai 152 warga kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diraikan dengan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertempat di Dewan Banquet MBPJ.

Mohamed Azmin dalam ucapannya berkata, pentingnya sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipimpin dan diterajui oleh satu pasukan yang kuat dan berintegriti.

“Kita perlukan sebuah pasukan mempunyai tahap profesionalisme tinggi serta mempunyai ilmu dan kemahiran bagi menjamin sesebuah Majlis dapat memenuhi aspirasi rakyat hari ini yang semakin kompleks dan mencabar.

“Saya berani menyatakan mewakili Kerajaan Negeri bahawa pimpinan dan pengurusan MBPJ pada hari ini merupakan kepimpinan terbaik dan saya akan tetap mempertahankan pegawai serta warga kerjanya,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, MBPJ merupakan antara PBT terunggul dan pertama menyambut dasar Kerajaan Negeri untuk membina smart state di peringkat perbandaran.

Malah, Mohamed Azmin turut berbangga dalam masa terdekat MBPJ berjaya membina konsep ‘blue print’ atau Smart PJ yang berpegang kepada tiga prinsip iaitu pintar, mampan dan berdaya tahan.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata, penjawat awam kini boleh berbangga kerana sehingga hari ini Selangor terus melakar kejayaan dengan sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu 23 peratus.

“Berdasarkan perbandingan antara kesemua negeri, Selangor mendahului dengan sumbangan tertinggi menerusi tiga sektor iaitu perkhidmatan (25.2 peratus), pembuatan (28.9 peratus) dan pembinaan (29 peratus).

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam yang cemerlang dan tidak dinafikan tenaga baru amat penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi baru dan membangunkan negeri.

“Semoga menerusi anugerah APC dapat dijadikan pendorong kepada pegawai dan kakitangan MBPJ khususnya serta perkhidmatan awam negeri ini untuk terus mencurahkan khidmat bakti serta idea demi mencapai misi dan visi Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada 38 pesara MBPJ 2018.

=EZY=