Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Smart State digarap, sedia hadapi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yakin usaha Kerajaan Negeri ke arah membangunkan ‘Smart State’ mampu digarap.

Baginda bertitah Kerajaan Negeri dilihat turut bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 ke arah mencapai matlamat itu.

Titahnya, usaha itu memperlihatkan penyediaan perkhidmatan pintar melalui Internet of Things, Big Data dan Artificial Intelligence.

“Memanda Dato’ Menteri Besar yang inovatif dan kreatif membangunkan Selangor sebagai negeri pintar atau ‘Smart State’ dan bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Usaha ini pastinya dapat menyediakan perkhidmatan pintar melalui Internet of Things, Big Data dan Artificial Intelligence,” titahnya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gagasan Smart Selangor adalah teras utama untuk memacu pembangunan negeri mencapai status Smart State.

Inisiatif itu tidak tertumpu kepada pembangunan semata tetapi turut menggarap nilai kerohanian, kemanusiaan, amalan tatakelola yang baik dan menjamin keadilan sosial untuk segenap lapisan masyarakat.

Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) turut optimis pembangunan evolusi Smart Selangor dapat dijayakan untuk tempoh 2025.

MBI akan melihat keseluruhan industri dan gelombang baru yang mampu mewujudkan sebuah ekosistem baru di negeri itu.