Categories
GLOBAL

Konflik nuklear dunia mungkin berlaku – Russia

MOSCOW 23 DIS: Russia memberi amaran bahawa pembatalan perjanjian nuklear era Perang Dingin mungkin membawa kepada perlumbaan senjata dan konfrontasi terus antara beberapa rantau dunia, hari ini, selepas cadangan Moscow ditolak undian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Moscow mengemukakan resolusi menyokong Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak-sederhana (INF) yang melarang Russia dan Washington daripada meletakkan peluru berpandu darat jarak sederhana di Eropah.

Kementerian Luar Russia berkata, PBB gagal mengundi memihak cadangan itu.

“Ia tamparan hebat kepada struktur keselamatan dan kestabilan global. Kini, tanpa INF, beberapa rantau dunia mungkin terjerumus dalam perlumbaan senjata atau konfrontasi langsung,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Ukraine tingkat tahap keselamatan hadapi ancaman Russia

KIEV 2 DIS: Presiden Ukraine Petro Poroshenko berkata kerajaannya sudah meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negara khususnya loji kuasa nuklear dan pelaburan Laut Hitam bagi menghadapi ancaman Russia.

Russia melepaskan tembakan dan merampas tiga kapal tentera laut Ukraine serta kru pada 25 November lalu dalam insiden yang membabitkan adegan saling salah menyalah antara kedua negara.

Poroshenko semalam mengulangi dakwaan bahawa Russia menghantar pasukan tentera dalam jumlah besar di timur Ukraine yang dikawal pasukan pemisah pro Russia dan di Crimea, kawasan jajahan Russia sejak tahun 2014.

 

“Russia menggerakkan pasukan darat dengan kekuatan kira-kira 80,000 anggota, hampir 1,400 meriam dan sistem peluru berpandu, 900 kereta kebal, 2,300 kenderaan perisai, hampir 500 pesawat dan 300 helikopter,” kata Poroshenko di Twitter.

Moscow turut menggerakkan pasukan tentera laut dalam kekuatan besar di Laut Hitam dan Laut Azov yang dikongsi kedua negara, katanya.

Siaran televisyen Ukraine ‘112 Ukraine’ semalam memaparkan Poroshenko menyerahkan pesawat baharu, helikopter dan dron kepada tentera Ukraine.

Ukraine sudah meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negara berkenaan termasuk loji hidro dan nuklear, kilang kimia dan pelabuhan di Laut Hitam serta Laut Azov. kata Poroshenko.

Ukraine memperkenalkan undang-undang tentera di beberapa bahagian negara terbabit bagi tempoh 30 hari dan semalam Poroshenko berkata, ia turut membabitkan perubahan terhadap operasi tentera.

Presiden Russia Vladimir Putin berkata, pertempuran di Laut Hitam minggu lalu hanya satu insiden kecil di kawasan sempadan dan mendakwa, Poroshenko mencipta provokasi untuk meningkatkan populariti beliau sebelum pilihan raya tahun depan.

Barisan ahli politik Russia berkata, mereka percaya fasa konfrontasi tentera sudah berakhir.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Ukraine mohon bantuan ketenteraan NATO

KIEV 30 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membantu menghantar kapal tentera ke Laut Azov berikutan pertembungan dengan Russia yang kini makin tegang.

Beliau memberitahu akhbar Bild dari Jerman bahawa pihaknya berharap kehadiran kapal berkenaan dapat ditempatkan bagi tujuan membantu membekalkan keselamatan kepada Ukraine.

“Jerman adalah sekutu kita paling rapat, kami berharap negara ahli NATO bersedia untuk menempatkan sejumlah kapal tentera laut di Laut Azov untuk membantu Ukraine dan memberikan keselamatan,” katanya.

Namun, Presiden Russia, Vladimir Putin pula memberi pandangan sinis terhadap apa yang mahu dilakukan rakan sejawatannya dari negara jiran itu.

Dalam perhubungan yang makin bertambah buruk ketika ini, beliau mendakwa Poroshenko mahu mencipta satu provokasi semata-mata untuk menarik sokongan menjelang pilihan raya 2019.

Apa pun, kerajaan negara Barat tampak menyebelahi Kiev dan menuduh Moscow menyekat akses ke Laut Azov secara haram yang digunakan kedua-dua negara serta menggunakan kekerasan tanpa sebab munasabah.

Ahad lalu, Russia merampas tiga kapal milik Ukraine serta menahan kru mereka di Selat Kerch di antara Laut Hitam dan Laut Azov.

NATO pula menyuarakan sokongan penuh kepada Ukraine ketika negara berkenaan bukan anggota pertubuhan itu.

Di Moscow, Putin menegaskan tindakan Russia tempoh hari adalah tepat, namun Presiden Donald Trump menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Moscow itu membabitkan sekutu Amerika Syarikat (AS).

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Krisis Ukraine-Russia berpotensi cetuskan perang

KIEV 28 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko, semalam memberi amaran mengenai ancaman perang besar-besaran dan berkata Russia meningkatkan kehadiran tenteranya secara dramatik di sempadan yang dikongsi bersama ketika ketegangan memuncak antara kedua-dua jiran bekas Kesatuan Soviet itu.

Poroshenko memberi amaran pertempuran di laut boleh menunjukkan perkembangan lebih drastik dalam menyemarakkan ketegangan ketenteraan Ukraine-Russia.

“Saya tidak mahu sesiapa menyangka ini satu jenaka dan permainan.

“Ukraine dalam ancaman perang besar dengan Russia,” katanya dalam temubual dengan saluran televisyen tempatan.

Bilangan unit Russia yang ditempatkan di sepanjang sempadan kedua-dua negara bertambah secara dramatik manakala jumlah kereta kebal di pihak Moscow meningkat tiga kali ganda, kata Poroshenko, memetik laporan perisikan.

Beliau berkata demikian selepas tentera Russia merampas tiga kapal milik Ukraine di luar pantai Crimea Ahad lalu dan menangkap 24 kelasi negara itu.

Kiev menuntut pembebasan kelasi berkenaan dan menggesa sekutu Baratnya mengenakan sekatan selanjutnya ke atas Moscow.

Krisis itu juga mengancam perbalahan diplomatik dengan Presiden Donald Trump memberi amaran beliau mungkin membatalkan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin.

Trump dijadualkan bertemu dengan Putin pada sidang kemuncak G20 di Buenos Aires hujung minggu ini, tetapi memberitahu Washington Post ia bergantung kepada keputusan laporan mengenai kejadian itu yang kini sedang disediakan penasihat keselamatannya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Britain dakwa perisikan tentera Russia dalang serangan siber global

LONDON 4 OKT: Britain menuduh perisikan tentera Russia hari ini menganjurkan sejumlah serangan siber bertujuan melemahkan demokrasi Barat dengan mencetuskan kekeliruan dalam segala-galanya daripada sukan sehinggalah pengangkutan dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

Dalam satu penilaian Britain berdasarkan hasil kerja Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSC), perisikan tentera Russia (GRU) dianggap sebagai penyerang siber perosak yang menggunakan rangkaian penggodam untuk menyebarkan huru-hara di seluruh dunia.

GRU, kata Britain, hampir pasti menjadi dalang serangan BadRabbit dan Agensi Anti-Dadah Dunia pada 2017, menggodam Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik (DNC) pada 2016 dan mencuri e-mel daripada sebuah stesen televisyen berpusat di United Kingdom (UK) pada 2015.

“Tindakan GRU adalah melulu dan sembarangan, mereka cuba menjejaskan dan mengganggu pilihan raya di negara lain.

“Mesej kami adalah jelas, bersama sekutu kami, kami akan mendedahkan dan memberi tindak balas terhadap cubaan GRU menjejaskan kestabilan antarabangsa,” kata Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt.

Britain percaya, kerajaan Russia bertanggungjawab atas serangan itu.

Walaupun kurang dikenali berbanding KGB milik Kesatuan Soviet, perkhidmatan perisikan tentera Russia memainkan peranan utama dalam sesetengah acara terbesar sejak beberapa kurun lalu, daripada krisis peluru berpandu Cuba sehinggalah pendudukan Crimea.

Britain berkata, GRU dikaitkan dengan sejumlah penggodam termasuk APT 28, Fancy Bear, Sofacy, Pawnstorm, Sednit, CyberCaliphate, Cyber Berkut, Voodoo Bear dan BlackEnergy Actors.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

AS, Britain beri amaran, kempen serangan siber Russia

LONDON 17 APR: Britain dan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran semalam, penggodam ditaja kerajaan Russia menggodam perkakasan utama pihak berkuasa dan rangkaian komputer perniagaan seperti router dan firewall, memberi mereka kawalan aliran data maya.

Dalam satu kenyataan bersama, Washington dan London berkata, operasi itu dilakukan bagi menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi asas untuk operasi serangan akan datang.

“Penggodam ditaja Russia menggunakan router dikompromi bagi menjalankan serangan sekali gus menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi tapak kepada operasi serangan akan datang.

“Sesiapa sahaja yang mengawal infrastruktur laluan sesebuah rangkaian, pada akhirnya mengawal aliran data yang melalui rangkaian itu,” katanya.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) berkata, godaman itu adalah sebahagian operasi meluas digelar Grizzly Steppe, yang dikatakan jabatan itu menumpukan serangan siber oleh agensi awam dan perisikan tentera Moscow.

Operasi menggodam router menyasar kedua-dua sektor kerajaan dan swasta serta penyedia utama infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan internet disediakan mereka.

Pengumuman itu dibuat dalam satu amaran bersama tidak dijangka, menekankan kerjasama lebih rapat antara kerajaan Barat berjuang menentang apa yang mereka katakan kempen berterusan, godaman pelbagai peringkat dan salah maklumat dalam talian oleh Moscow.

Amaran itu dikeluarkan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain, DHS dan Biro Siasatan Persekutuan AS.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Jerman dakwa Russia dalang serangan siber

BERLIN 16 APR: Kerajaan Jerman terpaksa merumuskan, serangan siber ke atas Kementerian Luarnya berpunca daripada Russia, kata Menteri Luarnya Heiko Maas memaklumkan penyiar ZDF semalam.

Maas sebelum itu menyenaraikan siri apa yang digelarnya tindakan bermasalah oleh Moscow, termasuk ketiadaan perkembangan dalam melaksanakan gencatan senjata di timur Ukraine, serangan gas beracun di Britain, sokongannya terhadap kerajaan Syria, usaha negara itu untuk mempengaruhi pilihan raya di Barat dan serangan siber.

“Kami berhadapan serangan ke atas Kementerian Luar di mana kita terpaksa beranggapan ia berpunca daripada Russia.

“Saya fikir ia bukan hanya satu alasan namun perlu untuk merumuskan serangan itu bukan satu sumbangan yang membina,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS musnah keupayaan Syria bina senjata kimia, 71 peluru dipintas

WASHINGTON 15 APR: Pentagon semalam menyatakan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Syria berjaya membedil setiap sasaran yang dikehendaki sekali gus memberi isyarat kepada kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad agar tidak menggunakan senjata kimia pada masa hadapan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan serangan pada awal pagi itu didakwa berjaya melumpuhkan keupayaan rejim Bashar untuk menghasilkan senjata kimia, menurut pegawai-pegawai AS.

Pentagon tidak mempunyai maklumat berhubung insiden kematian orang awam akibat serangan operasi ketenteraan AS dan sekutunya.

Leftenan Jeneral Kenneth F. McKenzie menyatakan serangan dilakukan tepat dan secara efektif walaupun ada sejumlah infrastruktur senjata kimia Syria masih terselamat.

Sementara itu, AFP melaporkan Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan sistem pertahanan udara Syria berjaya memintas 71 roket yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad semalam.

“Sejumlah 103 peluru berpandu krus termasuk misil Tomahawk dilancarkan oleh sekutu Barat. Bagaimanapun, 71 peluru berpandu krus berjaya dipintas,” kata pegawai kanan tentera Rusia, Sergei Rudskoi dalam satu taklimat di Moscow.

Barat turut melancarkan sebanyak 12 misil ke sebuah lapangan terbang dekat Damsyik, namun ia gagal memusnahkan fasiliti itu selepas semua roket itu dipintas oleh sistem pertahanan udara Syria.

“Sistem pertahanan udara Rusia yang ditempatkan di wilayah Syria tidak digunakan untuk mengekang serangan misil (Barat),” menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Rusia.

AS, Perancis dan Britain mengumumkan satu operasi ketenteraan bersama untuk menyerang kerajaan Syria yang dituduh melakukan satu serangan senjata kimia yang mengorbankan lebih 40 nyawa di bandar Douma, dekat Damsyik di Syria.

SUMBER: REUTERS/ AFP

Categories
GLOBAL

Lebih 100 peluru berpandu AS dan sekutu hentam Syria

MOSCOW 14 APR: Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melancarkan lebih 100 peluru berpandu cruise dengan sebahagiannya dipintas sistem pertahanan udara Syria.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia, peluru berpandu udara ke bumi itu dibedil AS, Britain dan Perancis dari laut dan udara mensasarkan kemudahan tentera Syria dan awam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Peluru berpandu terbabit dilancarkan dari kapal perang AS di Laut Merah serta pesawat di ruang udara Mediterranean dan pesawat pengebom strategik AS dari pangkalan udara Al-Tanf di sempadan Syria-Iraq.

Agensi berita Russia RIA Novosti melaporkan sejumlah peluru berpandu ditembak jatuh oleh Syria.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, sistem pertahanan udara Syria dihasilkan Soviet Union lebih 30 tahun lalu.

Sistem pertahanan udara Russia yang ditempatkan di Syria tidak digunakan bagi menangkis serangan hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly berkata, negaranya melancarkan peluru berpandu dari kapal frigate di Laut Mediterranean dan jet pejuang.

Parly berkata, aset berbeza digunakan untuk melancarkan peluru berpandu serentak dengan serangan AS dan Britain.

Britain pula menggunakan empat pesawat Tornado membedil peluru berpandu Shadow.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

‘Kuasa hebat’ di sebalik serangan agen saraf – Russia

MOSCOW 27 MAC: Kementerian Luar Russia semalam mendakwa ‘kuasa hebat’ di Amerika Syarikat (AS) dan Britain bertanggungjawab terhadap serangan agen saraf di England, namun kerajaan British menyalahkan Moscow, lapor agensi berita RIA Novosti.

Kenyataan itu dikeluarkan dengan AS dan negara Kesatuan Eropah (EU) mengusir lebih 100 diplomat Russia semalam untuk menghukum Kremlin di atas serangan agen saraf terhadap bekas perisik Russia di Britain.

Ia adalah tindakan paling tegas Presiden AS, Donald Trump terhadap Russia, sejak mengambil alih jawatan. Beliau sebelum ini, dikritik ahli Demokrat dan ahli parti Republikan sendiri kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap Russia.

Perdana Menteri British, Theresa May menyambut baik penyatuan itu berkata, 18 negara mengumumkan rancangan mengusir pegawai Russia. Ia termasuk 14 negara EU dan Ukraine, Kanada serta Albania.

Keseluruhannya, pengumuman pengusiran negara Barat semalam membabitkan lebih 100 diplomat dan adalah pengusiran diplomat Russia terbesar oleh Barat, sejak kemuncak Perang Dingin.

Dalam perkembangan sama, May memaklumkan semalam lebih 130 orang terdedah kepada agen saraf bertaraf ketenteraan yang digunakan untuk meracun bekas perisik Sergei Skripal dan anak perempuan beliau di bandar Salisbury pada bulan ini.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Australia usir dua diplomat Russia

GLOBAL 27 MAC: Australia menyertai Amerika Syarikat dan sekutu British yang lain dalam mengusir dua diplomat Russia hari ini sebagai tindak balas terhadap serangan agen saraf membabitkan bekas perisik Russia di England.

Perdana Menteri, Malcolm Turnbull berkata pasangan itu diberi tempoh tujuh hari untuk keluar.

“Keputusan ini mencerminkan sifat serangan senjata kimia yang mengejutkan itu. Ia yang pertama di Eropah sejak Perang Dunia II, membabitkan bahan yang boleh membawa maut di kawasan berpenduduk, sekali gus membahayakan anggota masyarakat yang lain,” katanya.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

AS tuduh Russia isu serangan kimia di Syria

GLOBAL 28 JAN: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson, menegaskan pendiriannya bahawa Russia bertanggungjawab atas serangan kimia di Syria, baru-baru ini walaupun dibantah keras Moscow, lapor AFP.

“Ini adalah serangan kimia yang tidak boleh diterima dan melanggar semua konvensyen yang ditandatangani Russia sendiri.

“Ia melanggar perjanjian yang dipersetujui Russia untuk mengenal pasti dan menghapuskan senjata kimia di Russia.

“Senjata kimia digunakan terhadap penduduk awam dan paling teruk adalah kanak-kanak, di Syria,” kata Tillerson.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan dengan Menteri Luar Poland, Jacek Czaputowicz, ketika lawatan ke Warsaw.

Tillerson membuat tuduhan itu buat kali pertama pada Selasa lalu, ketika diplomat dari 29 negara bertemu di Paris untuk menggesa sekatan dan dakwaan jenayah dikenakan ke atas dalang serangan kimia di Syria.

SUMBER: AFP