Categories
AGENDA GLOBAL

UK pertama kali catat lebih 50,000 kes Covid-19 sehari

LONDON, 30 DIS: Britain buat pertama kali merekodkan lebih 50,000 kes Covid-19 semalaman sejak wabak itu merebak di seluruh dunia, menurut angka rasmi dikeluarkan pada Selasa.

Seramai 53,135 lagi penduduk Britain diuji positif virus itu, menunjukkan peningkatan baharu setiap hari. Jumlah kes di negara ini kini sebanyak 2,382,865, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, seramai 414 lagi meninggal dunia dalam tempoh 28 hari menjadikan jumlah kematian sebanyak 71,567.

Seorang saintis pada Selasa memberi amaran kepada kerajaan, langkah pencegahan lebih ketat mesti dilaksanakan untuk mengelak “malapetaka” pada tahun baru.

Britain “memasuki fasa baharu pandemik yang sangat berbahaya” disebabkan penularan varian baharu, kata anggota Kumpulan Penasihat Ancaman Kemunculan Virus Baharu (NERVTAG), Profesor Andrew Hayward.

“Kita memerlukan tindakan pencegahan awal dan ketat, untuk mencegah bencana lebih buruk pada Januari dan Februari,” katanya kepada program Radio 4 BBC.

“Tahap sekatan sebelum ini tidak mampu berfungsi lagi, sekatan Tahap Empat mungkin diperlukan, atau mungkin lebih daripada itu”

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock dijangka mengumumkan perubahan tahap sekatan pada Rabu.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Britain kutuk Israel mahu wujud penempatan baharu di Tebing Barat

LONDON, 8 APRIL: Britain mengutuk Israel berhubung pelan negara itu untuk mewujudkan petempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Pemangku menteri bagi Timur Tengah, Mark Field dalam kenyataan berkata, petempatan itu tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan menjejaskan daya maju fizikal penyelesaian dua negara.

“UK mengutuk sekeras-kerasnya pemajuan pelan dan tender pihak berkuasa Israel pada 5 April untuk petempatan unit kediaman di seluruh Tebing Barat,” katanya.

Katanya, pelan bagi petempatan baharu yang didedahkan baru-baru ini “adalah susulan pengumuman pada Disember bagi lebih 2,000 unit kediaman.”

Sambil menggesa Israel supaya “menghentikan tindakan tidak produktif sedemikian,” menteri Britain itu menyeru “semua pihak berusaha lebih lanjut untuk meredakan ketegangan semasa dan mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk keamanan yang adil dan berkekalan.”

Terdahulu, Netanyahu berikrar untuk mewujudkan petempatan baharu di Tebing Barat jika memenangi pilihan raya umum, yang dijadualkan pada 9 April.

Kira-kira 650,000 orang Yahudi kini tinggal di lebih 100 petempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel.

Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai “wilayah yang diduduki” serta semua aktiviti pembinaan petempatan orang Yahudi di kawasan itu adalah haram.

Penduduk Palestin pula mahukan kedua-dua wilayah itu serta Semenanjung Gaza untuk penubuhan sebuah negara Palestin pada masa depan. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Ekonomi UK paling lembap dalam enam tahun

LONDON, 12 FEB: Ekonomi Britain dilaporkan bergerak perlahan pada lewat 2018 ekoran kebimbangan Brexit yang memberi kesan kepada pelaburan, manakala kelembapan ekonomi global menjejaskan perdagangan.

Ahli ekonomi di Institute of Directors, Tej Parikh berkata, kadar pertumbuhan ekonomi jatuh kepada kadar suku tahunan 0.2 peratus antara Oktober dan Disember daripada 0.6 peratus, pada suku sebelumnya.

Katanya, ia sejajar ramalan dalam tinjauan Reuters, manakala pengeluaran pada Disember saja mencatat kejatuhan paling besar sejak 2016.

“Ekonomi United Kingdom (UK) kehilangan keceriaan musim panas pada bulan terakhir 2018 dan terdapat tanda angin sejuk akan tiba.

“Pound sterling juga jatuh satu pertiga kepada bawah AS$1.29. Bagi 2018 secara keseluruhan, pertumbuhan menurun ke tahap terendah sejak 2012 pada 1.4 peratus, turun dari 1.8 peratus pada 2017,” katanya.

Eksport terkesan daripada kelemahan global dan pengguna serta perniagaan semakin bimbang berhubung kekurangan rancangan ketika Britain akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), pada 29 Mac ini.

Perdana Menteri, Theresa May juga gagal memenangi sokongan parlimen bagi rancangan yang dipersetujui beliau dengan Brussels.

Ekonomi utama di seluruh dunia juga semakin perlahan pada akhir 2018, sebahagiannya ekoran ketegangan perdagangan AS dan China, sementara Brexit adalah cabaran tambahan untuk Britain.

Minggu lalu, Bank of England mengurangkan unjuran pertumbuhan tahun ini sebanyak 0.5 mata peratusan kepada 1.2 peratus, sekali gus bakal menjadi tahun paling lemah sejak kemelesetan 2009.

Data menunjukkan perdagangan bersih susut lebih 0.1 mata peratusan daripada kadar pertumbuhan suku keempat.

Pelaburan perniagaan jatuh mengalami kerosakan yang sama.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin perlahan dalam tiga bulan terakhir tahun itu dengan pembuatan kereta dan produk keluli melihat penyusutan ketara dan pembinaan juga merosot,” demikian menurut ahli statistik pejabat Perangkaan Negara, Rob Kent-Smith.

Pada Disember saja, ekonomi UK menguncup 0.4 peratus, kejatuhan terbesar sejak Mac 2016.

*Sumber: BHOnline/Reuters

Categories
GLOBAL

Britain dakwa perisikan tentera Russia dalang serangan siber global

LONDON 4 OKT: Britain menuduh perisikan tentera Russia hari ini menganjurkan sejumlah serangan siber bertujuan melemahkan demokrasi Barat dengan mencetuskan kekeliruan dalam segala-galanya daripada sukan sehinggalah pengangkutan dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

Dalam satu penilaian Britain berdasarkan hasil kerja Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSC), perisikan tentera Russia (GRU) dianggap sebagai penyerang siber perosak yang menggunakan rangkaian penggodam untuk menyebarkan huru-hara di seluruh dunia.

GRU, kata Britain, hampir pasti menjadi dalang serangan BadRabbit dan Agensi Anti-Dadah Dunia pada 2017, menggodam Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik (DNC) pada 2016 dan mencuri e-mel daripada sebuah stesen televisyen berpusat di United Kingdom (UK) pada 2015.

“Tindakan GRU adalah melulu dan sembarangan, mereka cuba menjejaskan dan mengganggu pilihan raya di negara lain.

“Mesej kami adalah jelas, bersama sekutu kami, kami akan mendedahkan dan memberi tindak balas terhadap cubaan GRU menjejaskan kestabilan antarabangsa,” kata Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt.

Britain percaya, kerajaan Russia bertanggungjawab atas serangan itu.

Walaupun kurang dikenali berbanding KGB milik Kesatuan Soviet, perkhidmatan perisikan tentera Russia memainkan peranan utama dalam sesetengah acara terbesar sejak beberapa kurun lalu, daripada krisis peluru berpandu Cuba sehinggalah pendudukan Crimea.

Britain berkata, GRU dikaitkan dengan sejumlah penggodam termasuk APT 28, Fancy Bear, Sofacy, Pawnstorm, Sednit, CyberCaliphate, Cyber Berkut, Voodoo Bear dan BlackEnergy Actors.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Theresa May diramal buat pilihan raya November

LONDON 23 SEPT: Pembantu Perdana Menteri Britain, Theresa May dilaporkan sedang merangka satu rancangan luar jangka untuk mengadakan pilihan raya pada November ini.

Akhbar Sunday Times melaporkan, pilihan raya ‘mengejutkan’ itu adalah antara usaha pentadbiran May, untuk menyelamatkan Brezxit dan kedudukan perdana menteri itu sendiri.

Menurut akhbar itu lagi, dua pegawai kanan pejabat May, yang mengendalikan hal ehwal politik dipercayai sudah memulakan langkah itu, bagi mendapatkan sokongan orang ramai terhadap pelan terbaru yang bakal dilaksanakan.

Pilihan raya itu dikatakan perlu diadakan selepas cadangan mengenai Brexit yang dikemukakan pada mesyuarat pemimpin Kesatuan Eropah (EU) di Salzburg, Austria, baru-baru ini, mendapat kritikan hebat.

Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Britain, Downing Street, gagal dihubungi untuk mengesahkan laporan akhbar berkenaan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS, Britain beri amaran, kempen serangan siber Russia

LONDON 17 APR: Britain dan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran semalam, penggodam ditaja kerajaan Russia menggodam perkakasan utama pihak berkuasa dan rangkaian komputer perniagaan seperti router dan firewall, memberi mereka kawalan aliran data maya.

Dalam satu kenyataan bersama, Washington dan London berkata, operasi itu dilakukan bagi menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi asas untuk operasi serangan akan datang.

“Penggodam ditaja Russia menggunakan router dikompromi bagi menjalankan serangan sekali gus menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi tapak kepada operasi serangan akan datang.

“Sesiapa sahaja yang mengawal infrastruktur laluan sesebuah rangkaian, pada akhirnya mengawal aliran data yang melalui rangkaian itu,” katanya.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) berkata, godaman itu adalah sebahagian operasi meluas digelar Grizzly Steppe, yang dikatakan jabatan itu menumpukan serangan siber oleh agensi awam dan perisikan tentera Moscow.

Operasi menggodam router menyasar kedua-dua sektor kerajaan dan swasta serta penyedia utama infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan internet disediakan mereka.

Pengumuman itu dibuat dalam satu amaran bersama tidak dijangka, menekankan kerjasama lebih rapat antara kerajaan Barat berjuang menentang apa yang mereka katakan kempen berterusan, godaman pelbagai peringkat dan salah maklumat dalam talian oleh Moscow.

Amaran itu dikeluarkan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain, DHS dan Biro Siasatan Persekutuan AS.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Czech tolak dakwaan jadi negara asal agen saraf

PRAGUE 18 MAC: Menteri Luar Czech, Martin Stropnicky semalam menafikan tuduhan Moscow bahawa agen saraf yang digunakan terhadap bekas ejen Russia dan anak perempuannya di selatan England datang dari Republik Czech.

Jurucakap kementerian luar negara Russia, Maria Zakharova memberitahu saluran TV 24 Rossiya bahawa sumber agen saraf Novichok adalah dari Britain sendiri atau Republik Czech, Slovakia, Sweden atau Amerika Syarikat.

Russia mengusir 23 diplomat British semalam sebagai langkah tindak balas terhadap London, yang menuduh Kremlin menyusun serangan agen saraf dan mengarahkan pengusiran jumlah diplomat Russia yang sama.

“Kami menolak dakwaan mengenai asal usul (toksin) yang tidak mempunyai bukti kukuh,” kata Stropnicky di Twitter rasminya.

Menteri Pertahanan Czech, Karla Slechtova, di akaun Twitter beliau menyifatkan cadangan bahawa toksin itu mungkin berasal dari Republik Czech sebagai ‘tidak masuk akal.’

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Britain usir 23 diplomat Rusia

GLOBAL 15 MAC: Britain akan mengusir 23 diplomat Rusia sebagai tindak balas terhadap serangan toksin saraf terhadap bekas perisik Rusia di selatan England, kata Perdana Menteri Theresa May pada hari Rabu.

May menyifat serangan itu sebagai penggunaan kekerasan haram oleh Rusia terhadap United Kingdom.

Diplomat Rusia yang diusir itu diberi seminggu untuk meninggalkan Britain, kata May.

May berkata Britain juga akan memperkenalkan langkah baru untuk mengukuhkan pertahanan terhadap aktiviti-aktiviti ancaman, membekukan aset negara Rusia jika ada bukti ancaman, dan mengurangkan kehadiran di kejohanan bolasepak Piala Dunia di Rusia pada musim panas ini.

Rusia, yang menafikan sebarang keterlibatan dalam serangan itu, menganggap langkah yang diumumkan May itu sebagai “tidak dapat diterima, tidak adil dan berfikiran pendek” dan memberi amaran kepada Britain akan tidak balas pihaknya.

 

Tidak seperti apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan ke atas Rusia sebagai tindak balas kepada pencerobohan di Crimea dan tindakan lain di Ukraine, May tidak menamakan individu Rusia atau syarikat-syarikat yang akan disasarkan khusus oleh sekatan itu.

Bekas ejen Sergei Skripal, 66, dan anak perempuannya Yulia, 33, ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku di bandar Salisbury pada 4 Mac dan masih dirawat di hospital dalam keadaan kritikal. Seorang pegawai polis turut cedera dan masih dalam keadaan serius.

Skripal (gambar) mengkhianati puluhan ejen Rusia kepada Britain sebelum ditangkap di Moscow dan kemudian dipenjara pada tahun 2006. Dia dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran perisik pada tahun 2010 dan berlindung di Britain.

May telah berkata Skripals diserang dengan novichok, ejen bahan saraf tentera era Soviet. Dia telah meminta Moscow menjelaskan sama ada ia bertanggungjawab atas serangan itu atau kehilangan bahan yang sangat berbahaya itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Washington dan UK senada Rusia dalang serang perisik

GLOBAL 13 MAC: Kerajaan Amerika Syarikat dan Britain senada dengan dakwaan berkemungkinan Rusia bertanggungjawab terhadap serangan ke atas bekas perisiknya, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia di Salisbury.

AGENSI media melaporkan kedua-duanya didapati diracun dengan agen saraf, yang lazimnya dihasilkan Rusia.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, mereka yang bertanggungjawab harus menerima akibatnya.

“Kami bersetuju bahawa mereka yang bertanggungjawab iaitu yang melakukan jenayah dan mereka yang mengarahkannya, harus menanggung akibatnya,” kata Tillerson.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain Theresa May turut mendakwa Rusia dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Susulan itu, pejabat Setiausaha Luar Britain, memanggil duta Rusia ke negaranya untuk penjelasan.

Jelas May, sekiranya tiada penjelasan diberikan sehingga lewat Selasa, Britain akan merumuskan Moscow menggunakan kekerasan untuk membunuh Skripal.

Bahan kimia yang digunakan ke atas Skripal dan anaknya merupakan satu daripada agen saraf yang dikenalpasti sebagai Novichok.

Kata May, Britain akan mempertimbangkan tindakan tegas sekiranya penjelasan diberikan Kremlin tidak cukup baik, namun May tidak memberi penjelasan lanjut.

Skripal, 66 tahun dan anaknya Yulia, 33 tahun dilaporkan masih kritikal sejak diracun dengan agen saraf 4 Mac lalu.

Kremlin sehingga kini mempertahankan kejadian itu bukan didalangi mereka.

Skripal merupakan bekas pegawai risikan Rusia yang direkrut untuk menjadi perisik Britain pada 1990-an.

Dia dipenjara di Rusia pada 2006 namun dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan pada 2010 dan sejak itu, Skripal menetap di Salisbury.

SUMBER: AGENSI

=EZY=

Categories
GLOBAL

Pensyarah di Britain teruskan mogok bantah pindaan bayaran pencen

LONDON 13 MAC: Pensyarah dari 65 universiti di Britain melancarkan mogok membantah rancangan pindaan bayaran pencen memasuki minggu ke empat semalam, dengan sedikit tanda kompromi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Persatuan Universiti-Universiti United Kingdom (UUK), sebuah pertubuhan institusi pendidikan tinggi Britain mencadangkan pada Januari lalu perubahan dari pencen pendapatan terjamin kepada skim yang tertakluk kepada turun naik pasaran saham.

UUK berpandangan perubahan itu bakal membantu mengurangkan defisit pencen kepada lebih STG6 bilion (RM32.40 bilion).

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU) kerana ia menyebabkan pensyarah kehilangan pendapatan hampir STG10,000 (RM54,290.15) setahun dan dianggap pelan persaraan paling buruk.

“Ia bukan hanya soal wang, jika perubahan ini diluluskan mereka yang merancang untuk menceburi bidang akademik akan berfikir dua kali,” kata profesor bahasa di Universiti London’s Birkbeck, Akane Kawakami.

Kawakami berkata, mereka dibayar rendah dan sebahagian daripada tarikan kerjaya akademik adalah kemungkinan untuk mendapatkan pelan persaraan yang bagus.

“Jika kami melepaskan peluang ini, lebih ramai akan beralih kepada sektor lain,” katanya.

Minggu lalu, UCU mengumumkan lanjutan 14 hari mogok bertujuan untuk mengelak minggu peperiksaan antara April dan Jun, jika tiada tanda-tanda resolusi untuk mengadakan perbincangan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Britain & China meterai kerjasama RM51.5 bilion

GLOBAL: Britain menandatangani perjanjian bernilai lebih £9.3 bilion (RM51.53 bilion) yang akan mewujudkan 2,500 pekerjaan di seluruh negara itu semasa lawatan Perdana Menteri, Theresa May ke China minggu ini, kata kerajaan Britain

“Perjanjian yang ditandatangani minggu ini bernilai lebih £9.3 bilion. Ia menunjukkan permintaan yang jelas untuk barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan Britain,” kata Setiausaha Perdagangan Antarabangsa, Liam Fox dalam satu kenyataan.

“Sebagai sebuah jabatan ekonomi antarabangsa, kami akan terus membina hubungan bernilai ini yang telah memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Britain dalam bentuk dagangan bernilai £59 bilion (RM322 bilion) setiap tahun,” tambahnya.

Fox berkata, angka itu dijangka meningkat berikutan lebih banyak perjanjian telah ditandatangani antaranya termasuk persetujuan komersial, akses pasaran dan kontrak masa hadapan dengan sektor berbeza.

Perjanjian dan akses pasaran bernilai lebih £1 bilion (RM5.51 bilion) yang menjanjikan 890 pekerjaan telah dimuktamadkan untuk sektor perkhidmatan kewangan Britain, katanya lagi.

May mengakhiri lawatan tiga hari beliau ke China di ibu kota kewangan negara komunis itu semalam.

Britain cuba bangkit untuk kembali muncul sebagai sebuah negara perdagangan global susulan referendum pada 2016 yang menyaksikan rakyatnya memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.

Brexit membuatkan Beijing resah, walaupun London berharap dapat menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Namun, Perdana Menteri China, Li Keqiang tetap memberi jaminan kepada May pada Rabu lepas bahawa hubungan China dan Britain kekal tidak berubah sepanjang Brexit.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Bil ‘perceraian’ Brexit RM100 bilion

LONDON 21 SEPT: Perdana Menteri Britain, Theresa May berjanji akan membayar bil ‘perceraian’ Brexit berjumlah sekurang-kurangnya 20 bilion euro (RM100 bilion), menurut beberapa pegawai yang dipetik berkata oleh Financial Times.

Olly Robbins yang merupakan penasihat hal ehwal Kesatuan Eropah (EU) kepada Perdana Menteri, Theresa May telah memaklumkan rakan-rakan sejawatnya di beberapa ibu kota Eropah tentang tawaran tersebut, kata akhbar itu lewat kelmarin, lapor AFP.

Pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat oleh May dalam satu ucapan Brexit di bandar Florence, Itali, kata akhbar itu lagi.

Britain masih belum mengemukakan angka untuk memenuhi tanggungjawab kewangannya kepada EU apabila ia meninggalkan blok itu yang kini ditetapkan pada 29 Mac 2019.

Ibu kota EU, Brussels juga belum mengumumkan kos Brexit, namun, beberapa pegawai kanan EU berkata, penilaian awal mendapati Britain perlu membayar antara 60 hingga 100 bilion euro (RM503 bilion) apabila ia keluar dari blok berkenaan.

=EZY=