Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Serah projek kepada pihak ketiga bukan amalan di Selangor

SHAH ALAM, 11 NOV: Tindakan menyerahkan projek kepada pihak ketiga oleh syarikat pemenang tender atau biasanya disebut sebagai ‘sub projek’ bukan amalan Kerajaan Negeri hari ini.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, tindakan yang popular ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu menyebabkan kualiti kerja yang dilaksanakan tidak mencapai piawaian ditetapkan.

“Bila sesuatu kerja disub sehingga beberapa kali kepada satu pihak dan satu pihak lain, pasti mereka akan mengambil keuntungan sekali gus menyebabkan pihak melaksanakan kerja itu menyiapkan projek dengan kualiti rendah.

“Bagaimanapun perkara ini berlaku di era BN sahaja, bukan di era Kerajaan PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2020 bagi Jabatan Kerja Raya Selangor berjumlah RM178 juta.

Muhammad Hilman berkata, Kerajaan Negeri juga digesa supaya mengelakkan berlakunya monopoli dalam sebarang projek kerajaan.

Katanya, sebaliknya Kerajaan Negeri perlu membiarkan persaingan sihat antara syarikat swasta dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Cadang wujud landasan digital IKS, tarik pelabur

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri digalakkan untuk mewujudkan satu landasan digital dalam kalangan usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) bagi menarik pelabur datang ke Selangor, kata Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham.

Beliau berkata, kaedah atau teknologi digital itu amat digalakkan untuk ia dilaksanakan selain mewujudkan ekspo secara fizikal.

“Apabila wujudnya digital platform, ia dapat tarik lebih ramai pelabur datang ke Selangor sekali gus mereka dapat mengenali produk yang dihasilkan usahawan IKS kita.

“Justeru, menerusi digital platform ini usahawan IKS tempatan dan luar negara dapat membina hubungan kerja dengan lebih akrab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan usul peruntukan Pembangunan Belanjawan Selangor 2019 di Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya, menerusi kewujudan digital platform itu ia secara langsung mampu memberi ruang kepada usahawan IKS antara negara berurusan dengan lebih cepat.

Digital platform itu sebagai langkah bagi mengembangkan lagi ekspo seperti Selangor International Business Summit (SIBS), Selangor International Expo dan Selangor R&D and Innovation Expo.

Categories
SELANGOR

RM400,000 naik taraf Surau Sungai Pusu

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 14 DIS: Dewan Undangan Negeri Gombak Setia menerima peruntukan RM400,000 bagi menaik taraf Surau Sungai Pusu, di sini.

Ahli Dewan Negerinya, Hilman Idham berkata, peruntukan itu adalah kelulusan daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Ahli Parlimen Gombak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin kerana sudi menghulurkan bantuan membantu menaik taraf surau terbabit.

“Saya optimis penduduk dapat mengimarahkan surau ini selepas kerja menaik taraf dan baik pulih siap sepenuhnya pada masa akan datang, sekali gus dapat dihidupkan sebagai tempat ibadat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perdana Program Jelajah Kembali Ke Sekolah, di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Soffan Affendi Aminudin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman.

Hilman berkata, beliau gembira kerana akhirnya cadangan untuk menaik taraf surau terbabit mendapat persetujuan Ahli Parlimen Gombak.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyerahkan bantuan persekolahan bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat MBI dengan peruntukan RM1.7 juta bagi membantu 8,400 orang seluruh Sealngor yang bakal memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Categories
SELANGOR

Dua premis sampah haram DUN Gombak Setia berjaya ditutup

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 27 OGOS : Dua daripada tiga premis sampah haram di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berjaya ditutup, kata Ahli Dewan Negerinya, Hilman Idham.

Hilman berkata, antara premis tapak pelupusan sampah berjaya diselesaikan adalah di Sri Gombak dan Sungai Pusu manakala di Gombak Utara sedang dalam usaha menyelesaikannya.

Katanya, satu tindakan bersepadu dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menutup semua premis tersebut untuk memastikan kesejahteraan atau keselesaan penduduk tempatan kawasan itu terus terjamin.

“Saya sudah melakukan kunjungan hormat dengan Pegawai Daerah Gombak dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPSelayang) bertujuan melaporkan beberapa perkara yang dibangkitkan rakyat sepanjang melaksanakan kempen di DUN ini.

“Antara perkara dibangkitkan dan perlu selesaikan segera adalah tapak pelupusan sampah haram yang sememangnya banyak atau ada tiga yang terbesar di DUN ini,” katanya ketika ditemui SelangorKini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hilman berkata, beliau bersyukur hasil kerjasama dan muafakat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi kerajaan, kini beliau berjaya menutup dua premis tapak pelupusan sampah haram tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai pembakaran terbuka yang berlaku di tapak pelupusan sampah haram, Hilman berkata, ia memang dibakar secara sengaja oleh kontraktor yang menguruskan kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah menubuhkan satu unit penguatkuasaan untuk bekerjasama dengan unit bencana daerah di bawah kelolaan Pejabat Tanah dan Daerah, di sini.

“Kita sudah menjalankan operasi dan ia sudah berjalan selama lebih satu minggu dan saya juga sempat hadir semasa pasukan bomba mengadakan operasi pemadaman kebakaran tersebut.

“Syukur hasil daripada operasi tersebut, asap dapat dikurangkan namun paling membimbangkan apabila di sebelah tapak tersebut terdapat sekolah yang mana kita khuatir ia akan memberi kesan buruk kepada pelajar dan guru di situ,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini, pasukan bomba masih berada di kawasan tersebut untuk memerhati kerana dikhuatiri sekiranya masih terdapat api dalam tanah tersebut.

Categories
SELANGOR

ADN ucap tahniah, Amirudin ‘lakar sejarah’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN : Dato’ Menteri Besar baru, Amirudin Shari terus menerima ucapan penghargaan daripada masyarakat selepas dipilih menerajui kepimpinan negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke 16.

Tidak melepaskan peluang itu, barisan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) turut sama menzahirkan penghargaan tahniah kepada ADN Sungai Tua itu.

Antaranya di Twitter, ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, pemilihan Amirudin dianggap sebagai lakaran sejarah baru, selepas mengambil kira faktor usia muda Dato’ Menteri Besar itu yang baru berusia 38 tahun.

“Tahniah dan selamat berkhidmat buat sahabatku Amirudin Shari yang menempa sejarah baru sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Semoga diberi kekuatan dan hikmah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini kepada rakyat dan negeri,” katanya.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menyifatkan Amirudin sebagai individu berkredibiliti dan layak menerajui kepimpinan negeri.

“Beliau seorang yang sangat bersemangat dan tegas. Ini memberikan kelebihan kepada beliau sebagai pemimpin muda untuk bekerja lebih kuat dan memberikan perhatian yang lebih kepada pembangunan anak muda Selangor.

“Tentunya saya akan memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen dalam membantu pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan beliau,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi ADN Gombak Setia, Hilman Idham, beliau percaya kredibiliti Amirudin untuk terus mengekalkan kemajuan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Amirudin Shari adalah kesinambungan kecemerlangan negeri Selangor. Stay cool bro!” katanya di Twitter.

Categories
SELANGOR

Task force khas tangani masalah lori hantu Sri Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 23 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham mengarahkan jawatankuasa khas (task force) ditubuhkan dalam tempoh 24 jam bagi menangani masalah kemasukan lori hantu di penempatan Sri Gombak.

Bercakap kepada SelangorKini, Hilman berkata, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut diarah membuat kawalan serta merta melarang kemasukan lori khususnya pada waktu puncak.

“Saya mengambil langkah proaktif dengan meminta Pegawai Daerah memanggil mesyuarat taskforce pertama dalam tempoh 24 jam untuk menyelesaikan masalah ini secara komprehensif.

“Mesyuarat task force pertama bersidang pada 22hb Mei 2018.

“Kita akan mengeluarkan satu pelan tindakan secara bersepadu melibatkan usaha penguatkuasaan dan juga tindakan rampasan tanah di bawah Kanun Tanah Negara,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan task force berkenaan turut dianggotai semua agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, MPS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk wakil penduduk.

Hilman mendedahkan, pihaknya turut mengambil maklum berhubung rungutan penduduk setempat seterusnya optmis isu itu dapat diselesaikan pada kadar segera.

“Sebaik sahaja saya menerima mandat sebagai ADN Gombak Setia, saya melakukan kunjungan hormat kepada Dato’ Pegawai Daerah & YDP MPS, pada 15 Mei 2018.

“Isu lori hantu di Sri Gombak ini merupakan antara agenda utama dibincangkan selain daripada beberapa isu lain,” katanya.

Terdahulu, penduduk menuntut maklum balas pihak berkuasa agar isu kemasukan lori hantu di penempatan Sri Gombak Fasa 9 dapat diselesaikan.

Ia susulan berlakunya kemalangan jiwa mengorbankan seorang pengguna jalan raya, akibat kecuaian pemandu lori hantu di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, SelangorKini turut mendedahkan rungutan penduduk yang mendakwa kemasukan lori hantu itu juga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat tempatan.

Categories
SELANGOR

Muafakat PAKATAN, pilihan rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 10 MEI: Muafakat Pakatan Harapan (PAKATAN) yang dipertahankan gabungan itu menjadi asas terbaik kepada rakyat mengekalkan mandat pentadbiran komponen di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, semangat tinggi rakyat mengekalkan PAKATAN turut didorong semangat tinggi, menolak kepimpinan rakus pentadbiran Kerajaan Pusat terdahulu.

“Rakyat berani membuat perubahan kerana tuntutan hal berbangkit dalam soal ekonomi dan sosial berdasarkan penyelesaian dan tawaran di bawah manifesto PAKATAN.

“Rakyat bukan hanya mengekalkan Kerajaan Selangor tetapi membantu PAKATAN menang enam negeri lain untuk perubahan,” katanya, kepada SelangorKini.

Hilman merupakan pimpinan muda PAKATAN yang diberi mandat masyarakat Gombak Setia untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Kata Hilman, kepercayaan itu akan dizahirkan secara konsisten dengan memberi tumpuan kepada pembangunan agenda golongan muda di Selangor.

Muhammad Hilman menewaskan penyandang Dun Gombak Setia dari Pas, Hasbullah Ridzwan dan BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dengan majoriti 12,399 undi.

Terdahulu, Hilman yang berusia 29 tahun merupakan lulusan Ijazah Sains Politik dari UKM dan berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sejak 2013.

Categories
SELANGOR

PAS menang Gombak Setia kerana muafakat PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 MEI: PAS menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu hanya bersandarkan kepada muafakat komponen PAKATAN ketika itu.

Calon N17, Gombak Setia, Hilman Idham berkata, tanpa penyatuan parti lawan Barisan Nasional, pOAS dilihat sukar mengekalkan kemenangan di kerusi panas berkenaan.

Justeru, katanya, faktor itu sekali gus membuka peluang besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk menang di Gombak Setia.

“Saya cukup yakin rakyat sudah matang dan bijak membuat pilihan.

“Walaupun Gombak Setia dilihat sebagai kubu kuat PAS tetapi harus diingat, PAS menang di Gombak Setia sebelum ini dalam ruang muafakat politik sahaja,” katanya pada sidang media bersama Sinar Harian di Bilik Gerakan Utama, baru-baru ini.

Calon PAKATAN itu turut menguatkan kenyataannya dengan merujuk sentimen kemenangan PAS, pada pilihan raya terdahulu.

Antaranya Dato’ Ismail Kamus (PAS) yang menang di Gombak Setia atas tiket Barisan Alternatif, Hassan Ali (PAS) atas tiket muafakat PAKATAN dan Hasbullah Ridzuan (penyandang kerusi Gombak Setia yang juga wakil PAS) menang atas tiket Pakatan Rakyat.

“Penyatuan nilah yang kita laksanakan melalui gabungan muafakat PAKATAN untuk menang,” katanya.

Hilman Idham

Optimis kejayaan itu mampu dicapai, Hilman mensasarkan untuk memancing undi pengundi muda khususnya pengundi kali pertama di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui lawannya bukan calang, sebaliknya individu berpengalaman.

“Untuk bersaing dengan tokoh politik sebegini, ia cabaran untuk saya bagaimana mampu merangkul 10,000 pengundi baru di kawasan ini.

“Kelebihan saya tentunya aspirasi yang saya bawa, saya mewakilit suara pengundi baru khususnya generasi baru di kawasan ini,” katanya.

Saingan PRU14 menyaksikan pertembungan Hilman dengan Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS) dan wakil Barisan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Categories
SELANGOR

Relawan Gombak Kita Setia dekati masyarakat

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 APR: KEADILAN kawasan Gombak Setia melancarkan ‘Program Relawan Gombak Kita Setia’ di Dataran Greenwood, semalam.

Penubuhan program itu bertujuan mendekati lebih ramai masyarakat dan menjelaskan tentang dasar kepimpinan serta program diamalkan Kerajaan Negeri.

Calon N17 Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, penubuhan Relawan Gombak Kita Setia susulan pertambahan pengundi yang kini 55,000 berbanding 44,000 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Pertambahan ini disebabkan kebanyakkannya pengundi kali pertama atau generasi muda yang sememangnya bersemangat membuat pilihan kali pertama.

“Sebab itu kita ilhamkan Relawan Anak Muda bagi menggembleng kekekuatan anak muda, menyampaikan mesej dan membawa penerangan Kerajaan Negeri kepada setiap kampung tradisi dan taman perumahan di Gombak Setia ini,” katanya.

Katanya, dengan 500 anak muda yang sudah berdaftar sebagai relawan beliau percaya kumpulan ini mampu menyampaikan mesej jelas kepada rakyat.

Perasmian program disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi P98 Parlimen Gombak dengan meletakkan pelekat Relawan Gombak Kita Setia di motosikal selain menyerahkan Vest dan bendera KEADILAN.

Sehingga malam tadi hampir sembilan bilik gerakan Relawan Gombak Kita Setia sudah dibuka.

Hadir sama, pesara tentera, Nasri Mat Jusoh, 56 yang melakukan misi berjalan kaki sejauh 284 kilometer dari Kuantan hingga ke Putrajaya sebagai simbolik meminta masyarakat mengubah kerajaan sedia ada pada PRU-14.

“Tujuan saya berjalan sejauh 284 kilometer dari Kuantan ke Putrajaya adalah untuk memberitahu kepada Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat perlu bangkit dan memilih yang benar,” katanya.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi lagenda, Ito Blues Gang yang menyampaikan lagu ‘Gombak Kita Setia’.

 

Categories
SELANGOR

Suhaimi Shafiei, dan tiga lagi dilantik pegawai Dato’ Menteri Besar

Empat pegawai baru dilantik bagi melengkapkan pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkuatkuasa serta-merta, hari ini.

Empat individu terbabit Adun Sri Muda Mat Suhaimi Shafiei dilantik Setiausaha Politik, Muhammad Hilman Idham dilantik Setiausaha Politik (Tugas-Tugas Khas) merangkap Setiausaha Sulit, YM Tengku Maraziyah Tengku Sulaiman dilantik Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas dan Mohd Radzi Abdul Razak dilantik Setiausaha Akhbar.

suhaimi shafie web baru-editSuhaimi telah berkhidmat untuk rakyat Sri Muda selama dua penggal, dan berpengalaman luas mengemudi gerak kerja partinya, PKR, selaku Ketua Penerangan dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

HilmanHilman pernah bergiat aktif dalam gerakan siswa dan pernah menjadi pengerusi Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), sebelum menjadi pembantu khas kepada Mohamed Azmin.

Maraziyah

Tengku Maraziyah merupakan aktivis parti PKR, dan pernah berkhidmat untuk Menteri Besar sebelum ini.

RadziManakala Radzi Razak seorang wartawan yang pernah berkhidmat di TV Selangor, dan beberapa saluran media penting tanahair seperti Malaysiakini. Beliau juga pernah terlibat dalam aktivisme media melalui Gerakan Media Marah (GERAMM).

Categories
NASIONAL

Video Projek IC : Pegawai Azmin Disiasat SKMM Dua Jam

IMG_7486

KUALA LUMPUR, 4 JUN : Saiful Asraf Idris pegawai kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selama dua jam hari ini.

Saiful ketika selesai soal siasat di pejabat SKMM, Bangunan Sultan Abdul Samad memberitahu ia berkaitan satu kenyataan media Azmin mengenai isu pemberian kad pengenalan di Sabah dalam satu video yang disiarkan di laman Youtube.

Pegawai SKMM menyiasat Saiful mengikut Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataan Azmin bertajuk “Program Tukar ke Orang Melayu (Project IC by Mahathir)”.

“Difahamkan, saya dipanggil soal siasat hari ini berhubung satu video yang dimuat naik di laman Youtube.

“Ia berikutan terdapat satu komen di video itu yang mengaitkannya dengan kenyataan Azmin (kenyataan rasmi oleh pejabat Azmin) pada Januari lalu.

“Saya tidak pasti sama ada akan dipanggil lagi (untuk soal siasat) selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Azmin, Hilman Idham mengesahkan arahan untuk menyoal siasat Saiful dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Mewakili Azmin katanya, pihaknya akan memastikan perkara ini tidak akan menjadi satu titik tolak terhadap usaha kerajaan untuk menghalang mereka daripada terus menyatakan kebenaran kepada masyarakat.

“Seperti mana yang kita jangka ini adalah soal siasat lanjutan daripada siasatan sebelumnya.

“Kita telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SKMM,” ujarnya.

Pada 13 Mac lalu, SKMM menyiasat Azmin selama hampir empat jam berhubung kenyataannya di laman Youtube mengenai Projek IC yang didakwanya membabitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Umno pada hujung Februari lalu menafikan terlibat dalam projek yang ditunjukkan dalam video tersebut.