Categories
AGENDA NASIONAL

Jual bunga api dalam talian dilarang – polis

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Polis mengingatkan bahawa penjualan bunga api secara dalam talian, adalah tidak dibenarkan dan menjadi kesalahan jika ada pihak melanggar syarat serta peraturan.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya mendapati terdapat jualan mercun dan bunga api secara dalam talian, yang tular di media sosial.

“Jualan bunga api perlu mendapatkan kebenaran polis, syarat dan peraturan yang dikuatkuasakan hendaklah dipatuhi.

“Sekiranya kegiatan ini (menjual mencun) masih berterusan, kita akan mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, penjualan bunga api di premis dan bazar juga tidak dibenarkan, sehingga arahan kebenaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, larangan bermain mercun diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Februari 1995 dan larangan bermain bunga api pada 15 Mac 1995.

Larangan itu masih berkuatkuasa sehingga kini, dan tertakluk di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

-BERNAMA