Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perluas rebat pengangkutan ke PPV untuk remaja bawah 18 tahun

AMPANG, 23 SEPT: Rebat pengangkutan sebanyak RM20 ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri diperluas kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Ketua Tanggungjawab Sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata permohonan dibuka sekarang dan boleh digunakan bermula 1 Oktober hingga 30 November.

“Dato’ Menteri Besar bersetuju untuk tawarkan inisiatif ini kepada penerima vaksin berusia 12 hingga 17 tahun serta memanjangkan tempoh yang sepatutnya tamat hujung bulan ini.

“Ibu bapa yang sudah menggunakan kemudahan ini juga boleh membuat permohonan lagi untuk anak-anak mereka,” katanya ketika menyerahkan derma RM50,000 kepada Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor semalam.

Beliau berkata sejak inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu diumumkan pada Jun, seramai 14,000 individu sudah menerima manfaatnya.

“Daripada jumlah berkenaan 10,000 orang sudah menebusnya. Untuk inisiatif ini MBI membelanjakan RM100,000 daripada RM1 juta yang diperuntukkan,” katanya.

Sebelum ini inisiatif itu dikhususkan kepada penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun pada Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat terbabit dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

15 individu sudah guna rebat RM20 ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 2 JULAI: Seramai 15 individu sudah menggunakan rebat pengangkutan bernilai RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri setakat semalam.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata angka yang diperoleh daripada perkhidmatan e-panggilan Grab itu adalah pada hari pertama penggunaan rebat berkenaan.

Ketua Tanjungjawab Sosial Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas Penyerahan Bantuan Kerusi Roda Istimewa kepada Nur Imaylia Zara Abdul Khaliq yang disahkan mengalami masalah metachromatic leukodystrophy (penyakit saraf) di Seksyen 13, Shah Alam pada 14 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Rebat yang bakal digunakan oleh seseorang itu akan diterima oleh Grab pada malam sehari sebelumnya. Sekiranya individu itu tidak dapat ke PPV pada hari yang sepatutnya divaksin rebat itu masih boleh digunakan sehingga 30 September,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan penerima rebat juga boleh merancang perjalanan mereka dengan menentukan sendiri waktu mahu pergi ke PPV dan pulang semula ke rumah mengikut keselesaan.

Inisiatif bernilai RM20 dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 menyasarkan penduduk negeri berusia 50 tahun ke atas.

Permohonan melalui pautan http://www.platselangor.com sah untuk perjalanan mulai 1 Julai hingga 30 September 2021.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Daftar rebat pengangkutan ke pusat vaksin bermula 20 Jun

SHAH ALAM, 14 JUN: Pendaftaran rebat RM20 untuk menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Platform Selangor (PLATS) akan bermula 20 Jun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjelaskan keutamaan diberikan kepada warga negeri ini yang berusia 50 tahun ke atas.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menjangkakan 50,000 individu menerima salah satu inisiatif daripada Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari minggu lalu.

“Terdapat 34 PPV yang kita kenal pasti di Selangor dan kita akan bagi rebat tambang di mana RM10 untuk pergi dan RM10 untuk pulang. Ini adalah usaha mengalakkan rakyat mengambil vaksin.

“Jadi tiada alasan tidak ada kenderaan, tiada duit kerana kita beri untuk galak lebih ramai menerima vaksin,” katanya selepas majlis penyerahan kerusi roda di Seksyen 13 di sini.

Beliau berkata MBI turut meminta bantuan pusat khidmat masyarakat, ahli majlis dan ketua kampung bagi melancarkan proses pendaftaran rebat tersebut.

“Kita sasar sehari 1,000 pengeluaran rebat ini sehingga selesai 50,000 dan jika ada keperluan untuk menambah kita akan usahakannya,” kata Ahmad Azri.

Beliau menambah MBI membuka peluang kepada individu berusia 50 tahun ke bawah turut sama menikmati rebat berkenaan dan perkara itu akan dimaklumkan kemudian.