Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 pekerja e-panggilan terima minyak pelincir percuma

KLANG, 31 OGOS: Sebanyak 100 minyak pelincir motosikal diagih kepada pekerja e-panggilan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 hari ini.

Wakil rakyat Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan sebagai simbolik memupuk semangat patriotik anak muda ketika negara berdepan penularan Covid-19.

ADN Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni bergambar bersama penghantar makanan ketika program serahan minyak pelincir percuma sempena Hari Kemerdekaan ke-64 di Tapak Rakan Muda, Klang pada 31 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Bantuan ini juga dapat meringankan beban pekerja Food Panda dan Grab Food untuk menyelenggara motosikal masing-masing.

“Kita tahu mereka antara golongan terjejas akibat pandemik ini,” katanya ketika ditemui pada Program Minyak Hitam Percuma Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sungai Kandis hari ini.

Seorang penerima minyak pelincir Zaki Miswan, 27, berkata bantuan itu mengurangkan kos selenggara motosikal yang digunakan setiap hari mencari rezeki.

“Terima kasih kerana prihatin dengan keperluan pekerja penghantaran ini. Walaupun bantuan nampak ringkas tetapi sangat membantu,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selesa waktu kerja anjal, ‘rider’ raih lebih RM3,000 sebulan

GOMBAK, 22 OGOS: Tindakan seorang pemuda menukar kerjaya dari pelayan restoran kepada penghantar makanan sepenuh masa tidak sia-sia apabila mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Anwar Faidhi, 28, yang menyertai syarikat e-panggilan Grab Food sejak tahun lalu lega pulangan diperoleh setimpal dengan penat lelah berbanding pekerjaan sebelum ini.

Dia yang menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur berkata kos sara hidup yang kian meningkat memaksanya untuk menukar kerjaya demi kelangsungan hidup terutama ketika pandemik Covid-19.

“Sejujurnya, pendapatan diperoleh sekarang lebih baik berbanding sebelum ini tetapi itu bergantung tahap kerajinan. Biasanya saya buat setiap hari dari pagi hingga malam dan cuti dua kali seminggu.

“Walaupun penat ambil makanan dari kedai dan hantar ke rumah pelanggan tetapi saya seronok sebab waktu anjal dan boleh tentukan tentukan jadual sendiri, jadi bila-bila masa sahaja boleh ‘kayuh’ (tunggang motosikal),” katanya kepada Selangorkini.

Anak ketiga dari tujuh beradik itu mengakui pelbagai rintangan ditempuh sepanjang berkhidmat dalam e-panggilan namun nekad untuk terus memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Berkongsi pengalamannya, Anwar berkata dia pernah menunggu di luar rumah pelanggan ketika hujan lebat kerana individu tersebut tidak dapat dihubungi.

“Saya juga harus puji pelanggan yang menyediakan ruang khas di luar rumah untuk letak pesanan mereka kerana mungkin kebanyakannya faham dengan keadaan Covid-19 ketika ini. Setakat ini tiada isu dimarahi pelanggan disebabkan lambat hantar pesanan,” katanya.

Anwar antara 50 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima bantuan RM500 yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat Batu Caves di sini semalam.

Beliau berkata inisiatif tersebut tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penunggang e-panggilan yang dianggap sebagai petugas barisan hadapan.

“Saya berterima kasih kerana memahami keadaan penghantar makanan. Sekurang-kurangnya penat lelah kami dapat perhatian dan rasa dihargai,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri salur lebih RM300,000 bantu penunggang e-panggilan

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan Selangor menyalur bantuan kewangan berjumlah RM343,080 kepada lebih 600 peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), kata EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata bantuan RM500 setiap seorang dalam fasa pertama diberikan kepada penunggang e-panggilan dari Petaling, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

“Kita menyokong usaha belia mencari sumber ekonomi dengan menceburi perkhidmatan penghantaran makanan melalui syarikat Food Panda, Grab Food, Lalamove, McDonalds, Mr Speedy, BungkusIt dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

“Diharap inisiatif kewangan ini dapat merancakkan lagi ekonomi sampingan yang menjadi trend dalam kalangan belia,” katanya selepas menyerahkan cek cura kepada peserta RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,000 permohonan bantuan RiDE direkodkan tahun lalu dengan baki penerima di lima daerah lain akan diserahkan dalam tempoh terdekat.

“Penyerahan cek bantuan peserta dari Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Klang dijadual disampaikan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.

RiDE dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor diteruskan tahun ini membabitkan peruntukan RM2 juta.

Inisiatif menyasarkan individu berusia 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan bawah RM2,000 dan memperoleh lesen motosikal B2.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu hilang kerja, usia 30 tahun ke atas boleh mohon RiDE

SHAH ALAM, 8 JULAI: Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bakal diperluas kepada golongan berumur 30 tahun ke atas yang hilangan pekerjaan akibat Covid-19.

EXCO Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan keputusan mengenainya diketahui dalam tempoh terdekat.

“Ketika ini RiDE terbuka kepada pemohon berumur 17 hingga 30 tahun, namun kita pinda syarat permohonan susulan laporan diterima menunjukkan ramai individu berumur 30 tahun ke atas terjejas pendapatan.

“Kerajaan Negeri berharap langkah ini membolehkan lebih ramai rakyat Selangor mendapat manfaat serta menjana pendapatan menerusi bidang e-panggilan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata seramai 1,500 individu mendapat manfaat program tersebut sepanjang tahun ini serta menyarankan golongan terkesan mengambil peluang disediakan Kerajaan Negeri.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,980 individu mendapat manfaat program itu sejak dilancarkan 1 Ogos tahun sama.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta bagi meneruskan program RiDE. Permohonan boleh dibuat melalui pautan
http://msnselangor.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

150 penghantar makanan bermotor terlibat nahas dalam tiga bulan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Lebih 150 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal perkhidmatan penghantar makanan direkodkan dari Mac hingga Jun 2020, menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Dr Azlan Darus berkata pengembangan ekonomi sampingan dan perkhidmatan e-panggilan semasa penularan wabak Covid-19 ketika ini, telah menyebabkan peningkatan kemalangan membabitkan penunggang e-panggilan.

“Jumlahnya terus meningkat dan menjelang hujung tahun ini, semakin banyak kemalangan berlaku, maka atas faktor inilah, isu pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan adalah penting untuk ditangani dari aspek perlindungan dan pencegahan,” katanya dalam ucaptama pada persidangan maya Vision Zero Webinar Series: Work-Related Road Safety (Keselamatan Jalan Raya Berkaitan Kerja) di sini, hari ini.

Webinar anjuran bersama Perkeso dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif badan terlibat di bawah Vision Zero Malaysia.

Menurut Azlan kes kemalangan semasa ulang alik ke tempat kerja telah meningkat hampir 83 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas iaitu dari 20,810 kes pada 2009 kepada 38,142 pada 2019 dan jumlah kematian tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian industri pada tahun 2020.

Katanya, kajian sosial Perkeso menunjukkan bahawa lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak 5km dari destinasi ke tempat kerja dan 65 peratus kemalangan dalam perjalanan melibatkan orang muda berusia di bawah 40 tahun, dengan 80 peratus daripadanya adalah lelaki.

“Sebilangan besar kemalangan berlaku akibat keletihan dan kerana bergegas hendak ke destinasi tepat pada waktunya. Setiap tahun, lebih RM1 bilion pampasan dibayar untuk kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun, kesan kemalangan semakin mendalam. Melampaui aspek wang pampasan, ia mencetuskan kesan psikologi dan sosial dalam kalangan keluarga dan masyarakat di negara ini, “ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapan alu-aluannya berkata dalam usaha memperkukuhkan perlindungan keselamatan sosial kepada individu yang bekerja sendiri termasuk pekerja sampingan yang berdepan penularan wabak Covid-19, Perkeso merangka tiga program bersesuaian bagi individu yang bekerja sendiri sebagai perlindungan sosial di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi negara.

Inisiatif di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 itu adalah PenjanaGig, SPS Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

“Program-program ini memberi perlindungan kepada individu berinsurans bekerja sendiri daripada kecederaan pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti berkaitan pekerjaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin dibuka Ahad ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Permohonan rebat RM20 bagi perjalanan pergi dan balik atau RM10 sehala menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ke 34 pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor dibuka mulai Ahad ini.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata permohonan rebat yang sah bagi perjalanan mulai 1 Julai hingga 30 September itu boleh dibuat melalui laman sesawang, www.platselangor.com.

“Orang ramai boleh berhubung melalui emel [email protected] untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MBI berkata inisiatif itu yang sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya bakal memberi manfaat kepada individu berumur 50 tahun ke atas yang mempunyai aplikasi Grab.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat RM20 kepada pengguna perkhidmatan e-panggilan untuk ke PPV bermula 1 Julai ini.

Inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bakal memanfaatkan hampir 50,000 individu di negeri ini.

Beliau mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Daftar rebat pengangkutan ke pusat vaksin bermula 20 Jun

SHAH ALAM, 14 JUN: Pendaftaran rebat RM20 untuk menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Platform Selangor (PLATS) akan bermula 20 Jun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjelaskan keutamaan diberikan kepada warga negeri ini yang berusia 50 tahun ke atas.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menjangkakan 50,000 individu menerima salah satu inisiatif daripada Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari minggu lalu.

“Terdapat 34 PPV yang kita kenal pasti di Selangor dan kita akan bagi rebat tambang di mana RM10 untuk pergi dan RM10 untuk pulang. Ini adalah usaha mengalakkan rakyat mengambil vaksin.

“Jadi tiada alasan tidak ada kenderaan, tiada duit kerana kita beri untuk galak lebih ramai menerima vaksin,” katanya selepas majlis penyerahan kerusi roda di Seksyen 13 di sini.

Beliau berkata MBI turut meminta bantuan pusat khidmat masyarakat, ahli majlis dan ketua kampung bagi melancarkan proses pendaftaran rebat tersebut.

“Kita sasar sehari 1,000 pengeluaran rebat ini sehingga selesai 50,000 dan jika ada keperluan untuk menambah kita akan usahakannya,” kata Ahmad Azri.

Beliau menambah MBI membuka peluang kepada individu berusia 50 tahun ke bawah turut sama menikmati rebat berkenaan dan perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat pengangkutan awam perlu pohon surat benar operasi

PUTRAJAYA, 13 JUN: Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-panggilan hanya perlu mengemukakan surat Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai bukti kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini.

MOT dalam kenyataan hari ini berkata pemandu teksi boleh mendapatkan surat kebenaran beroperasi daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my. manakala pemandu e-panggilan pula boleh mendapatkan salinan surat kebenaran MOT yang telah diberikan kepada syarikat operasi e-panggilan masing-masing.

Sebelum ini, MOT dilaporkan berkata Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di sekatan jalan raya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-panggilan, dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini dengan mengikuti prosedur operasi standard ketat.

MOT berkata setiap perkhidmatan teksi dan e-panggilan dihadkan kepada kapasiti dua orang sahaja iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang.

Bagaimanapun bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital yang disertakan surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera, atau bagi tujuan kecemasan, tiga orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-panggilan pada satu-satu masa.

Sekatan pergerakan penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijadualkan tamat pada 14 Jun ini bersambung selama dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes baharu harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita hamil tawar khidmat ke pusat pemberian vaksin

CYBERJAYA, 7 JUN: Melihat tambang perkhidmatan e-panggilan mencecah RM50 bagi perjalanan dua hala Cyberjaya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, mendorong seorang ibu hamil untuk menawarkan khidmat pemanduan secara percuma bagi mereka yang terkesan untuk ke menghadiri janji temu vaksin.

Hanya mahu dikenali sebagai Rabiatul, ibu hamil enam bulan itu mempromosikan khidmat kerja amalnya menerusi laman Facebook komuniti ‘Cyberjaya Residents’ bermula akhir bulan lepas dengan keutamaan kepada mereka yang tiada kenderaan dan kesempitan wang seperti pelajar dan ibu tunggal di sekitar Cyberjaya untuk dihantar ke PPV UKM dan membawa mereka pulang.

“Saya telah membawa seorang ibu tunggal pada 1 Jun lepas dan tunggu di PPV sehingga dia selesai proses vaksinasi. Rasa puas apabila dapat menolong orang lain yang memerlukan,” kata Rabiatul turut memberitahu telah dihubungi oleh beberapa individu untuk mendapatkan khidmatnya.

“Saya bergerak dengan kebenaran polis setiap kali kerana perlu merentas daerah dari sini (Cyberjaya). Bagi penumpang, mereka hanya perlu menunjukkan tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera di sekatan jalan raya (SJR),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata PPV UKM dipilih kerana ia agak berdekatan dengan Cyberjaya selain tidak mengambil masa yang lama bagi urusan perjalanan dengan mengambil kira situasinya dirinya yang hamil itu.

Rabiatul berkata pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) amat dititikberatkan contohnya penumpang perlu duduk di tempat duduk belakang.

Tertarik dengan inisiatif Rabiatul yang diketahui melalui ‘Cyberjaya Residents’, Pengarah Urusan Gilmore House Theraphy Nazree Hisyam Md Nasir menuruti langkah yang sama dengan menjalinkan kerjasama dengan Klinik Mediviron Pelangi Semenyih bagi menempah perkhidmatan Grab dua hala untuk mereka yang perlu ke PPV.

“Saya mendapat makluman daripada rakan yang bertugas di PPV mengenai ketidakhadiran penerima vaksin yang secara tidak langsung menyumbang kepada pembaziran vaksin. Jadi usaha kami diharap dapat membantu mempercepat proses vaksinasi COVID-19,” katanya.

Menurutnya, khidmat tersebut diutamakan bagi warga emas dan juga mana-mana individu yang perlu hadir janji temu vaksinasi namun menghadapi kesukaran pergerakan.

“Alamat PPV adalah terbuka dan tidak terhad kepada satu PPV sahaja namun dengan syarat urusan pengambilan dan penghantaran penumpang adalah di Cyberjaya sahaja,” katanya.

Nazree Hisyam berkata sebanyak 50 slot tempahan perkhidmatan Grab diperuntukkan sebagai permulaan dan akan ditambah mengikut keperluan warga Cyberjaya.

“Permohonan boleh dibuat menerusi mesej di Facebook Gilmore Kids Theraphy tiga hari sebelum tarikh vaksinasi dengan tangkap layar janji temu MySejahtera disertakan bagi memudahkan pihak kami membuat urusan tempahan,” katanya dengan harapan inisiatif itu memberi inspirasi kepada pihak lain untuk membantu mereka yang memerlukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Program bantuan makanan diperluas santuni pekerja e-panggilan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Program Bingkisan Mesra bakal diperluaskan kepada pekerja e-panggilan menerusi bantuan makanan berbuka puasa.

EXCO kesejahteraan bandar berkata perancangan itu sedang dirangka termasuk jumlah individu yang mendapat manfaatnya.

“Mereka (pekerja e-panggilan) berurusan hantar makanan kepada orang awam namun kadang kala kita tidak nampak keperluan mereka. Jadi kita akan bantu mereka,” kata Rodziah Ismail.

Rodziah Ismail (kanan) melawat salah sebuah gerai selepas merasmikan tapak jualan raya KUBIGS di pusat membeli-belah Subang Parade, Subang Jaya pada 18 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas merasmikan gerai jualan Koperasi Usahawan Groom Big Selangor Berhad di Subang Parade semalam.

Menurutnya Kerajaan Selangor turut merancang membantu pekerja sektor ini berhubung isu keselamatan serta kebajikan memandangkan mereka terdedah bahaya.

“Statistik menunjukkan satu daripada lima pekerja ini berisiko kemalangan. Jadi, kita ambil serius perkara ini.

“Semua harus ‘buka mata’, bukan hanya setakat beri lesen sahaja. Mungkin kita akan kecilkan kawasan operasi penghantaran supaya kebajikan terjaga,” katanya.

Februari lalu, Kerajaan Negeri menubuhkan anak syarikat, Bingkisan Mesra Sdn Bhd (Bingkisan Mesra) khusus untuk menyalurkan bantuan kepada warga bandar yang terkesan wabak, bencana dan miskin dengan peruntukkan berjumlah RM2.35 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seldec perluas operasi, sasar 1,200 penghantar barangan

SHAH ALAM, 15 DIS: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bakal memperluas perkhidmatan e-panggilan ke seluruh Lembah Klang bermula tahun depan.

Berikutan itu, pengarah projeknya berkata syarikat tersebut memerlukan seramai 1,200 pemandu dan penunggang motosikal untuk menghantar pesanan.

Md Fauzan Elham memaklumkan ketika ini Seldec hanya memiliki 50 penghantar barangan berdaftar meliputi 36 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Rawang.

“Kita bakal meluaskan perkhidmatan ke Cyberjaya, Bangi, Kajang serta daerah lain sekitar Lembah Klang, justeru kita bercadang menambah bilangan penghantar barangan secara berperingkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Inisiatif RiDE di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Pada 13 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Seldec akan digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor bantu golongan muda ceburi niaga e-panggilan

SHAH ALAM, 14 DIS: Kerajaan Negeri bersedia memberi bantuan modal dan bimbingan kepada belia yang mahu membuka perniagaan e-panggilan.

EXCO pembangunan generasi muda berkata pihaknya menerima banyak pertanyaan dalam kalangan golongan tersebut yang minat menceburi sektor ekonomi sampingan.

“Mungkin ada kumpulan belia yang minat memulakan perniagaan, mereka boleh berpakat serta sediakan kertas cadangan, kemudian kita akan pertimbangan.

“Perkhidmatan e-panggilan dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa semakin berkembang, jadi orang muda wajar merebut peluang ini,” katanya.

Mohd Khairuddin Othman ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Inisiatif RiDE kepada 100 peserta di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Pada 13 Oktober Dato’ Menteri Besar menggalakkan anak muda berdikari menjana pendapatan dalam ekonomi sampingan yang semakin berkembang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk sejumlah RM17.5 juta bagi menjayakan inisiatif WiFi dan Data Internet Selangor bagi menyokong ekonomi sampingan dan perniagaan dalam talian.