Categories
PBT SELANGOR

MBSJ sedia 16 lokasi, lulus permohonan 764 peniaga bazar Ramadan

PUCHONG, 8 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meluluskan permohonan 764 peniaga bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata sebanyak 16 lokasi bazar Ramadan disediakan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

“Berlaku peningkatan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu dengan hanya sembilan lokasi bazar membabitkan 421 peniaga.

“Alhamdulillah tahun ini kita menerima permintaan yang tinggi dan semua bazar ini juga diuruskan sepenuhnya MBSJ tanpa melantik mana-mana badan penganjur atau pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Johary berkata karnival itu dianjurkan sehingga Khamis ini bertujuan memberi taklimat kepada peniaga bazar berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) termasuk pendedahan urus niaga tanpa tunai.

“Pelbagai pengisian diadakan sepanjang tiga hari antaranya cara kendalian makanan terbaik dan efektif, amalan kitar semula serta cara mengurus sisa pepejal,” katanya.

Menurutnya, pengurusan bazar Ramadan MBSJ tahun ini turut mendapat kerjasama lebih 10 rakan penaja antaranya syarikat Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Maybank Berhad.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran ribut petir, hujan di Selangor dan negeri lain hingga 5 petang

SHAH ALAM, 8 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga jam 5 petang ini.

Agensi menerusi Twitter memaklumkan daerah terbabit di negeri ini adalah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Sepang.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan hampir semua kawasan dijangka mengalami cuaca berkaitan.

Manakala beberapa kawasan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak turut diramal berdepan situasi serupa.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,215 mangsa banjir di Selangor dipindah ke sembilan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini setakat 11 pagi tadi.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan 93 orang berbanding sebelumnya, 1,122 mangsa yang menduduki pusat berkaitan.

Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan mereka adalah terdiri daripada 298 keluarga.

“Alhamdulillah di kebanyakan kawasan terutama di Puchong, banjir telah surut awal pagi ini (tadi),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kawasan terjejas banjir di Selangor meningkat kepada 28

SHAH ALAM, 8 MAC: Kawasan terjejas banjir di Selangor hari ini meningkat 28 berbanding 26 semalam setakat 8 pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan semua kawasan itu melibatkan lima daerah iaitu Gombak, Petaling dan Kuala Selangor kekal dengan bilangan sama manakala Hulu Langat dan Sepang masing-masing bertambah satu.

Berdasarkan perkongsian di Facebook lokasi terbaharu di Hulu Langat ialah Jalan Paya Lebar Batu 23, Sungai Lui dan Sepang pula Taman Delima.

Senarai kawasan terjejas mengikut daerah seperti berikut:

– Gombak
1. Taman Rahmat Jaya
2. Kampung Melayu Sri Kundang Batu Arang
3. sekitar kawasan pusat kusta
4. kawasan perindustrian SB Jaya
5. sekitar Kampung Melayu Sri Kundang

– Hulu Langat
1. Kampung Rinching Hulu, Semenyih
2. Kampung Sungai Lui Batu 20-23
3. Taman Lestari, Seri Kembangan
4. Kampung Batu 17, Dusun Tua
5. Desa Mahkota Sungai Kembung Hilir
6. Kampung Orang Asli Paya Lebar
7. Kampung Sungai Kantan
8. Kampung Desa Mahkota, Beranang
9. Kampung Bangi Lama
10. Jalam Paya Lebar Batu 23, Sungai Lui

– Petaling
1. Jalan 2/1 dan Jalan Bandar Baru Sungai Buloh
2. Taman Kinrara
3. Kinrara Court
4. Taman Buana
5. USJ 1, Subang Jaya
6. Kampung Sri Puchong

– Kuala Selangor
1. Kampung Merbau Indah
2. Kampung Sri Sentosa
3. Kampung Sri Aman

– Sepang
1. Taman Murni Jenderam Hilir
2. Jalan Tok Dagang, Kampung Sungai Merab
3. Kampung Orang Asli Batu 28, Jenderam Hilir
4. Taman Delima

Setakat 8 pagi tadi, seramai 1,122 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara di negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 mangsa banjir dipindah ke sembilan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 1,122 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini setakat jam 8 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan jumlah itu terdiri daripada 263 keluarga.

“Agensi pengurusan bencana terus memantau keadaan dan akan membantu proses pemindahan mangsa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENDA NASIONAL

29 lokasi di ibu kota dinaiki air, alami banjir kilat

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebanyak 29 kawasan sekitar ibu kota dinaiki air berikutan hujan lebat petang semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata bagaimanapun banjir di 25 lokasi surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit manakala empat lagi dianggar satu hingga tiga jam, lapor Harian Metro.

“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) juga dibuka masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswati yang membabitkan 560 orang daripada 145 keluarga.

“Di Dewan Sultan Sulaiman pula, ia membabitkan mangsa banjir di Kampung Periuk, seramai 128 orang,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang memantau tiga insiden tanah runtuh dilapor masing-masing di Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama; Seksyen 6, Wangsa Maju dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan dengan kerja susulan akan dilakukan dalam kadar segera.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Skim air percuma Selangor masih dibuka, pengguna digalak memohon

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyeru orang ramai memohon Skim Air Darul Ehsan bagi menikmati air percuma jika belum berbuat demikian.

Agensi berkata pendaftaran untuk skim air percuma sebanyak 20 meter padu itu masih terbuka kepada penduduk negeri ini yang layak.

“Pastikan anda memenuhi terma dan syarat ditetapkan. Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan terbuka sehingga 31 Disember 2024,” katanya di Facebook.

Maklumat lanjut boleh layari https://www.airselangor.com/residen…/skim-air-darul-ehsan/

Antara syarat kelayakan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Selangor dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.

Premis kediaman pula mestilah jenis meter individu dan pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan untuk rakyat Malaysia di Ukraine, kes menyamar polis tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine dan peningkatan kes individu menyamar sebagai anggota polis antara isu yang akan dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas susulan krisis Ukraine-Rusia itu akan diajukan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) kepada Menteri Luar semasa Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut tersenarai, soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai penyediaan rumah mampu milik bagi golongan muda serta sambutan kumpulan itu terhadap projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri berhubung usaha kerajaan menangani peningkatan kes orang awam menyamar sebagai anggota polis bagi memastikan maruah dan imej polis terbela.

Soal perancangan KPKT untuk mengurangkan penggunaan tapak pembuangan sisa pepejal terbuka dan meminimum impak negatif terhadap alam sekitar akan dibangkitkan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada menteri berkenaan.

Isu berkaitan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak termasuk perlindungan kesan sampingan bagi golongan itu akan diajukan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Kesihatan.

Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Enam daerah di Selangor diramal ribut petir, hujan hingga 10 pagi

SHAH ALAM, 8 MAC: Enam daerah di negeri ini dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 10 pagi ini.

Menerusi Twitter Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan enam daerah berkenaan ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Keadaan sama juga diramal berlaku di hampir semua kawasan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Labuan.

Manakala di Kedah meliputi Langkawi, Perak (Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak); Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu (Besut dan Setiu), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Johor (Tangkak).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut jabatan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi awal PRN Johor bermula 8 pagi

JOHOR BAHRU, 8 MAC: Sebanyak 63 pusat mengundi bersiap sedia dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang bermula 8 pagi, hari ini.

Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.

Kemudahan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di Jalan Tebrau di sini dan 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.

Anggota tentera akan mengundi di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalio Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.

Sementara itu, anggota PGA dan pasangan masing-masing akan mengundi di Batalion ke-5, pasukan PGA di Simpang Renggam, Kluang dan Batalion ke-6 PGA di Bakri, Muar.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini.

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

300 mangsa banjir Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 300 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Ahli Dewan Negerinya Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata jumlah itu membabitkan penduduk di kawasan PJS 1, PJS 2C/10 dan PJS 3.

“Jumlah yang terjejas mungkin ramai tetapi tiada angka rasmi diperoleh setakat ini kerana kebiasaannya banjir di Taman Medan cepat surut.

“Semua mangsa kini ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan kepada mangsa banjir di PPS.

“Sumbangan makanan masak disediakan dan diagihkan kepada 300 mangsa,” katanya.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam.

Antara kawasan terjejas di negeri ini ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

26 kawasan dalam lima daerah di Selangor terjejas banjir

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak 26 kawasan dalam lima daerah di negeri ini dilapor terjejas akibat banjir setakat 9 malam tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan daerah yang terlibat ialah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang.

Berdasarkan perkongsian di Facebook lima kawasan yang terjejas di Gombak ialah Taman Rahmat Jaya, Kampung Melayu Sri Kundang Batu Arang, sekitar pusat kusta, kawasan perindustrian SB Jaya dan sekitar Kampung Melayu Sri Kundang.

Di Hulu Langat pula meliputi sembilan lokasi iaitu Kampung Rinching Hulu, Kampung Sungai Lui, Taman Lestari, Kampung Batu 17, Desa Mahkota Sungai Kembung Hilir, Kampung Orang Asli Paya Lebar, Kampung Sungai Kantan, Kampung Desa Mahkota dan Kampung Bangi Lama.

Manakala enam kawasan di Petaling pula Jalan 2/1 dan Jalan 2/2 Bandar Baru Sungai Buloh, Taman Kinrara, Kinrara Court, Taman Buana, USJ 1 dan Kampung Sri Puchong.

Nadma juga memaklumkan tiga kawasan terjejas di Kuala Selangor ialah Kampung Merbau Indah, Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman.

Manakala tiga kawasan di Sepang pula Taman Murni, Jalan Tok Dagang dan KOA Batu 28.