Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Mahkota Johor doakan rakyat Selangor, sedia hantar lebih banyak bantuan

SHAH ALAM, 21 DIS: Bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor yang bertindak menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit.

Bantuan makanan dan barangan keperluan bayi seperti susu dan lampin pakai buang disalurkan melalui Sukarelawan Selatan kepada mangsa banjir di Hulu Langat semalam.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, lebih banyak lagi bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat.

“Saya berdoa semoga Allah berkati dan kurniakan kekuatan kepada Dato’ (Dato’ Menteri Besar) dan seluruh rakyat Selangor.

“Jikalau perlu apa-apa beritahu saya. Insya-Allah saya akan bantu. Esok lusa saya akan hanta lebih bantuan,” titah baginda melalui Twitter.

Terdahulu baginda membalas Twitter Dato’ Seri Amiruddin Shari yang menjunjung kasih atas bantuan yang disalurkan tersebut.

“Menjunjung kasih DYAM Tunku@HRHJohor atas bantuan dan sokongan. Keprihatinan Tunku amat patik hargai,” kata Amirudin.

Categories
AGENDA NASIONAL

LRA Semenyih 2: Semua 70 kawasan terjejas sudah terima bekalan air bersih

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesemua 70 kawasan di Hulu Langat yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 telah menerima bekalan air bersih.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata setakat pukul 9 malam ini, operasi LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2 telah dimulakan sepenuhnya dengan bekalan air dijangka pulih pada pukul 11 malam, 22 Disember.

“Bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kata kenyataan itu, para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang telah pulih menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” katanya.

Tambahnya Air Selangor perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan kakitangan terutamanya melibatkan arus elektrik.

“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Bantuan RM600 untuk keluarga fakir, bukan asnaf terjejas banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan RM600 kepada setiap ketua keluarga fakir miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di Selangor melibatkan peruntukan zakat RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M. Yusop berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah untuk menyelaras bantuan bagi meringankan beban mangsa terlibat.

Tambahnya sebanyak RM250,000 lagi diperuntuk bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah-daerah.

“Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Saipolyazan LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari untuk diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah sepanjang tempoh lima hari.

“Semalam 5,000 pek pertama telah dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat.

“Bagi mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntuk untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama Saipolyazan memaklumkan, LZS akan menyalurkan beberapa bentuk sumbangan pasca banjir bagi membantu mangsa banjir terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi.

“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.

“LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid serta surau yang mengalami kerosakan akibat banjir,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas sempat selamatkan diri sebelum rumah pusaka dihanyut banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Seorang warga emas sempat menyelamatkan diri sebelum rumah pusaka yang didiaminya hanyut dibawa arus deras dalam kejadian banjir di Batu 18 Kampung Jawa, Hulu Langat kelmarin.

Rumah pusaka yang dibina pada 1969 peninggalan ibu bapa kepada lapan beradik itu menjadi tempat berteduh kakak sulung keluarga itu Ruhana Mahfuz, 75.

Adiknya Rodiah, 56, berkata kakaknya tinggal seorang diri dan ketika air mula naik dia sempat membuat persiapan dengan mengalihkan barangan penting ke tempat lebih tinggi, lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun dia berkata, mereka terkejut apabila dimaklumkan rumah pusaka itu dihanyutkan banjir.

“Hanya tangga sahaja yang tinggal. Barangan dalam rumah memang tak sempat diselamatkan termasuk dokumen penting seperti kad pengenalan.

“Apa pun kami adik-adik bersyukur kerana Kak Long selamat,” katanya.

Menurutnya, menjelang tengah malam paras air semakin naik dengan mendadak dan penduduk kampung menasihati Rohana supaya segera berpindah ke tempat selamat.

“Apabila air naik Kak Long (Ruhana) alihkan kereta ke kawasan lebih tinggi sedikit, kemudian dia sempat pindahkan barang-barang rumah ke tempat lebih selamat.

“Kemudian Kak Long tengok paras air sudah mencecah di kawasan keretanya diparkir. Ketika mahu alihkan lagi kereta ada penduduk datang nasihatkan supaya terus berpindah kerana air naik dengan cepat,” katanya.

Rumah pusaka yang didiami Ruhana Mahfuz di Batu 18 Kampung Jawa, Hulu Langat sebelum dihanyut banjir pada 18 Disember 2021. Foto Facebook Angkatan Belia Islam Malaysia

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyanyi Yantzen panjat bumbung, rumah di Hulu Langat dinaiki air

SHAH ALAM, 20 DIS: Penyanyi Yantzen melalui pengalaman mendebarkan termasuk terpaksa memanjat bumbung setelah rumahnya di Hulu Langat dinaiki air secara mendesak kelmarin.

Dia yang tinggal bersendirian di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat menceritakan air naik terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan harta benda, lapor Berita Harian.

“Saya hanya sempat mencapai satu beg pakaian. Saya terpaksa panjat bumbung rumah untuk menyelamatkan diri.

“Saya dan penduduk lain semalaman berlindung atas bumbung dalam hujan dan kesejukan sementara menunggu bantuan sampai keesokannya,” katanya.

Dia kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (SKSS), Hulu Langat.

Kata penyanyi lagu Insan itu, barangan seperti peti sejuk, tilam dan perabot semuanya habis tunggang terbalik.

“Kereta dengan dua motosikal termasuk milik teman saya tenggelam,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CAC Seksyen 19 Shah Alam, Jenjarom ditutup sementara akibat banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Dua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditutup sementara hari ini (Isnin) berikutan banjir yang melanda negeri ini sejak kelmarin.

Lokasi yang terpaksa ditutup ialah CAC di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam dan CAC di Klinik Kesihatan Jenjarom, Kuala Langat, kata Kementerian Kesihatan.

Berikutan itu kementerian memindahkan lokasi perkhidmatan tersebut ke Klinik Kesihatan Puchong, Batu 14  dan Klinik Kesihatan Taman Medan serta Klinik Kesihatan Telok Datuk, Banting.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan membuat pemakluman status terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam Facebook.

Kelmarin Kesihatan Daerah Petaling dalam kenyataan berkata berikutan Klinik Kesihatan Seksyen 19 Shah Alam ditutup kerana banjir, semua urusan berkaitan CAC seperti pemotongan gelang dan surat pelepasan kes positif Covid19 dipindahkan ke Klinik Kesihatan Taman Medan serta-merta bermula semalam.

Katanya masa operasi CAC Klinik Kesihatan Taman Medan ialah  dari pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Categories
AGENDA NASIONAL

Tentera gerak aset bawa keluar mangsa terperangkap, agih makanan

SHAH ALAM, 19 DIS: Tentera Darat Malaysia (TDM) dari pelbagai unit melaksanakan operasi menyelamat orang awam yang terperangkap di kediaman masing-masing serta beberapa premis lain di sekitar bandar raya ini.

Kementerian Pertahanan berkata operasi  melibatkan beberapa unit Divisyen Keempat Infantri itu disertai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Walaupun menghadapi kesukaran ekoran laluan bot penyelamat terganggu akibat dari objek-objek yang tenggelam, kerja-kerja pemindahan tetap berjalan dengan lancar,” kata kementerian di Facebook hari ini.

Katanya selain memindahkan mangsa, anggota ATM dan Bomba turut membuat pengagihan makanan kepada mangsa yang masih terperangkap sementara menunggu dipindahkan.

Dalam pada itu kata kenyataan itu anggota dan aset dari 11 Briged turut berada di sekitar kawasan Taman Mutiara, Dengkil, Sepang sejak semalam bagi membawa keluar mangsa banjir yang terkandas.

Bantuan banjir itu turut melibatkan polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Sepang selain penduduk setempat membantu pemindahan mangsa-mangsa banjir dan barangan penting ke kawasan selamat.
Seorang anggota tentera sanggup meredah banjir setinggi paras dada bagi menyelamatkan mangsa di Dengkil, Sepang pada 19 Disember 2021. Foto Facebook
Kementerian Pertahanan Malaysia
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Tambahan 12 bot Pasukan Gerakan Am, NGO dikerah ke Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 19 DIS: Usaha bagi menyelamat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini dipertingkatkan.

Terkini Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, tambahan sebanyak 12 bot dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah digerakkan ke lokasi tersebut.

Beliau memaklumkan perkara tersebut melalui Twitternya malam ini.

Sebelum ini laporan menyebut Kerajaan Negeri mengerahkan segala aset seperti bot bagi membantu proses membawa keluar mangsa banjir di Taman Sri Muda yang kritikal pada masa ini.

Dato’ Menteri Besar berkata anggota tentera turut telah ditambah bagi membantu usaha tersebut.

Laporan Bernama menyebut sebahagian penduduk di Taman Sri Muda terpaksa mencari perlindungan di bumbung kediaman mereka setelah ditenggelami air susulan hujan lebat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Loji rawatan Semenyih 2 dihenti tugas, air melimpah ke rumah pam

SHAH ALAM, 19 DIS: Satu lagi loji rawatan air terpaksa dihenti tugas iaitu LRA Semenyih 2 berikutan peningkatan paras air masuk ke rumah pam air mentah.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. (Air Selangor) berkata berikutan itu, sebanyak 70 lagi kawasan di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Jelasnya para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

“Jangkaan untuk LRA Semenyih 2 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” katanya dalam Facebook hari ini.

Katanya, Air Selangor menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan  terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Terdahulu sebanyak 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan peningkatan paras sungai yang menyebabkan banjir.

Air Selangor berkata keadaan itu menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 manakala LRA Sungai Langat hanya menjana 40 peratus bekalan daripada pengeluaran harian.

“Bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.

“Di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa dihenti tugas berikutan banjir” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bilangan tentera ditambah, aset negeri dikerah bantu penduduk Taman Sri Muda

SHAH ALAM 19 DIS: Kerajaan Negeri mengerahkan segala aset seperti bot bagi membantu proses membawa keluar mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 yang kritikal pada masa ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya difahamkan anggota tentera turut telah ditambah bagi membantu usaha tersebut.

“Saya mengambil maklum keadaan kritikal di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam. Segala aset yang sesuai seperti bot telah dikerah untuk membantu proses ‘evacuation’ mangsa banjir,” katanya dalam Twitter hari ini.

Laporan Bernama menyebut sebahagian penduduk di Taman Sri Muda terpaksa mencari perlindungan dengan memanjat bumbung kediaman mereka yang dinaiki air susulan hujan lebat.

Terdahulu Amirudin berkata lapan bot gelembung digunakan untuk membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar kawasan Taman Sri Muda.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan kemudahan itu perlu berikutan petugas Majlis Bandaraya Shah Alam dan sukarelawan sukar memasuki kawasan terbabit.

Setakat pagi tadi, seramai 300 penduduk Taman Sri Muda yang terkandas akibat banjir luar biasa diselamatkan dan ditempatkan ke pusat pemindahan sementara.

Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan bantuan bot persendirian dari individu dan orang awam bagi meningkatkan aset dengan menghubungi 03-5510 5811.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong cemar duli tinjau banjir di ibu kota

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Yang di-Pertuan Agong malam tadi berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota susulan hujan lebat yang melanda sejak 24 jam lalu.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menuruni kenderaan baginda di jalan susur menghala Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam keadaan hujan dan meredah air bagi melihat sendiri situasi banjir di sekitar kawasan tersebut.

“Keberangkatan Seri Paduka bercemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira tempat, masa dan cuaca,” kata Istana Negara dalam Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air empangan dilepaskan, polis siap sedia sebarang kemungkinan

SHAH ALAM, 19 DIS: Polis Daerah Ampang Jaya siap sedia hadapi apa sahaja  kemungkinan ekoran pelepasan air dari Empangan Klang Gate, Hulu Klang yang dilaporkan melebihi tahap bahaya, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata, kekuatan pasukan membabitkan lima pegawai dan 32 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Balai Polis Melawati, Balai Polis Hulu Klang dan Balai Polis Ampang.

“Semuanya akan terbabit menangani sebarang kemungkinan terutama di Taman Melawati dan kawasan berhampiran,” katanya.

Setakat ini dilaporkan 25 peratus dari jumlah keseluruhan air dalam empangan berkenaan sudah dilepaskan secara berperingkat

Mohamad Farouk berkata proses pertama pelepasan air dilakukan pada pukul 11.50 malam tadi.

Beliau berkata pelepasan air empangan dilaksanakan dengan berhati-hati mengikut prosedur.

Jelasnya, semua pegawai dan anggota akan dikerahkan untuk membantu orang ramai.

“Nyawa dan keselamatan diri serta keluarga anda menjadi keutamaan kami berbanding dokumen penting dan harta benda yang mungkin rosak akibat bencana,” jelasnya.