Categories
BUDAYA RENCANA

Untuk serasi, kau tak perlukan wajah yang molek

Oleh Anas Mohd

 Adik kiranya langkah bendul jika perkahwinan itu dilangsungkan. Cuma yang buat ibu risau bilamana adik dijangkiti kudis tanah, dan setakat ini tiada satu pun ubat yang dapat menyembuhkannya. Berbanding saya yang bermulut manis, sesakit adik pun masih ada orang yang mahu memperisterikannya.

Kepercayaan pagan anutan keluarga menemukan kami dengan seorang dukun kerepot. Dikhabarkan bahawa jangka hayat adik tinggal sebulan tiga belas hari sebelum bintik kudis menyelimuti penuh tubuhnya lalu meletupkan kepalanya hingga bersepai. Kata si dukun lagi, hanya ada tiga atau empat kaedah sahaja untuk menyembuhkan penyakit tersebut. Mendengarkan itu, ibu menepuk meja seolah-olah dia majikan yang perengus. Ibu mendesak si dukun agar terus mencadangkan penyelesaian terpantas. Perkahwinan adik tidak boleh bertangguh. Kad jemputan sudah pun terbang sejauh Sungai Golok.

Tentulah pilihan pantas selalunya berbahaya dengan kadar kejayaan yang tipis. Aneh sekali, caranya pula terdengar senang, yakni masuk ke hutan belakang rumah dan meminta penawar dari wanita berwajah polos. Terlalu mudah, seperti mengopek kacang tanah, kata ibu.

Sabar, ujar si dukun, bukan aku yang akan pergi bertemu si polos. Ia hanya mujarab jika ahli keluarga pesakit sendiri yang pergi mendapatkannya. Ketika itu semua pandangan ahli keluarga terarah kepada saya. Ibu membisikkan sesuatu ke telinga si dukun. Saya amat yakin ibu sedang melobi supaya saya yang diarahkan pergi. Sebenarnya tanpa usaha melobi sekalipun saya tetap tahu bahawa sayalah orang paling sesuai untuk berhadapan dengan si polos.

Tentang wanita berwajah polos, ia semacam legenda urban bagi orang luar. Namun di daerah ini, semua orang tahu dia benar-benar wujud. Wanita itu menggemari orang bujang dan membenci bau perkahwinan, dan ia jadi sebab kenapa saya yang dipertanggungjawabkan.

Bagi keluarga, memelihara seorang bujang terlajak adalah satu penghinaan. Entah kenapa saya satu-satunya yang masih membujang sampai sekarang. Desas-desus mengatakan saya kuat cemburulah, hati tisulah, sebab itulah jodoh susah nak melekat; semuanya sekadar omongan. Padahal isunya remeh: saya belum bertemu calon serasi yang punya saiz baju dan kasut yang sepadan, atau paling teruk, seseorang dengan kelemahan ketara yang boleh saya eksploit.

Diceritakan bahawa wanita itu dirodok rakus dengan sebatang cangkul karat, wajahnya tertanggal namun jantungnya kekal berdegup, dia tidak bernafas bahkan hidup lebih segar dari biasa. Sedari itu dia mula dikenali sebagai wanita bermuka polos – wajah mendatar tanpa mata, hidung, mulut juga bulu roma.

Wanita itu melarikan diri ke tengah hutan kerana merasakan dirinya bukan lagi manusia. Si polos, sebutan baik-baik demi menjaga hatinya, tapi lain pula cerita dengan pembasmi khurafat serta pemburu paranormal, mereka lebih terbiasa memanggilnya si buruk rupa. Buruk subjektif, ia taklah hodoh, ia cuma punya sebentuk muka tak berwajah yang tidak dihargai oleh sesiapa.

Selain halnya dengan muka yang sebegitu, tersebar juga dari mulut ke mulut bahawa wanita itu pemakan orang. Perihal isu kanibal, ia tidak menggusarkan saya. Ada perkara lain yang lebih saya khuatiri. Kerana mukanya terlalu polos, maka kulitnya tegang dan licin – dan itulah masalah saya, mudah geli-geleman sepertimana gelinya saya menyentuh kulit ular.

Saya masuk ke hutan dengan igauan sedemikian, malah hampir saja terkincit di dalam seluar. Namun ia ketara berlawanan saat saya terserempak dengan si polos sedang mencangkung sambil meratah bangkai tupai. Kepalanya segera mendongak sewaktu menyedari saya berdiri di hadapannya. Wajah polosnya seolah-olah merenungi saya dengan mata terjojol yang binar. Pada mendatar wajahnya, ada comot darah tupai di bahagian yang sepatutnya bermulut. Saya mengangkat kedua-dua tangan dan terus menyatakan hasrat sebenar. Si polos sekadar menjawab (dengan gema suara dari kepalanya): sudah lama aku tidak berteman.

Petang itu saya terpaksa duduk-duduk bersamanya. Dia memulakan perbualan dengan bertanya: mulus tak pipiku? Tekak saya meloya, lebih-lebih lagi apabila dia mahu saya menyentuh pipinya. Saya tak mampu melakukannya lalu cuma mengacah-acah dengan hujung jari sambil menutup mata. Si polos mungkin saja perasan tentang kelakuan yang terang-terangan menggambarkan perasaan saya. Tapi bilamana dia paculkan soalan, kenapa cermat sangat? Soalan itu bikin saya menggigit bibir, itupun lembut-lembut sebab tak mahu bibir sendiri sobek dek luka.

Begini, kata saya kemudian memberanikan diri dalam gigil untuk menyentuh pehanya, takut pipi hang bercalar, dan dia mulalah gelak kecil seperti dibuat-buat, dan tekup tangannya di wajah seolah-olah sedang tersipu malu lalu membalas: pandai kau bercakap, kan.

Ini satu lagi masalah saya. Bermulut manis di bawah sedar. Tabiat ini adakala merugikan, contohnya situasi sekarang. Saya mulai seriau; leher berpeluh dan belakang tubuh serasa berlengas. Aku ini sensitif kau tahu, katanya lembut. Entah kenapa, perkataan ‘sensitif’ tak semena-mena membuatkan saya jadi begitu selesa. Mungkin juga si polos ini sebenarnya tidaklah menakutkan sangat. Dan tabiat bermulut manis, adakala menguntungkan.

Penyakit adikmu tidak perlukan penawar, kata si polos selepas jeda. Dia pasti sembuh. Dukun bedebah itu hanya membuat untung atas kenaifan kalian.

Penjelasan si polos seperti memberikan saya idea untuk berlama-lama dengannya. Lagipun memang inilah tujuannya ibu menghantar saya masuk ke hutan. Mudah-mudahan ibu dan adik-beradik juga terlupa bahawa saya satu-satunya wali yang sah. Itupun jika pernikahan adik akan dilangsungkan mengikut kepercayaan mereka yang lagi satu.

Categories
BUDAYA RENCANA

Antara persimpangan, kami pilih memuliakan sastera

Oleh Haniff Yusoff

I

 APA khabar malammu di sana? Pernah, sungguh-sungguh kami percaya malam di kota kamilah yang paling sentosa. Oh, tenangnya suasana, tidak terungkap dengan puitis kata-kata. Asalnya sama sahaja seperti malam-malam di kota-kota yang lain. Ada rembulan dan bebintang bersuluh cerlang, ada reriang memecah kesunyian malam. Cuma di kota kami ada Sang Penyair. Ya, Sang penyair. Di setiap penjuru, bahasanya mengitar enak, lembut dan membahagiakan.

Suatu malam, antara ketenangan kami mendengar sahabat-sahabat kami berdendang puisi dan angin yang berhembus perlahan, tiba-tiba keriuhan di suatu sudut mengalih pandangan kami. Antara celahan pengunjung, kami menyisip, lalu menghampiri. “Dia mengaku dirinya Sang Penyair!” Seorang melaung suara cuba menjernih keadaan.  Entah mengapa dia membuat pengakuan di sebuah majlis penghargaan.

Kami menjadi keliru seketika. Berada di antara dua titik, antara percaya ataupun tidak. Kami tidak mahu terlalu cepat menghukum, apatah lagi kami masih di dalam kesedihan. Kami memberinya peluang untuk menjelaskan. Mungkin ada huraiannya yang dapat diterima dek logik akal, mahupun dapat diterima melalui pandangan kemanusiaan. Kami cuba berlapang dada.

II

Sebelum kami melelapkan mata, kami yang mendiami kota ini selalunya akan mendengar dendangan puisi oleh Sang Penyair yang kami sayangi melalui pelbagai medium yang kami miliki. Jika tidak mendengar sekalipun, kami akan membaca puisi-puisi karangan Sang Penyair melalui naskhah-naskhah puisinya. Kerana itu, kami (mungkin orang lain juga) menganggap malam-malam di kota kami paling sentosa.

Puisi-puisi Sang Penyair hidup di kota ini — di dinding-dinding bangunan sekolah, di perhentian bas, waima di dalam pasaraya terkemuka di kota kami. Kami begitu menyanjungi Sang Penyair yang merupakan anak kelahiran kota kami. Kami menemukan kalimat yang sepakat iaitu Sang Penyair merupakan manusia yang berhati mulia kerana memartabat segala hal-hal berkaitan persuratan dan kesusasteraan masyarakat.

Kota kami, kota sastera yang dibangunkan dengan inspirasi terhadap Sang Penyair yang begitu kami kagumi. Sistem pendidikan di kota kami mengutamakan sastera dari segenap peringkat. Buku-buku Sang Penyair dijadikan teks bacaan dan kajian utama dalam kelas dan kuliah pada peringkat yang lebih tinggi, malah buku-buku Sang Penyair memenuhi perpustakaan di segenap ceruk kota kami. Sarjana-sarjana di kota kami juga tidak jemu-jemu membicarakan, membedah karya dan meneliti karya-karya Sang Penyair daripada pelbagai perspektif teori kesusasteraan. Sebegitu sekali kami memuliakan sastera di kota kami setelah Sang Penyair yang lahir dari kota kami menjadi tokoh sasterawan yang disegani.

Kerana Sang Penyair, sastera mendominasi kota kami, tidak seperti di kota-kota lain yang lebih mengagungkan kecanggihan sains dan teknologi, juga memenangkan bahasa orang putih berbanding bahasa ibunda yang diwarisi. Kami pula kembali kepada jati diri, malah sastera membawa kami lebih memahami dan menghargai masyarakat dan bangsa kami sendiri.

Dalam kemegahan memakmurkan kota kami dengan sastera, suatu malam kami dikejutkan dengan khabar berita yang tidak disangka-sangka. Perasaan sedih seolah-olah telah mengepung udara di kota kami. Suasana hiba seolah-olah menyelubungi. Ada juga yang terasa seperti mimpi, tidak berjejak di bumi. Pada waktu kami bersungguh memotretkan kesusasteraan di wajah kota kami, kami kehilangan Sang Penyair yang kami sayangi. Kami maklumi, riwayatnya yang dipinjamkan kepada kami sudah sampai ke penghabisannya. Sang Penyair menemui ajal betul-betul di bangku meja yang dikatakan kerap mengilhamkannya menulis puisi.

Kami hadiri majlis pengebumiannya dengan tangisan yang cuba kami pendam. Sesekali terasa hangat di pipi, kami usap perlahan dengan jemari. Warga kota mengunjungi kediaman Sang Penyair sebagai penghormatan terakhir.

“Kita harus tulus melepaskannya pergi, karya-karyanya akan tetap mewangi,” begitu penghulu menutur kata-kata memujuk.

Malam-malam selepas kepergiaan Sang Penyair dari dunia nyata, kami menanggung kerinduan yang begitu sarat. Sehinggalah penghulu mencadangkan sebuah malam penghargaan, buat mengenang Sang Penyair.

III

“Ya, saya ialah Sang Penyair, dalam erti kata yang sebenarnya saya ialah roh Sang Penyair. Lihat wajah saya dengan teliti, kalian akan perasan akan wajah saya. Cuma kali ini, kehadiran saya sebagai roh dan wajah saya lebih pucat dan lihatlah kaki saya tidak berjejak tanah.”

Memang benar, setelah diamati dengan dekat, wajahnya saling tidak tumpah seperti Sang Penyair. Ada tahi lalat betul-betul di atas kening sebelah kiri. Sesudah itu, meraunglah kami menyatakan kerinduan yang tidak tertanggung selama ini.

Roh Sang Penyair menaiki pentas, merapati pembesar suara. “Hentikanlah segala tangisan kerana saya. Saya harus berterus-terang menyatakan kebenaran.”

“Katakan saja wahai roh Sang Penyair yang kami hormati. Kami sedia menadah telinga, mendengar butir bicaramu.”

“Sejujurnya, semenjak menjadi almarhum, saya tidak temui ketenangan. Saya begitu menyedari kekhilafan saya yang kononnya menakluk jiwa kalian dengan karangan-karangan saya.” Pertuturan roh Sang Penyair mula bernada sebak.

“Saya sebenarnya bukanlah seorang penyair yang sejati. Dari lubuk hati terdalam, saya mahu memohon maaf kerana telah mengkhianati kesusasteraan dan dunia penulisan.”

Begitulah roh Sang Penyair menuturkan. Kami yang menganjurkan malam penghargaan memperingati Sang Penyair masih bermain teka-teki di dalam minda. Apakah yang cuba roh Sang Penyair perihalkan kepada kami? Sesekali kami berpandangan sesama sendiri.

“Tulisan-tulisan saya sebenarnya bukanlah nukilan saya yang asli. Saya menciplak hasil karangan almarhum datuk saya yang telah lama berpergian dari dunia ini ketika saya masih kecil lagi. Almarhum datuk selalu menulis dalam sebuah buku kecil dan masih tersimpan elok dalam laci almari pusaka. Saya yang menemukannya menjadi terlalu asyik, lalu mengirim puisi-puisinya kepada editor-editor surat khabar dan majalah dengan menulis nama saya sebagai penulisnya. Lebih mendukacitakan, saya membukukan karya-karya ini atas nama saya, Sang Penyair. Lama-lama saya menjadi selesa dipeluk kemasyhuran duniawi.”

Kami yang mendengarnya hanya mampu menggeleng kepala. Perasaan ketika itu sukar diterjemahkan, apatah lagi untuk diungkapkan. Kami begitu maklum, plagiarisme bukanlah amalan yang perlu dibudayakan.

Tetapi, sekurang-kurangnya roh Sang Penyair telah menyatakan kebenaran. Dan kami terfikir, bukankah almarhum datuknya bersusur galur dari kota kami juga?

IV

Apa khabar malammu di sana? Malam di kota kami masih sentosa. Antara persimpangan yang menemukan pelbagai persoalan, kami masih menaruh rasa paling percaya pada jati diri, lalu kami memilih untuk terus memuliakan sastera!

Categories
BUDAYA RENCANA

Nelayan

Langit dilampui matahari
dan tanah berunggun api
ada yang masih basah; kantungku
kerana ia samudera

Ringgit berserak
tak semua terjaring
seperti perawan; malu disunting
yang terpukat
bukan seluruhnya memikat.

Senyum anak-anak menjelma
dalam kocakan air masin
ombak berkeriting
sebagai renda kerudung isteri
ribut saling bertengkar
menjerat aku dalam sabar
debur-deburan menjadi senandung
mendodoi gusar.

Pulang aku ke darat
untuk mengeringkan saku
dan ia akan basah lagi.

Siti Alimah
Tawau

Categories
BUDAYA RENCANA

Tanjak Jalur Gemilang terlajak laris

SHAH ALAM, 24 OGOS: Tanjak atau tengkolok kini mula mendapat tempat di hati generasi muda dan tidak lagi dilihat sebagai aksesori eksklusif untuk digayakan semasa bersanding atau pakaian kebesaran raja-raja Melayu.

Tanjak kini dipakai pada majlis keraian, malah ada yang memakainya bersiar-siar terutamanya pada hari istimewa seperti hari raya dan Hari Kebangsaan.

Bagi seorang pengarang Tanjak, Mohd Zaim Hakimi Mohamad Zin, 25, beliau berjaya menjual kira-kira 30 tanjak kepada pelanggan yang mahukan tanjak berinspirasikan bendera Malaysia untuk digayakan pada Hari Kebangsaan.

Menurut anak muda yang berasal dari Merbok, Kedah itu, idea menjual tanjak berinspirasikan bendera Malaysia itu tercetus selepas beliau melihat banyak pengeluar tudung mengeluarkan motif yang sama menjelang Hari Kebangsaan.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, saya guna bendera Malaysia untuk dilipat menjadi tanjak tetapi kainnya tidak sesuai, jadi tahun ini saya gunakan kain yang khas yang lebih keras dan mempunyai corak bendera Malaysia dan Alhamdullilah sambutan amat baik, sehingga hari ini sudah kira-kira 30 tanjak bermotif Jalur Gemilang telah dijual,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini.

Mohd Zaim Hakimi berkata, minatnya terhadap aksesori kepala tradisional Melayu itu timbul semasa beliau di bangku sekolah lagi dan ia berkembang semasa beliau menuntut di UiTM.

“Saya juga ada pergi kursus dan belajar dengan pengarang tanjak yang berpengalaman di Perak, Kedah dan Selangor untuk menimba ilmu berkaitan kaedah ikatan dan lipatan tanjak,” katanya.

Tambahnya beliau mula menjual tanjak sejak awal tahun ini selepas menerima banyak tempahan dari rakan-rakan dan sebanyak 1,000 tanjak yang berharga antara RM69 hingga RM300 telah berjaya dijual.

Beliau berkata, generasi muda perlu belajar dan memakai tanjak kerana ia merupakan warisan Melayu yang sesuai untuk digayakan bukan hanya dengan pakaian tradisional malah dengan busana moden.

Seorang lagi pengarang tanjak, Mohd Nur Hadi Zainudin, 34, berkata beliau memilih menggunakan renda bercorak ditempah khas dan tudung bawal bermotif bendera negara sebagai bahan utama penghasilan tanjak.

Mengakui tidak selesa menggunakan Jalur Gemilang untuk menghasilkan tanjak walaupun cara itu lebih mudah, beliau mencari alternatif lain termasuk pernah mencantumkan kain berwarna merah, biru, putih dan kuning.

Bagaimanapun, katanya cara itu ‘agak renyah’, menyebabkan beliau akhirnya beralih menggunakan tudung bawal bermotif Jalur Gemilang selain menempah renda bernilai RM150 bagi 138 meter.

“Saya tidak akan menggunakan bendera sebenar kerana berasa salah apabila perlu memotong bendera bagi mendapatkan bentuk dan corak yang diingini. Ini pendirian saya… lain orang mungkin lain caranya,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di Kampung Pandan, Pekan.

Mohd Nur Hadi berkata beliau menerima 100 tempahan tanjak dengan tema Jalur Gemilang tahun ini daripada beberapa jabatan kerajaan untuk digunakan pada sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau yang belajar mengarang tanjak pada tahun lalu berkata tempahan yang diterima melibatkan tanjak jenis ‘Mahkota Alam’ dan ‘Ayam Patah Kepak’, walaupun berkebolehan menghasilkan hampir 30 jenis tanjak.

“Mengarang tanjak memerlukan kesabaran dan ketelitian. Kira-kira 15 minit diperlukan untuk menyiapkan satu tanjak bergantung kepada material kain dan kerumitan ikatan tanjak yang ditempah,” katanya.

Beliau yang mengusahakan perniagaan tanjak sepenuh masa secara purata menerima 10 tempahan setiap bulan dengan setiap satu dijual pada harga antara RM50 hingga RM120 dan tempahan meningkat ketika musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha selain sempena sambutan Hari Kebangsaan.

— BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

`Nasi Paku’ tinggalan tradisi istimewa

KOTA BHARU, 21 OGOS: Nasi bungkus yang ‘diikat’ dengan paku menyatukan generasi kedua peniaga makanan dan minuman di sebuah kedai makan di sini, untuk meneruskan tradisi yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Kedai Nasi Sumatera Haji Ismail menjadi tempat buat Muhammad Yusuf Ismail, 30, dan rakannya, Foo Chiak Leong, 48, berniaga di bawah satu bumbung sejak kedua-dua orang tua mereka memulakan perniagaan itu pada 2006.

Leong berkata, semuanya bermula pada 1979 ketika ayahnya, Foo Chee Chen, membuka sebuah kedai kopi di Jalan Gajah Mati di sini.

Anak kedua daripada empat beradik yang menyambung warisan perniagaan kedai kopi mendiang bapanya berkata, ketika itu bapanya hanya menjual air minuman sahaja di kedai kopinya manakala ayah Muhammad Yusuf iaitu Ismail Zakaria, 70, pula ketika itu bekerja di sebuah kedai makan berasaskan makanan Sumatera.

“Namun pada 2006, selepas ayah meninggal dunia setahun sebelumnya, saya mula bekerjasama dengan Ismail selepas beliau berhenti kerja dari sebuah restoran dan memulakan kedai makan sendiri.

“Ismail menjual nasi dan lauk-pauk berasaskan masakan dari Sumatera, Indonesia, manakala saya masih meneruskan tradisi mendiang ayah dengan menjual minuman,” katanya ketika ditemui Bernama di kedai yang disewanya di Jalan Tok Hakim selepas berpindah dari Jalan Gajah Mati sejak setahun lepas.

Ditanya mengapa sanggup berniaga di bawah satu bumbung walaupun berlainan bangsa, Leong berkata, makanan halal boleh menarik lebih ramai pelanggan untuk datang makan ke kedai yang diusahakan mereka.

“Selain itu, imej yang ditampilkan Ismail dan anaknya juga menjadi penyebab mengapa saya sanggup berkongsi perniagaan dengan mereka.

“Sepanjang berkongsi kedai sejak kira-kira 13 tahun lepas, saya dan Ismail serta anaknya tidak pernah bertengkar kerana kami saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Yusuf berkata, beliau mengambil alih perniagaan daripada bapanya sejak beberapa tahun lepas setelah Ismail semakin uzur berikutan faktor umur.

Mengakui majoriti pelanggannya adalah berbangsa Tionghua, Muhammad Yusuf berkata, ia tidak menjadi masalah kerana masyarakat Melayu dan India turut mengunjungi kedai makannya.

“Kedai makan ini berkonsepkan ala Sumatera kerana resepinya berasal dari sana dan lauk-pauk masih dihidangkan dalam pinggan kepada pelanggan.

“Antara lauk-pauk yang popular termasuklah ayam kampung goreng, ayam kampung gulai, ikan tenggiri gulai, otak lembu gulai kuning, daging kerutuk dan daging kering yang menggunakan resepi asli berasal dari Sumatera,” katanya.

Menariknya, nasi bungkus di kedai tersebut dicucuk dengan paku sepanjang seinci setengah berbanding menggunakan getah gelang sebagai pengikat bungkusan.

Menceritakan asal-usul nasi yang dibungkus dengan paku itu, Muhammad Yusuf berkata, ia bermula sekitar 70-an ketika Osman Larin yang berasal dari Sumatera merantau ke Kelantan dan membuka kedai makan di sini.

“Ayah dahulu bekerja di kedai makan Osman dan sejak dari awal Osman telah menggunakan paku untuk mengikat nasi bungkus yang dibeli mahupun ditempah pelanggan.

“Walaupun Osman telah meninggal dunia namun bekas pekerjanya termasuk ayah yang berjaya membuka kedai makan masih mengekalkan tradisi membungkus nasi menggunakan paku kerana ikatannya lebih kemas berbanding menggunakan getah gelang,” katanya sambil menambah sekurang-kurangnya dua kilogram paku dibeli setiap dua bulan sekali untuk tujuan itu.

Berikutan itu, kedai makannya turut mendapat jolokan ‘Nasi Paku’ kerana kaedah membungkus makanan yang unik dan jarang ditemui itu.

Muhammad Yusuf yang mengetuai lima pekerja berkata, walaupun berkongsi kedai dengan Leong, pelanggan akan membuat bayaran kepadanya kerana kaunter nasi berada di bahagian depan kedai manakala kaunter air milik Leong berada di belakang.

“Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah kerana Leong akan mencatat jumlah minuman yang dipesan pelanggan ketika kami mula beroperasi pada pukul 9 pagi, dan sebelum menutup kedai pada pukul 3.30 petang beliau akan memberikan jumlah yang saya perlu bayar kepadanya,” katanya.

— BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Hujan, bagimu Bau. Dan bagiku pemuzik yang menukik kepalaku

aku ingat kau cinta
kalau hujan menumis di jalan
dan petrichor menunda
ke hujung beranda.
Rumah – sejak diusangkanmu
ia terkenang penghuni
sebatukayu tubuhnya
berusuk sarangsarang sepi.

mereka mengusungmu keluar lagi,
hari ini seakan sama
seperti setahunlalu
seperti besok
seperti seterusnya;
bukan masa yang membunuhmu
tetapi ia menggari tangan sendiri
relahati membanduan
dalam bar penjara kalendar
yang tak lagi dikoyakkan.

semua hal akan ditinggal
kepada kerosakan
kecuali, mungkin darimu.
yang tak menyisakan satuapa
meski sebaris nama
untuk direbut sesiapa:
kau emas kintsugi
bagi retakretak hati

di kediaman ini, sesekali
atapmu bertakung airmawar.

Kau akan lebih bau hujan.

Meor Izzat Mohamad
Errachidia, Maghribi

Categories
BUDAYA RENCANA

Aliran hidup

Oleh Regina Ibrahim

Lama sebenarnya menelan rasa sepanjang membesar di perumahan PPR  Pekan Gadung. Telinga boleh menanah, hati boleh pecah dan jiwa kalau boleh di x-ray nampaklah retak seribu.

Sesekali dahulu aku pernah berdoa agar jadi seperti mereka. Bercakap kasar, mata terjegil melihat orang, mulut tidak berkunci,  sampah buang sahaja dari atas biar berkecai di bawah. Pernah, pernah heboh di akhbar kematian warga emas terhempap meja kayu yang dibuang. Namun di negeri ini, berita heboh hanya sekadar seminggu sahaja, kemudian senyap sepi bila penghuni kembali mendakapi keselesaan lama.

Penat memanjat tangga kecemasan untuk naik ke tingkat empat bila lif rosak. Rumah tempat aku emak dan adikku Zaini membesar. Zaini satu hal yang berbeza. Kalau dahulu jenuh aku marah-marah, sekarang tidak kuasa lagi. Dia memilih  berambus dari perumahan yang  dianggap neraka dan menyewa bilik di pekan. Sedih bila dikenangkan kemarahan kami padanya. Aku sebagai yang sulung akan menangis kesal. Aku akur kami memarahinya  hanya kerana telinga kami tidak tahan cercaan penghuni. Makian mereka dahsyat… depan-depan, berbisik manja biar terdengar dan terakhir menghantar sekumpulan orang dari madrasah flat. Macamlah aku tidak tahu tingkah anak anak mereka?

Ibu sejak lama sakit jadi bertambah sakit. Murung tidak bercampur. Tambah hancur bila bertubi-tubi dikatakan tidak pandai membesarkan anak, kami kononnya menjadi contoh buruk masyarakat. Nabi tidak mengaku umat! Ya, Tuhan pedihnya hidup…

Dalam gerombolan orang madrasah, aku cam muka Pak Hassan, apa tidaknya? Aku pernah dicabulnya ketika usia 10 tahun. Mana mungkin dilupa wajah lelaki sialan! Setelah ditarbiah, Zaini bersumpah tidak mahu pulang pulang lagi. Menambah sesak hati, ibu mana yang tidak terpukul bila anaknya dituduh menjual badan? Berpuluh-puluh kali Zaini cuba menyakinkan, rezekinya di kedai makan. Dia hanya tukang masak berpakaian perempuan, berhempas pulas diulanginya bahawa dia bukan penjual jubur. Malu sebenarnya menghadapi situasi sebegini. Aku ikut serentak memarahi Zaini, biar dia diam, bukan apa…  Takut-takut kalau ibu tiba-tiba terlentang.

Sewaktu pulang lewat  akibat kerja lebih waktu, aku pernah disekat. Diheret  enam anak anak jantan penghuni flat 10 tingkat. Aku cam muka semua, cuma aku tidak tahu nama mereka.

“Jangan lepas dia…”

“Peghhh…dok buat macam perangai jantan ya…”

“Sekali kau kena, kau nanti minta lagi…sedap tau.” Entah suara garuk mana berbisik di telingaku.

“Apa ikat ikat… bukalah biar dada bernafas…” Lelaki paling gemuk kedengaran berfalsafah jengkel merentap ikat dada getahku.

Malam bagaikan membantu segala kedurjanaan mereka. Menjerit pun tidak berguna, tangan terkilas, rayuanku dipermain-mainkan.

“Eh? Pandai pula kau bercakap macam perempuan betul…” Perlian entah siapa antara mereka.

Mereka puas, bergilir-gilir membaham ratah aku seperti binatang. Saat itu, segala tentang diriku menerpa bagaikan video ulang tayang di minda. Kemeja lelaki, seluar jeans, kasut sukan, hempas pulas mengikat dada dan rambut dipangkas pendek oleh si mamak di pekan. Antara basah tangis, masin darah dan lendir lendir di kelengkang menjadikan aku tidak tahu apa perasaan sebenarnya, esok apa akan jadi? Mahu diceritakan pada siapa? Segalanya tamat bila aku bagaikan terdengar hilai tawa manusia beramai ramai… Bunyinya bagaikan seluruh penghuni flat bergabung, bertepuk seronok pada situasi padan mukaku.

Kederatku kuatkan. Tercari-cari punat lif yang hilang akibat sifat penghuni, budak India yang mengesot ke belakang  kerana ketakutan melihat darah dan bajuku yang rabak.

“Jatuh motor…,” aku berbohong.

“Lain kali kalau ngantuk jangan bawalah….,” marah ibu yang lemah terbaring menanti di ruang tamu.

* * *

Segala ingatan berputar ligat sewaktu menanti Zaini tiba di hospital. Dia akan membawa RM250 upah liang lahad. Aku sebelumnya meminta persetujuannya penuh hemah.

“Tak apa, kalau macam tu Zai ikut saja, lagipun di flat siapalah kenalan mak? Orang nanti cerca lagi ada la…”

Aku memaksa diri berbaju kurung dan Zaini dengan rambut berwarnanya sedaya mampu berlagak jantan. Hanya ada lima orang di perkuburan termasuk kami berdua. Kami rasmi yatim-piatu.

“Takkan tak ada duit kopi?” tanya pembantu pelantun talkin. Lantas aku korek apa yang ada dalam dompet, minta pada Zaini duit tambahan. Apa sahaja asal selesai.

Minggu ini minggu terakhir. Pembeli unit bersetuju, mudah kerana tidak berharga pasaran, aku kemaruk hidup baharu.

* * *

Aku memilih tengah malam yang sunyi. Biarlah malam menyebelahiku untuk kali terakhir. Ruang rumah sempit yang tidak seberapa aku renungi lama. Bertahun-tahun segalanya sudah aku riki. Aku jinjing dua botol yang masing-masing 500ml beramaran tengkorak bercetak neurotoxins, menarik pagar berkarat di tingkat 10 yang tidak berkunci. Sempat mendongak kelam ditaburi bintang.

Dengan lafaz Bismillah, tangki bekalan air berpermukaan plastik hitam kutarik hati-hati, tiada bunyi ketika mencurah cecair, sambil berpesan jangan kalut terlalu. Bukankah selama ini aku tenang menghadapi mereka? Berselawat salam, bagaikan pencuri malam kupastikan tiada sebarang kesan tertinggal. Bekas racun jangan sampai tertinggal di lokasi manusia tidak berhati perut, penting diri, malah miskin kurniaan rasa kasih.

Motor Ex-5 cabuk yang kerap dianiaya selama tinggal di sini nampaknya selamat, kupacu membelah dini pagi tanpa menoleh lagi menuju tempat pelupusan sampah jauh dari Flat Gadung, nafas kuhela lega kerana esok dari kejauhan akan kudengari cerita petaka mereka.

Categories
BUDAYA RENCANA

Pertemuan ahli falsafah dan hantu

Oleh Ani Aziz

Apa yang menarik tentang hidup ini? Dia mengelamun tenggelam dalam persoalan di meja kopinya. Keinginan? Matlamat? Hukum alam? Kebebasan manusia dalam kekangan undang-undang atau kebebasan manusia tanpa undang-undang.

Dia menghirup kopinya. Di luar sudah lewat malam. Tetapi baginya yang hilang penglihatan, terang dan gelap tak ada beza. Cuma malam lebih sunyi, lebih tenang untuk menghabiskan sepanjang malam di kerusinya sambil menikmati kopi. Tanpa gangguan bunyi mindanya mengembara.

Matanya buta akibat gangguan retina selama bertahun-tahun. Glaukoma. Daya penglihatannya lemah secara perlahan-lahan dan akhirnya dia bangun dalam kegelapan. Ia telah hilang nikmat membaca. Pada tahun-tahun mudanya, dia masih ingat bagaimana obsesnya terhadap membaca. Kini, dia hanya larut dalam ingatan tentang idea-idea yang telah dibacanya. Sesekali, dia dijemput universiti-universiti sebagai pensyarah tamu dalam subjek falsafah.

Pekerjaan yang melesukan. Bersyarah di hadapan sekumpulan anak muda yang tidak tahu fungsi pemikiran dan falsafah membuatkannya semakin tidak bermotivasi dengan hidup. Idea-idea falsafah dirampas oleh keghairahan individualistik dan materialistik. Apa yang penting lagi dengan membina masyarakat utopia. Semuanya hanyalah idea klasik masyarakat kuno yang daif.

Celaka Adam Smith. Dia menyumpah dalam hatinya.
Dia tercium bau busuk secara tiba-tiba. Bau bangkai dari arah dapur. Dia berjalan teraba-raba ke arah dapur. Fikirnya ada haiwan mati. Bau yang terlalu busuk sehingga rasa mencucuk kepalanya. Dia rasa jijik.
Semasa dia sampai di dapur, tiba-tiba bunyi pintu tertutup dengan kuat pula dari dari arah biliknya. Seperti ada angin kuat menerjah ke dalam rumahnya.

Dia kembali ke ruang tamu. Radio terpasang sendirinya. Lagu Seri Dewi Malam nyanyian Sharifah Aini. Lagu yang lama tidak didengarinya. Mungkin berbelas-belas tahun lamanya. Dia masih ingat betapa ibunya sukakan lagu ini.
Kejadian-kejadian aneh dalam rumahnya buatkan dia berfikir keras untuk mewaraskan dirinya kembali. Seseorang mungkin di dalam rumahnya; tetamu atau penceroboh? Dia bersiap siaga. Ambil pisau pemotong di dapur. Dia akan tikam semberono jika ada yang menyergahnya.

Dia berdiri tegak dengan pisau di tangan di ruang tamu. Kegelapan menyelubunginya. Untuk beberapa detik keadaan rumahnya hening. Perlahan-lahan, dia mula rasa ada tenaga yang muncul dalam kegelapan. Hantu? Roh jahat? Monster? Mayat hidup?

“Siapa kau?” bertanya. Pertanyaannya seperti melanggar tembok. Tiada jawapan.

Tapi dia dapat rasa hembusan nafas yang perlahan dan berdenyut.

“Aku tahu kau di sana” Katanya lagi.

“Nadia”, suara menyahut dari sebuah ruang paling kelam di rumahnya. Dari arah cermin meja.

“Apa yang kau buat berada di sini? Tanyanya kembali. Suaranya berubah nada mendatar.

“Tidak tahu. Dalam satu perjalanan dimensi metafizik.

Aku tiba-tiba berada di sini. Di rumah kau. Seorang lelaki dewasa yang buta. Mungkin takdir”

Nadia menghampirinya. Berpusing mengelilingnya. Dia dapat merasakan, dan cuba gapai. Tangannya menembusi udara.

“Takdir? Ketentuan? Seseorang bertemu sama ada didorong oleh sebab, atau sebab yang menemukan seseorang. Bagaimana kau berada di sini?”

“Aku sedang tidur di asramaku. Aku bermimpi. Mimpi telah membawaku kesini” Kata Nadia.

“Dalam mimpi dan membawa kau ke rumahku. Id yang terlepas dari dimensi masa? Sebuah jiwa dari alam surreal bertemu seseorang di dunia realiti. Ia agak membingungkan untukku”

Dia kembali duduk di kerusinya. Menghabiskan sisa-sisa kopi. Kemunculan; apa katanama yang perlu dirujuknya, Id? Spiritual? Roh? Entiti? Atau boleh nyatakan, hantu? Menganggu fikirannya. Dia terasa seperti berada di dalam kepala Sigmund Freud. Seseorang datang (muncul?) di rumahnya, dan mendakwa merentasi mimpi untuk bertemunya.

“Jadi apa yang aku boleh lakukan untuk kau. Aku betul-betul maksudkan ini. Kedatangan ini menganggu emosiku. Ia fenomena alam yang tidak bermoral. Songsang. Aku tidak pernah tahu atau baca dari mana-mana kejadian seperti ini. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Adakah aku patut takut dengan kau?”

“Saya harap tuan tidak terlalu risau. Akhir-akhir ini saya resah. Jiwa saya tertekan. Mungkin jiwa terlepas semasa saya tidur, ketika saya tidak dapat mengawal badan saya.” Katanya lagi, “Ibu saya di kampung sedang sakit. Bapa saya perlukan wang untuk mendapatkan rawatan untuknya. Abang saya yang sering membantu keluarga pula kemalangan di tempat kerjanya. Tangannya termasuk di dalam mesin. Dia cedera parah dan sekarang tidak dapat lagi bekerja”

Dia dapat rasakan entiti tersebut berjalan ke arah tingkap. Berdiri dan sambil memerhatikannya. Dia hanya diam. Kepalanya berfikir ligat. Krisis ekonomi. Ketidakseimbangan hidup. Material dan bukan material. Bebanan hidup yang buatkan jiwa wanita ini tidak sihat. Resah di dalam tidurnya.

Adakah ketika tidur, rohnya juga merayau? Dia tertanya-tanya sendirian. Mencari seseorang untuk melepaskan perasaan. Tetapi apa pula yang menganggunya? Kesunyian? Kehampaan? Dilema seksualiti? Dia merenung ke dalam fikirannya. Roh-roh sakit ini bergentayangan di udara ketika malam larut. Bertembung dan berpisah antara satu sama lain.
Dia menghela nafas. Ada jarak antara dirinya dan Nadia.
“Panta Rei.” Katanya. Segalanya mengalir kata Heraclitus. Seperti jampi. Roh wanita itu hilang semasa kalimat itu diucapkan.

Dia membatu di kerusinya. Segala ruang dunia terasa seperti ditarik ke dalam pusat fikirannya. Dia mula rasa dalam kegelapan mutlak. Badannya melayang jauh ke dalam dasar kegelapan.

Dia terjaga. Seperti tertidur dalam seribu tahun cahaya. Cahaya matahari mengigitnya. Radio masih terpasang. Siaran berita pagi. Seorang wanita pelajar universiti dijumpai mati akibat lebihan pil tidur di katil asrama. Dia termenung seketika. Nama pelajar yang membunuh diri itu adalah Nadia. Hatinya sebal. Dia mencapai tongkatnya. Berjalan teraba-raba menuju ke tandasnya.

Categories
BUDAYA RENCANA

‘Ketupat Bachok’ berkelana ke UK, NZ dan Mesir

KOTA BHARU, 13 OGOS: Pernahkah anda mencuba ‘Ketupat Bachok’ iaitu ketupat palas goreng hasil air tangan Salmiah Ismail, yang telah berkelana ke United Kingdom, New Zealand dan Mesir?

Salmiah, 43, yang berpengalaman hampir 20 tahun membuat dan membungkus ketupat berkata, beliau pernah mendapat permintaan bukan sahaja semasa musim perayaan, malah tempahan khas daripada individu sebagai buah tangan untuk anak-anak mereka yang berada di luar negara.

“Ada suami isteri tempah khas untuk anak-anaknya yang tinggal United Kingdom, New Zealand dan Mesir. Katanya ketupat goreng ini tahan hingga dua minggu di sana.

“Biasanya, ketupat daun palas dibuat secara rebus atau kukus tetapi yang kami buat ini adalah ketupat goreng yang mendapat permintaan tinggi sehingga lebih 5,000 biji pada Aidilfitri baru-baru ini dan hampir 3,000 untuk Aidiladha,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Sri Kulim Melor, di sini, baru-baru ini.

Salmiah berkata, ketupat itu digoreng selepas melalui proses penyejukan setelah diangkat daripada kukusan.

“Setelah ketupat palas disejukkan, ia akan digoreng dengan menggunakan minyak yang banyak antara lima hingga 10 minit sehingga bahagian luar ketupat rangup namun masih lembut di bahagian dalam,” katanya.

Kerja Salmiah menjadi mudah kerana dibantu suaminya, Mohd Faris Ab Rahman, 47, yang menggaul (arong) pulut yang telah siap dikukus bersama santan dan gula.

Salmiah berkata, kerja menggaul pulut perlu menggunakan tenaga yang kuat dan dikukus sekurang-kurangnya dua kali atau lebih selain tempoh mengukus kira-kira satu jam bagi setiap kukusan.

Salmiah bermula dengan mengambil upah membungkus ketupat bersama ibu mentuanya, Mariam Jaafar, 64, atau dikenali sebagai ‘Mok Jah’ di Kampung Kubang Golok Bachok sejak dua dekad lepas.

“Nama ketupat goreng ini orang panggil juga ‘Ketupat Bachok’. Kebetulan saya selalu bantu arwah ibu, Zabidah Ismail buat ketupat ketika remaja, manakala ibu mentua pula pandai buat ketupat pulut, setelah beberapa tahun ambil upah bungkus dan berpindah ke Melor, jadi saya buat sendiri di sini.

Salmiah berkata, uniknya terdapat dua jenis ketupat daun palas iaitu ‘ketupat jantan’ dan ‘ketupat betina’.

“Kepakaran kami ialah bungkus ketupat betina yang bentuknya kemas dengan sekali ‘pusing’ (lipat) semasa membungkusnya manakala ketupat jantan pula kita sering jumpa kerana lebih mudah dibuat iaitu hanya dua kali pusing daun palasnya,” kata beliau.

Beliau berkata apa yang membezakan ketupat daun palasnya dengan yang dijual di pasar, adalah rasanya lebih lembut, enak kerana digoreng, saiz lebih besar, tidak mudah basi dan boleh dibuat sejuk beku.

“Cara pembuatan yang teliti iaitu membasuh beras pulut berbelas kali sehingga air basuhan menjadi cerah, mengukusnya dalam tempoh yang lama dan penggunaan santan segar sangat dititikberatkan semasa menyediakan ketupat daun palas.

“Harga ketupat ini dikira masih murah iaitu RM1 hingga RM1.30 sebiji dengan inti serunding, kacang atau perisa biasa seperti lemak dan tawar berbanding di tempat lain yang sudah mencecah harga RM1.60 sebiji,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Dunia pascamoden fiksyen cyberpunk

Oleh Mohamed Nazreen Shahul Hamid

Kemanusiaan adalah teras kepada penciptaan sastera. Tanpanya, sastera akan mati. Sastera kaya dengan kemanusiaan kerana seni bahasa memerihalkan kehidupan manusia. Sains dan teknologi pula tampak kering dengan nilai-nilai kemanusiaan walhal ia dicipta oleh manusia untuk manusia. Sedar akan keadaan itu, sastera dengan sains dan teknologi dilihat saling memerlukan. Ia mampu dijalinkan bersama serta memberi impak besar kepada khalayak. Salah satu hubungan yang terjalin ialah melalui penghasilan fiksyen sains yang menjadikan sains dan teknologi sebagai persoalan penting. Salah satu subgenre fiksyen sains yang menarik ialah cyberpunk.

Dalam fiksyen cyberpunk, dimensi kemanusiaan bersifat positif telah dirosakkan oleh pengaruh sains dan teknologi. Subgenre itu membincangkan perihal bagaimana teknologi memusnahkan manusia sehingga ia tidak dapat dibezakan antara manusia dengan robot. Garis sempadan antara manusia dan robot jadi kabur. Malah, ia menimbulkan kekacauan ataupun kekeliruan berterusan. Selain itu, cyberpunk merupakan subbudaya yang terhasil daripada keadaan yang dikenali sebagai pascamodeniti yakni erti kemanusiaan yang difikirkan semula. Dalam pascamodeniti, dimensi kemanusiaan tidak lagi memiliki paksi; perkara yang ada ialah kekeliruan. Manusia tenggelam dalam keadaan biologi, teknologi dan budaya berinteraksi sehingga melahirkan proses dikenali sebagai biologization iaitu teknologi menyerap ke dalam tubuh manusia. Melalui budaya tekno, dimensi manusia menjadi rencam dan kabur.

Dalam pengertian lebih mudah, fiksyen cyberpunk sebenarnya subgenre kepada fiksyen sains dengan latar masa depan yang cenderung untuk memberi tumpuan kepada masyarakat “high tech low life” atau masyarakat berteknologi tinggi tetapi rendah nilai kemanusiaan. Ia juga menampilkan pencapaian teknologi dan saintifik yang tinggi berkaitan teknologi maklumat dan sibernetik. Semua itu berjajaran dengan darjah kerosakan yang tinggi dan perubahan radikal dalam struktur sosial masyarakat.

Plot dalam fiksyen cyberpunk sering tertumpu pada konflik antara kecerdasan buatan (artificial intelligences), penggodam (hackers) dan juga syarikat-syarikat besar atau gergasi (megacorporation). Latar masa dalam fiksyen cyberpunk tidak menggunakan masa depan yang terlalu jauh dengan masa sekarang. Pandangan galaksi (galactic vistas) juga tidak digunakan iaitu melibatkan planet-planet lain. Selalunya latar dalam fiksyen cyberpunk adalah pasca-industri (post-industrial) dengan menampilkan budaya luar biasa dan penggunaan teknologi dengan cara yang sama sekali tidak pernah dijangka oleh pencipta asal.

Dalam sesetengah penulisan cyberpunk, banyak latar atau peristiwa berlaku dalam dunia atas talian (online) iaitu ruang siber. Wujudnya kekaburan antara dunia realiti sebenar dengan dunia maya. Semua itu berlaku kerana wujudnya sambungan terus antara otak manusia dengan sistem komputer. Selain itu, latar dalam cyberpunk amat terikat dengan kancah rasuah, komputer dan sambungan internet. Tambahan pula, megacorporation atau syarikat-syarikat gergasi menggantikan peranan kerajaan sebagai pusat kuasa politik, ekonomi dan juga ketenteraan. Malah, syarikat-syarikat berkenaan juga bertindak sebagai kuasa besar kapitalis dalam menindas masyarakat marhaen demi mengaut keuntungan.

Watak-watak dalam cyberpunk adalah watak terpinggir, menyendiri dan kehidupan hariannya amat terjejas dek perubahan pesat teknologi berkaitan ruang data serta maklumat berkomputer. Ciri-ciri biologi manusia juga sentiasa diubah suai hingga mewujudkan manusia separuh robot atau cyborg. Fitrah manusia yang ditetapkan oleh Tuhan bukan lagi kayu ukur kepada kesempurnaan. Kecerdasan buatan yang ditambah menaikkan daya upaya manusia kepada tahap lebih tinggi. Watak utama atau protagonis dalam fiksyen cyberpunk selalunya adalah antihero dan seorang penggodam. Oleh itu, watak utama tidak memiliki sifat yang lazimnya dikaitkan dengan seorang wira seperti keberanian dan kepimpinan. Namun, watak tersebut selalunya dimanipulasi, diletakkan dalam situasi terdesak iaitu tiadanya ruang untuk membuat pilihan tetapi watak berkenaan akhirnya dapat mengatasi semua itu. Antihero juga boleh terdiri daripada penjenayah, orang buangan dan kelainan upaya.

William Gibson dengan novelnya Neuromancer yang terbit pada 1984 kerap dirujuk dengan istilah cyberpunk. Beliau amat menekankan gaya, daya tarikan dan suasana konvensional fiksyen cyberpunk dalam novel tersebut. Melalui Neuromancer, istilah ruang siber yang pertama kali diperkenal menjadi popular. Kehebatan novel itu memang tidak dapat disangkal. Pada awal penerbitannya, Neuromancer diterima baik dan pantas menjadi bualan ramai. Ia juga menjadi novel pertama yang memenangi tiga anugerah fiksyen sains (triple crown) dalam tahun sama iaitu Anugerah Nebula, Anugerah Hugo dan Anugerah Dick K. Philip. Majalah Time juga menyenaraikan Neuromancer antara 100 novel terbaik dalam bahasa Inggeris sejak 1923. Ringkasnya, novel tersebut mengisahkan watak Case, seorang penggodam yang diberi tugasan berkaitan pencurian data komputer oleh organisasi misteri yang diketuai Armitage. Dengan bantuan Molly, seorang cyborg upahan, dan seorang pencuri iaitu Peter Riviera, Case melaksanakan tugasan tersebut.

Dari sudut analisis pula, novel Neuromancer boleh dikatakan suatu bentuk ramalan penulis tentang dunia moden yang amat terikat dengan ruang internet. Hal ini kerana Gibson mengarang novel tersebut sebelum era internet bermula. Gibson cuba membayangkan pembaca terhadap masalah yang timbul jika teknologi internet tercipta terutama berkaitan pembinaan ruang siber (Matrix). Meskipun ia mendatangkan kebaikan, ruang siber mengundang masalah berkaitan pencurian pelbagai data oleh penggodam. Sedar ataupun tidak, masalah ini sedang dihadapi masyarakat masa kini. Satu lagi pemikiran yang diangkat Gibson adalah pengasingan sosial dan emosi antara satu sama lain. Novel ini terhad dalam membicarakan hal hubungan peribadi antara manusia tetapi memperlihat jarak yang makin terhasil lantaran kemajuan teknologi. Manusia terlalu terikat dengan komputer dan internet hingga mengabaikan masyarakat sekeliling. Hubungan Case dan Molly hanya wujud atas dasar kehendak fizikal dan bukannya emosi. Manusia secara drastik berubah menjadi robot tanpa jiwa raga.

 Neuromancer terus melebarkan pengaruh luar biasa, antaranya ia dikatakan penyumbang kepada aspek linguistik apabila ia memperkenalkan istilah cyberspace atau ruang siber. Istilah itu sering diiktiraf sebagai inspirasi kepada konsep World Wide Web. Pada 1989, penerbit Epic Comics mengadaptasi novel itu kepada novel grafik. Versi hypertext (teks pautan) pula terbit pada 1990 melalui kelolaan Voyager Company`s. Kemudian novel itu menarik perhatian Bruce J. Balfour, Brian Fargo dan Tory A. Miles untuk dibangunkan menjadi permainan video. Dalam permainan video, latar dan tema yang dibawa Gibson masih dikekalkan tetapi watak protagonis dan plot diubah. Seterusnya pada 2002 novel berkenaan diadaptasi kepada drama radio oleh BBC World Service. Mutakhir, Neuromancer dalam perancangan untuk diadaptasi sebagai filem.

Secara tuntas, pandangan umum yang percaya bahawa sastera dengan sains dan teknologi mempunyai garis pemisah boleh dicabar. Meskipun sastera, sains dan teknologi berbeza paksinya tetapi ada penghubung yang meruntuhkan garis pemisah iaitu nilai-nilai kemanusiaan. Fiksyen sains yang diasaskan daripada sains dan teknologi merupakan genre yang nyata menjadi wahana untuk menyuntik roh kemanusiaan kepada sains dan teknologi.

Categories
BUDAYA RENCANA

Kemarau hujung waktu

Bahkan malam resah melihat seekor katak berteriak menjerit memanggil-manggil hujan yang seakan-akan tidak lagi mengingatinya. Saat begini malam berdoa agar suara si katak tidak habis dan hujan kembali menemui telinganya. Aku malam resah itu. Setiap detik aku berharap panggilan katak makbul. Kerana terlalu lama, aku merayu matahari memerah tubuhku, menukar peluh menjadi titis jernih yang boleh memuaskan dahaga. Tapi seperti hujan yang melupakan katak, matahari tidak pernah mengenaliku. Ia bangun selepas subuh, aku tiba sehabis senja. Dan sedang aku menanti-nanti mata siang itu, seekor katak bertukar menjadi mayat.

 AB Nurmala

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Pengakhiran filem Bawangers

Oleh Shahkang

Aku mengerling cermin pandang belakang. Tempat duduk penumpang belakang telah aku sediakan kusyen lembut berbulu, bersama semburan wangian lavender. Kotak kertas A4, bantal strawberi Cameron Highland dan kerusi bayi telah aku pindahkan ke dalam but kereta.

Malam bukat. Sepi-nyanyi cengkerik yang mengapung adalah suatu keresahan buat warga syarikat – rakan-rakanku. Syif malam tamat jam satu pagi. Bermula jam empat petang. Tiada siapa pun peduli pada waktu mula. Waktu akhir lebih menggoncang dada. Bekerja bukan masalah. Jangka masa lapan jam itu normal. Masalah ada pada perjalanan pulang sesudah tamat kerja – sewaktu lelah sedang membelit tangkai leher dan bertakung dalam cepu kepala. Kata orang, makhluk halus lebih mudah bertenggek pada orang-orang yang sedang lelah.

Tetapi, ini bukan masalah bagiku. Aku sentiasa menanti kehadiran hantu-hantu bertuah yang sempat memuati kenderaanku. Malam ini aku telah janji untuk menceritakan pengakhiran sebuah cerita bertajuk Bawangers kepada para hantu. Cerita ini telah menjadi tular dalam kalangan komuniti hantu. Masing-masing tak sabar menanti kesudahannya.

Keretaku membelah angin malam. Setelah melepasi rumah orang kampung terakhir, maka tibalah di laluan yang dikatakan paling menyeramkan. Seorang sahabat menceritakan pernah ada rambut wanita terjurai dari bumbung keretanya. Seorang lagi mengatakan keretanya tiba-tiba menjadi perlahan, seolah-olah ditarik dari belakang. Seorang lagi ternampak rombongan pengebumian jenazah, walhal di situ tiada rumah orang kampung atau tapak perkuburan.

Aku mendengar kisah-kisah seram ini dengan penuh bernafsu.

Tiada satu pun kenderaan di hadapan dan belakang. Aku memperlahankan kereta, sekitar cuma 60 kilometer sejam. Aku hanya menanti mana-mana hantu yang berjaya tembus ke kereta aku pada malam ini. Kereta ini cuma muat empat ekor hantu. Pernah hantu-hantu ini mencadangkan agar aku membeli kereta tujuh tempat duduk supaya bilangan hantu yang dapat mengikuti cerita Bawangers akan lebih ramai.

Tiba-tiba, kedengaran dup-dup dap-dap di bahagian tempat duduk belakang. Keretaku bergegar sedikit, seperti melalui jalan tidak rata dan berlubang. Para hantu ini sedang berebut-rebut memuatkan tubuh dalam ruang keretaku. Dari cermin pandang belakang, bola mata merah sirap sedang membuntang. Bau busuk serupa marjerin luput tarikh mengapung-apung dalam ruang kereta. Ada juga dengus kasar serupa orang berdengkur.

“Cepat Tuan, ceritakan! Kami mahu jadi orang pertama mengetahui pengakhiran filem Bawangers. Kami mahu popular dan mempunyai ramai pengikut.”

Sabar tuan-tuan puan-puan, kataku sebelum berdehem.

“Ahli-ahli Bawangers – Ayen Man, Kepten Amekira dan konco-konco semuanya mampus. Fitnah dunia selama ini sebenarya bermula daripada mulut jahat mereka. Membawang sehingga tak ingat dunia, menunggang terbalik kehidupan orang lalu akhirnya mereka dihapuskan oleh si Tarnos. Dunia kini bebas manusia suka bawa mulut dan menghina orang.”

“Itu saja kesudahannya?”

“Ya!”

Sejurus kata terakhirku, hantu-hantu ini hilang, pulang ke komuniti mereka. Mereka mahu menjadi golongan pertama yang menceritakan pengakhiran filem Bawangers kepada komuniti hantu.

Terdengar sayup lolongan para hantu yang mengeloi komuniti hantu untuk mendengar pengkisahan daripadaku.

Keesokan hari, kenderaanku menempuh sepi malam di laluan sama. Aku masih menyediakan wangian dan ruang buat para hantu. Tentu masih ada yang mahu mendengar perkisahan akhir filem Bawangers daripada mulutku sendiri.

“Tuan, ceritakanlah cepat! Kami sengaja mengurung diri sejak semalam untuk mengelak terdengar spoiler. Kami mahu dengar sendiri daripada mulut Tuan.”

“Sabar, sabar. Begini pengakhirannya…”

Para hantu menjegil mata, memasang telinga – masing-masing berhenti berbicara.

“Para Bawangers akhirnya berjaya menewaskan si penfitnah utama iaitu Tarnos. Tarnos menfitnah adanya video lucah para pemimpin dunia, memfitnah pemimpin sogok duit – bermacam-macam lagilah kisah jahat. Ayen Man telah berjaya menusuk dada Tarnos dengan sebilah parang kontot.”

Para hantu menempik sorak, agaknya mereka pro kepada watak Bawangers.

Keesokannya kereta aku tidak lagi dikunjungi ramai hantu. Cuma seekor (seorang?) pocong menumpang. Itupun dia hanya ingin menumpang untuk ke bandar, mahu ziarah orang mati ujarnya.

“Kaum hantu di kawasan ini bergaduh besar! Mereka saling berbunuhan.”

Aku menyembunyi senyum dalam kemam lidah.

“Mengapa pula?”

“Setiap hantu mahu menegakkan kebenaran bahawa versi pengakhiran filem Bawangers mereka adalah yang benar.”

Aku membiarkan kata-kata si pocong berlalu.

“Sebagai manusia, Tuan tentu lebih tahu pengakhirannya.”

Aku menjungkit bahu. “Entahlah, saya belum menonton filem Bawangers. Saya fikir mereka menumpang kereta hantu yang menyerupai wajah saya. Saya sebenarnya bercuti sejak minggu lepas. Pulang ke kampung uruskan hal pertunangan saya. Hari ini baru mula bekerja semula.”

“Oh! Jadi, Tuan fikir ada hantu bertukar, menyamar seperti Tuan, memandu kemudian dengan jahat sengaja menabur salah faham ke dalam komuniti hantu?”

Aku mengangguk pantas. “Tak mustahil. Hantu zaman sekarang tidak lagi gemar mengusik manusia, terutamanya komuniti hantu di bandar. Mereka lebih gemar bermain muslihat, bergembira melihat porak-peranda berlaku hasil percaturan yang licik. “

“Tapi Tuan, mengapa ada pihak suka melihat perpecahan?”

“Hantu juga sukar difahami, Cong (kependekan nama pocong). Seperti kebanyakan manusia.”

Perbualan kami tamat di situ. Pocong itu telah selamat menziarah kematian di tengah bandar.

Semenjak itu, tiada lagi gangguan hantu di laluan tersebut. Berdasarkan info risikanku, komuniti hantu di situ telah berbunuhan sesama sendiri akibat bersengketa tentang pengakhiran filem Bawangers.

Rakan-rakan sekerjaku tidak lagi digugat gementar tika pulang bekerja lewat malam.

“Zack, kau suka cari laluan-laluan berhantu kan? Semalam aku jumpa pocong baring atas jalan! Dia macam nak bunuh diri.” Ujar teman sama kubikel di tempat kerja.

“Kenapa dia baring atas jalan? Baringlah di atas rumput” Seorang rakan sekerja wanita mencelah dari kubikel sebelah.

“Mungkin kematian lebih menyeronokkan buatnya, daripada terus hidup menjadi hantu.” Mendatar sahaja nadaku. Tiada niat untuk berseloroh.

“Sebut pasal laluan berhantu, kakak pun kena kacau tau! Tempatnya di jambatan dekat rumah kakak.”

“Hmm, jambatan mana ya kak? Oh yang itu! Saya jarang lalu di situ.” Teriakan gembira terpacul dari kerongkongku. Khalayak di situ memandangku aneh.

Malam itu aku kembali menyembur pewangi di tempat duduk belakang kereta. Di telefon bimbitku ada paparan laman web pawagam. Aku sedang mencari apakah filem-filem terbaru untuk aku ceritakan kepada para hantu.

Sejujurnya, aku tidak tahu apa-apa mengenai filem. <END>